24 Mei 2008

Hari Ini Malaysia Kehilangan 0.2 Hektar Buminya

Pulau Batu Putih - Akhirnya menjadi milik Singapura!

Oleh Mohd Sayuti Omar

MUNGKIN tidak ada seorang pun dari kira-kira 26 juta rakyat Malaysia menangis setelah menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang telah memutuskan bahawa Pulau Batu Putih kini sudah menjadi milik Singapura.

Bahkan mungkin ada rakyat Malaysia yang tidak menahu mengenai apa yang belaku di The Hague di Belanda hari ini. Apa itu Batu Puith atau Perda Blanca, atau di mana terletaknya South Ledge (Terumbu Karang Selatan) dan Middle Rock (Terumbu Karang Tengah).

Sebaliknya mungkin ada di kalangan rakyat negara ini yang tumpang bergembira dengan keputusan ICJ yang memberi hak kedaulatan Batu Putih kepada Singapura itu?

Rakyat negara kita bagaikan tidak peduli berhubung pertikaian ke atas pulau berkenaan yang berlaku sejak 28 tahun lalu.

Generasi muda maupun generasi tua seakan membiarkan saja pertikaian itu kepada pihak kerajaan bersendirian tanpa ada usaha dan komitmen bersepadu daripada seluruh rakyat.

Misalnya kita tidak pernah terdengar rakyat negara ini bangkit menyatakan keprihatian mereka ke atas pulau berkenaan baik menerusi aksi fizikal maupun secara berdoa.

Tidak ada apa-apa reaksi dalam hal ini.

Untuk sama-sama ke The Hague bagi mendengar perbicaraan tidak mungkin. Orang kita bukan saja miskin kewangan tetapi juga miskin semangat. Adakah mana-mana NGO kita yang kononnya kuat berjuang untuk nusa dan wangsa menghantar wakil ke Belanda?

Saya terkesan keimanan kita dalam menjaga watan ini sangat nipis dan naif. Bukan saja dari kalangan rakyat, tetapi pihak Kerajaan sendiri juga.

Misalnya sebelum keputusan dibuat di Belanda petang tadi umat Islam yang baligh dan mukalaf ke masjid untuk sembahyang Jumaat tidak pun digerakkan untuk memberi sedikit perhatian kepada isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih itu.

Sepatutnya khutbah hari ini menyentuh mengenai apa yang bakal berlaku di Belanda itu. Para khatib patut membaca khutbah mengenai kedaulatan negara dan kasih kita kepada watan tujuannya memberi semangat dan rangsangan.

Sebaliknya apa yang belaku di masjid tempat saya menunaikan solat Jumaat hari ini (dan saya percaya di seluruh masjid dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membaca teks khutbah sama) khatib membaca khutbah yang langsung tidak ada kena mengenai dengan isu yang berlaku ahri ini.

Tajuk khutbah di hari ini ialah “Cinta Terlarang” menghuraikan bahaya dan jijiknya cinta terlarang. Teks itu tidak sedikitpun menyentuh apa yang berlaku di Belanda.

Khatib juga di dalam doanya sebelum mengakhiri khutbah tidak sedikitpun mendoakan meminta agar keputusan berpihak kepada kita.

Inilah yang saya katakan bangsa kita terlalu miskin iman terhadap negara baik di kalangan mat rempit maupun yang menjadi penunggu masjid. Keimanan masing-masing senipis kulit bawang?

Apa salahnya kalau masjid mengajurkan solat hajat memohon agar keputusan ICJ berpihak kepada kita. Namun ini tidak pernah berlaku dan lupa untuk dilakukan. Apakah kita semua sudah tidak percaya kepada doa dan usaha secara kerohanian?

Begitu juga dengan parti Pas yang terkenal dengan usaha dan ikhtiar menerusi solat hajat juga tidak menganjurkan solat hajat untuk Batu Putih.

Apakah Pas merasakan bukan tangungjawabnya untuk berbuat demikian. Atau kerana masing-masing kini sedang berebut untuk menjadi PM maka hal-hal yang lebih penting menyentuh soal maruah bangsa dan negara terabai begitu saja.

Apapun hari ini Malaysia kehilangan 0.2 hekatar buminya!

