31 Mei 2009

Mencari Jemaah Contoh

Baru hampir seminggu TNU berlalu pergi, seingat saya tajuk yang diberikan sedikit sebanyak mendorong saya untuk menulis makalah ringkas ini sebagai sedikit perkongsian bagi mereka yang tidak hadir, moga menambah sedikit kefahaman yang bisa membenihkan kefaqihan agar kita terus istiqamah di atas landasan perjuangan ini. Seperti kata-kata Saidina Ali (ra), "Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya". Hatta, dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.

Kenyataan ini adalah berdasarkan pandangan, sedikit pengalaman dan cetusan olahan kefahaman saya. Memetik jua beberapa huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya, 'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah Fardiah' serta satu buku yang juga menarik untuk dibaca iaitu karya Dr. Shadiq Amin, ‘Mencari Format Gerakan Dakwah Ideal’ dalam usaha mengesampingkan perbezaan dengan tujuan mencari persefahaman demi agenda dakwah yang lebih besar. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang diwajibkan keatasnya. Pilihan seseorang itu memerlukan perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang terang dan meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah masakini, terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan ianya dijadikan sebagai titik-tolak bagi sesebuah jemaah tersebut untuk kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang dihuraikan.

Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :

1. Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah), batas-batas geografi atau kenegaraan (nasionalisme), dan seumpamanya. Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini kearah kegagalan.


2. Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwahnya.


3. Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi) adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk mencapai tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam 'perkara-perkara juzuk' dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.


4. Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh (kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.


5. Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil Amal AlIslami')


6. Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah), beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi. Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).


7. Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah. Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu" (Surah Hujurat:11-13)


8. Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.


9. Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.


10. Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama. Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.


11. Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.


12. Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.


13. Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan (iaitu muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan.


14. Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas serta matlamat yang jitu. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun.


15. Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.


16. Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.


17. Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Hadiid: 28, "Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua (2) bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".


18. Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.


19. Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.


20. Jemaah ini sentiasa bermuhasabah dan berkoreksi tentang segala pengalaman yang dialami. Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. “Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".

Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah SWT, dan segala kekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri. Wasallam.

Sumber: Azlan Zainal

27 Mei 2009

Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul

Tulisan: Dato' Husam Musa


Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole. Pada ketika ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah pun berad
a di Kota Istanbul untuk menghadiri sambutan ulangtahun upacara yang amat bersejarah ini.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang
pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;


  • Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
  • Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
  • Kehendak yang kuat
  • Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
  • Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
  • Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

  • Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
  • Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
  • Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
  • Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
  • Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

  • Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu. Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!. Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.
  • Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut. Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh. Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu. Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.
  • Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.
    Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.

Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

Sumber: Harakah Daily

25 Mei 2009

Kita Dapat Satu, Tapi Terlepas Dua!

Nasharudin, Husam dan Mohamad (disebut mengikut bilangan pencalonan yang diterima) pasti akan bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden. Kerusi itu hanya satu, bukan dua dan rasanya tak akan jadi dua atau tiga.

Jawatan itu sepenting Presiden. Bukan sekadar sebagai pembantu utama Presiden tetapi sebagai Presiden ketika ‘keuzuran’ Presiden. Sebab itu ia cuma satu dan bukan dua atau tiga.

Keputusan Majlis Syura Ulamak menyerahkan kepada muktamar untuk menentukan siapa yang layak untuk menduduki kerusi itu adalah tepat. Bukan masanya untuk berpolemik ‘ulamak dan profesional’. Polemik itu umpama membongkar bata bangunan untuk dimasuki kelawar. Sekali kelawar masuk, sukar benar untuk dihalau keluar.

Ketiga-tiganya adalah orang baik dan hebat. Sebagaimana tiada seorang pun daripada mereka menjadi yang terbaik, begitu juga tiada sesiapa pun yang menjadi tercorot. Seperti mana tiada sesiapa pun yang sempurna, begitu juga tiada sesiapa pun yang buruk semuanya.

Sesiapa sahaja di kalangan mereka boleh merasakan dirinya adalah terbaik dan layak dipilih, namun jangan ada sesiapa pun yang merasakan saingannya adalah buruk dan tidak layak terpilih. Tuhan benci manusia takabbur. Orang itu tiada tempat di dalam syurga. Orang takabbur ialah penolak kebenaran dan penghina manusia lain.

Mereka bertiga hanya bersaing untuk jawatan itu sahaja. Apabila salah seorang menang, yang dua lagi akan tidak bertempat dalam hirarki utama parti.

Kalau mereka mempertahankan jawatan masing-masing sekarang sahaja, diyakini kita akan mendapat ketiga-tiganya. Tetapi apabila mereka bersaing untuk Timbalan Presiden, kita akan dapat satu dan akan keguguran dua.

Kalau pakai ilmu lojik, mana lebih baik antara dapat tiga dengan dapat satu dan gugur dua? Tentu jawabnya, dapat tiga lebih baik.

Namun, itu hanya menjadi matematik sahaja kerana keputusan mereka untuk bersaing adalah muktamad.

Benar, Presiden boleh melantik dua orang yang tidak terpilih untuk menduduki kerusi harian Pas Pusat samada Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan atau AJK Pas Pusat. Dan, rasanya itu yang bakal dilakukan Presiden. Beliau tentu tidak mahu kehilangan seorang pun daripada mereka.