19 Mei 2008

Jernihkan Fikrah Sebelum Berdakwah - Ustaz Hasrizal Jamil

Gambar Hiasan

“Saya mahu sertai program PAS, program JIM, program ABIM dan ikut Tabligh keluar sebab saya sudah bosan dengan perpecahan”, kata seorang anak muda kepada saya.

Saya mengangguk.

Kemudian menggelengkan kepala.

Saya bersetuju dengan keluhannya bahawa kita semua sudah bosan dengan perpecahan. Tetapi saya menggelengkan kepala kerana tidak bersetuju dengan formulanya untuk mengatasi perpecahan itu.

“Tentu sahaja idea itu baik dan saya menyokongnya, jika anda meletakkan diri sebagai penyokong dan kekasih Islam”, saya cuba menjelaskan sebab saya menggelengkan kepala pada separuh kedua kenyataan pelajar tersebut.

“Tetapi jika anda seorang pendokong dan kekasih yang berkasih dengan Islam, anda harus lebih teliti, rasional dan realistik”, saya menyambung.

“Maksud ustaz?”, tanyanya kepada saya.

Asalnya saya kurang berminat bercakap tentang hal ini. Terserahlah kepada anak-anak muda ini untuk mencari cara terbaik bagi mereka ‘menolong agama Allah’. Tetapi option yang terlalu terbuka menyebabkan mereka meraba-raba di bawah sinar mentari, bukan purnama.

“Izinkan ustaz membuat satu analogi”, saya cuba memudahkan perbualan.

KOMITMEN KERJA

“Jika kita seorang pengguna ubat gigi, kita bebas untuk memilih ubat gigi yang sesuai dengan keperluan kita. Pilih sahajalah mana-mana ubat gigi yang ada di pasaran kerana semua ubat gigi itu umumnya berkongsi tujuan… memutih dan menyihatkan gigi kita…

… tetapi jika kita bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di sebuah kilang ubat gigi, atau pegawai pemasaran, malah pekerja subordinate di kilang tersebut, adalah mustahil untuk syarikat kilang itu membenarkan anda pada masa yang sama bekerja di syarikat ubat gigi yang lain!”, saya menyudahkan penjelasan.

“Kenapa pula?”, tanyanya dalam kekeliruan.

“Aih… takkan tanya ‘kenapa pula’? Anda akan bertindan waktu kerja, anda akan bertindan strategi pemasaran, anda akan bertindan pelbagai kepentingan dan siapakah yang akan anda berikan keutamaan?”, saya agak terkejut dengan kekaburan fikiran beliau.

“Setiap kumpulan Islam, mempunyai maksud dan tujuan besar yang sama. Tetapi malangnya mereka berbeza jalan dan pendekatan hingga ada yang bertembung dan bertentangan. Ada yang mahu sampai kepada Islam dengan memanfaatkan ruang di dalam demokrasi, ada yang mahu sampai kepada Islam dengan berperang berpatah arang dengan demokrasi… itu contohnya”, saya menyambung.

“Ada kumpulan yang menganggap penglibatan dan keprihatinannya terhadap persoalan siasah dan isu semasa sebagai suatu kelebihan, manakala ada kumpulan yang menganggap pendirian non partisannya sebagai prinsip yang mesti dipertahankan. Maka, anda boleh menghadiri program semua kumpulan ini, jika kehadiran yang anda maksudkan itu adalah sebagai peserta program umum, outreach dan anda hadir sebagai orang yang hanya mahu menerima. Bukan memberi!”, tambah saya.

“Dan ustaz sering mengingatkan kami bahawa penglibatan kita di dalam dakwah harus untuk memberi, bukan menerima, betul tak?”, tanyanya.

“Yang ini ustaz angguk 100%”, saya tersenyum.

MEMBERI DAN MENERIMA DI DALAM DAKWAH

Dalam beragama dan berdakwah untuk menolong agama, apa yang perlu kita fikirkan bukan hanya pada soal apa manfaat yang kita dapat. Jika itu sahaja yang menjadi pertimbangan kita, maka tidak hairanlah kita ini mungkin menjadi orang yang paling banyak tahu, tetapi tidak berguna dan bernilai di sisi Islam, kerana tiada keinginan memberi.

Seronok mengaji tetapi tidak sampai kesedaran tentang tuntutan mengajar.

Kata Nabi SAW:

“Sebaik-baik kamu adalah dia yang paling bermanfaat kepada manusia”

Maka seorang mukmin yang mengikut jalur kenabian akan segera mahu memberi sejurus selepas menerima, apatah lagi dalam soal-soal kebaikan:

“Tidak sempurna iman sesiapa dari kalangan kamu sehingga dia itu suka untuk saudaranya, apa yang disukainya untuk diri sendiri”

Dalam erti kata yang lain, penglibatan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam, bukan hanya dengan maksud mahu menjadi penyokong, pengambil manfaat, penerima semata-mata, tetapi mahu bergerak setapak lagi ke depan dengan menjadi pendokong, penyumbang manfaat dan pemberi pula.

Apabila seseorang itu mahu menjadi pendokong, penyertaannya bersama sebuah gerakan Islam haruslah atas dasar kebersamaan, saling percaya mempercayai, atau dengan bahasa yang lebih kemas, dengan merujuk kepada rukun-rukun komitmen yang disebut sebagai arkaan al-bai’ah yang sepuluh oleh Hasan al-Banna.

Justeru, tidak mungkin di peringkat taaruf menuju takwin, untuk seseorang itu menjadi anggota sebuah kumpulan Islam, dan dalam masa yang sama turut menganggotai kumpulan-kumpulan yang lain, dengan alasan mahu mengambil manfaat sebanyak mungkin.

Kebarangkalian dari segi strategi bergerak, mungkin ada ruang yang membolehkan. Ramai sahaja ahli JIM yang turut menjadi aktivis PAS. Ada sahaja aktivis PAS yang dipinjamkan ke PKR dalam pilihanraya. Tetapi ini bergerak di dalam kerangka siasah, tidak dalam agenda tarbiyah.

Oleh yang demikian, idea ‘pelik’ sesetengah kita yang memilih JIM supaya boleh menyokong PAS tanpa risiko, harus disemak semula, terutamanya di kalangan warga menara gading. Itu idea politik, bukan idea tarbiyah.

Tarbiyah itu ialah proses mengacu dan membentuk, sebelum diguna pakai di lapangan yang pelbagai termasuk siasah. Maka proses pembentukan fikrah tidak akan berhasil jika tajarrud dalam pemikiran tidak dibentuk. Pemikiran akan lebur dan mencetuskan krisis identiti dan fikri.

Akhirnya kita sendiri tidak tahu apa yang kita tahu dan tidak tahu apa yang kita percaya. Amal bagaimanakah yang boleh terbit dari kekaburan fikrah dan kepercayaan seperti ini?

Era pentarbiyahan itu adalah era pembentukan(takwin). Ia seumpama kilang untuk menghasilkan sesuatu produk. Kilang melahirkan da’ie.

Jika dipinjam analogi ubat gigi itu tadi, maka di atas rak pasar raya, sepuluh jenama ubat gigi boleh duduk sebelah menyebelah dan terpulang kepada pengguna untuk memilih atas pertimbangan masing-masing.

Tetapi semasa ubat gigi itu di kilang masing-masing, tidak mungkin formula ubat gigi Colgate dicampur dengan formula Sensodyne lalu dikotakkan dengan pakej Darlie. Di kilang Colgate, semuanya harus Colgate. Campur aduk yang tidak menentu dalam menghasilkan produk ubat gigi, hanya akan menyebabkan pengguna keliru dan membuat kesimpulan mudah bahawa ubat gigi Colgate berkotakkan Darlie ini bukanlah kombinasi formula, tetapi ubat gigi palsu semata.

Seorang aktivis JIM itu perlu jelas pada kefahaman dirinya apakah yang menjadikan dirinya itu seorang ahli JIM. Soal komitmen, kepercayaan, menjaga kerahsian, dan tanggungjawab dilaksanakan secara ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’.

Begitu juga dengan aktivis PAS. Penyertaannya di dalam gerakan Islam itu harus atas dasar al-fahmu, memahami dan menghayati fikrah dan perjuangan PAS, serta sama-sama mendokong gerak kerja yang diputuskan bersama. Apakah beza pemikirannya dengan kumpulan lain seperti Hizb al-Tahrir atau ABIM, ia harus jelas dan terbina secara tersusun lagi kemas melalui agenda tarbiyah masing-masing.

TITIK PENYATUAN

Di manakah soal kerjasama dan penyatuan itu boleh berlaku?