Mereka yang tidak terpilih juga tidak akan janggal untuk ‘turun ke bawah’, tetapi ibarat tangga yang ada tiga anak, kita gugurkan dua daripadanya. Dua yang digugurkan itu pula kukuh-kukuh belaka.

Ini tidak bermaksud bahawa mereka yang bakal bersaing untuk jawatan Naib Presiden untuk menggantikan Husam dan Mohamad tidak bagus. Mereka bagus tetapi apa yang ingin diungkapkan di sini ialah kita akan keguguran dua daripada tiga yang bagus juga.

Jangan marah kalau saya kata begini. Pemimpin kita yang bakal bersaing itu memangsakan perwakilan. Saya tidak berkata bersaing itu salah. Saya juga tidak berkata perwakilan muktamar tidak bijak.

Perwakilan sayang ketiga-tiganya tetapi kita memaksa dan memangsakan mereka untuk memilih salah satu daripada tiga. Mereka sepatutnya dapat ketiga-tiganya, tetapi mereka hanya boleh mengambil satu sahaja. Adakah itu adil?

Apa pun saya tetap mendoakan kebaikan untuk semuanya. Sebagaimana orang lain, saya juga sayangkan tuan-tuan bertiga. Mana-mana yang saya suka untuk diri saya, itu juga yang saya suka untuk tuan-tuan bertiga.

Cuma satu harapan terakhir saya. Semasa undi dikira, saya harap jumlah undi yang diperolehi oleh tuan-tuan bertiga tidak termasuk undi tuan-tuan untuk diri sendiri.

Saya harap tuan-tuan mampu melakukannya. Kalau tidak, tuan-tuan hitunglah diri tuan-tuan sendiri.

Sumber:
Zolkharnain Abidin

21 Mei 2009

'Hati rosak' punca politik gawat, organisasi lumpuh - Dr Azhar Yaakub

Punca kerosakan di muka bumi, pergolakan politik dan sesebuah institusi serta organanisasi syarikat lumpuh adalah disebabkan oleh hati manusia yang telah rosak.

Pendakwah bebas Dr. Azhar Yaakub berkata baik buruk mana-mana sikap dan tindakan individu mahupun organisasi yang besar ditentukan oleh hati malah ianya diambil kira dan dinilai oleh Allah swt di akhirat kelak.

Beliau turut memberitahu bahawa dalam al-Quran dijelaskan bahawa tidak ada sesuatu yang bermanfaat pada akhirat kelak sama ada harta, kuasa, isteri dan anak-pinak melainkan hati yang baik semata-mata.

"Firaun telah ditulis dalam al-Quran sebagai pemimpin dan ahli politik paling jahat dalam sejarah. Dan kejahatannya berpunca daripada hati yang rosak.

"Oleh kerana hatinya rosak, dia telah memecah-belah masyarakatnya dengan mencipta puak-puak dan bangsa sekaligus menindas serta bertindak zalim. Dengan cara itu, dia fikir dapat memerintah lama dan tiada masyarakat yang bersatu -padu yang akan menentangnya di kemudian hari," katanya memberikan contoh.

Azhar berkata demikian ketika sesi kuliah agama di pejabat Harakah tengah hari tadi yang turut dihadiri oleh sebilangan besar warga kerja Harakah dan Siasah.

Kuliah beliau yang bertajuk "Mengenali Potensi Diri Melalui Hati" berlangsung selama sejam turut diselitkan sesi soal jawab antara hadirin.

Kata Azhar menurut catatan Ibnu Khatir, Firaun telah membunuh sejumlah 40,000 kanak-kanak lelaki demi memastikan surivival politiknya kerana bimbang ada generasi muda iaitu bakal pemimpin yang akan datang akan memberontak dan menggulingkannya.

"Tsunami politik yang berlaku seperti era reformasi 1999, krisis Perak dan lain-lain disebabkan oleh hati yang rosak, yang gila dan tamakkan kuasa tanpa berfikir secara terbuka dan melanggar batas undang-undang.

"Jika, pemimpin punya hati yang elok, boleh terima kekalahan dengan hati yang terbuka sudah pastilah tidak berlakunya kemelut di Perak sehingga membelakangkan undang-undang demi kepentingan kelangsungan politik masing-masing," katanya.

Sungguhpun begitu, beliau menyatakan perselisihan pendapat berbeza dengan perselisihan hati yang boleh membawa kerosakan yang parah.

"Hadis Nabi menyatakan bahawa perselisihan umat Muhammad membawa nikmat. Biar berselisih pendapat tetapi tidak 'khilaf' hati," katanya.

Ditanya persoalan hati yang berkaitan irihati dan 'Ghibtah' (persaingan sihat, berlumba-lumba bersaing) dalam masyarakat, beliau secara berseloroh menjelas makna 'SMOS' iaitu "Susah Melihat Orang Senang" dan "Suka Melihat Orang Susah" untuk membezakan antara keduanya.

"SMOS adalah iri hati tetapi persaingan sihat dan mengambil iktibar atas kejayaan orang dan berubah itu adalah Ghibtah

"Oleh itu 'check' hati masing-masing, atau buat 'team building motivation' sama ada dalam terdapat hati-hati yang bersih atau sebaliknya kerana itulah punca kejayaan ataupun kerosakan sesebuah organisasi," katanya.

Sumber: Harakahdaily