Atas dinamika fikrah masing-masing, sikap (attitude) yang positif, kecenderungan kepada titik persamaan mengatasi perbedaan, di situlah kerjasama harus dibina.

Halangan kerjasama, bukanlah pada berbeza jemaah atau berlainan fikrah. Musuh kerjasama dan perpaduan ialah SIKAP dan SERKAP. Serkap fikiran berupa prasangka dan andaian di zon selesa masing-masing.

Akan tetapi, cabaran akan menjadi lebih kritikal jika cubaan penyatuan dibuat di atas kekaburan dan kekeliruan. Tidak memahami apa yang menjadikan JIM itu JIM, PAS itu PAS, lantas mencadangkan titik yang tidak kena dengan realiti.

Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tentukan dahulu apa yang kamu percaya, siapa diri kamu, dan di situlah bermulanya usaha besar untuk kerjasama dan penyatuan yang diimpikan.

Fikrah saya jelas dan di atas kejelasan itu, saya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk pergi ke mana-mana program, bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan seterusnya membantu pada apa yang boleh dibantu. Semuanya harus didahului oleh usaha menentukan apa yang kita percaya lantas menentukan siapa kita.

DALIL

“Tak ada dalil ke ustaz? Main logik akal sahaja?”, tanya pelajar tersebut.

“Ini common sense. Pemikiran yang tidak logik, adalah musuh kepada dalil! Betulkan cara berfikir sebelum meminta dalil.”, itu sahaja yang mampu saya jawab buat masa ini.

Ayuh kemaskan fikrah, untuk kelancaran dakwah.

Sumber dari SaifulIslam.com

05 Mei 2008

Hanya Islam yang dapat angkat martabat Melayu - Presiden PAS

PAS yakin bahawa martabat, keutuhan dan jatidiri bangsa Melayu hanya dapat diselamatkan melalui Islam, kata Presidennya, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.


"Hanya apabila orang-orang Melayu kembali dan berpegang teguh kepada Islam, maka ketika itu barulah bangsa ini dapat memperolehi keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

"Sebarang usaha samada sengaja ataupun tidak untuk meninggal atau meminggirkan Islam akan mengakibatkan bangsa ini tidak selamat di dunia, apalagi di akhirat," katanya dalam satu kenyataan rasmi parti hari ini.

Masalah umat Melayu selama ini berpunca dari tindakan mereka meninggalkan kewajiban meletakkan Islam dilandas yang sebenar, katanya.

Malah kedudukkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak dihargai, ujarnya.

PAS merasakan masalah umat Melayu berpunca dari sikap Umno yang telah meneruskan pembelengguan terhadap Islam yang diamalakan oleh penjajah British.

"Umno menerima kuasa dengan menambahkan lagi ikatan-ikatan yang sebenarnya telah menyekat taraf dan kedudukan Islam dan mengelirukan bangsa Melayu.

"Tindakan ini telah merosakkan pemikiran orang Melayu sehingga menjadikan mereka seolah bertuhankan Umno. Malah orang Melayu sehingga beranggapan yang Umno lah segala-galanya, yang memberikan rezeki dan memajukan mereka," tegasnya.

Umno lah yang sesungguhnya telah menghakis beberapa ciri-ciri tamadun Islam yang sedia terbentuk dalam masyarakat Melayu sebelum ini, katanya.

"Di antaranya ciri ilmu, di mana Umno lah yang bertanggungjawab menghapuskan penggunaan dan penagajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah, mengawal pengajian agama di masjid-masjid termasuklah khutbah-khutbah Jumaat, semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang telah mengakibatkan kefahaman agama orang Meayu semakin longgar dan lemah," katanya.

Bagi PAS sekiranya agenda pemuafakatan dan penyatuan umat Melayu mahu dilangsungkan, maka ianya mestilah mengambil kira dan menceduk dari model yang telah dibentuk dengan jayanya oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Ujarnya, Rasulullah s.a.w telah berjaya menyatukan kabilah-kabliah Arab di zamannya dengan Islam dan bukannya melalui nasionalisam atau semangat kebangsaan Arab.

PAS percaya orang Melayu akan dapat diangkat martabat mereka kiranya mereka serius menjadikan Islam sebagai pegangan, dasar dan matlamat hidup, katanya.

Sumber: Harakahdaily