18 Jun 2010

Ustaz Hasan arkitek tak bertauliah

Oleh: Tuan Haji Subky Latif


ALMARHUM Dato  Fadzil Noor selalu menyifatkan Ustaz Hassan Shukri sebagai akitek tak bertauliah. Dan Almarhum Ustaz Hassan Shukri menerimanya dengan senyum dan senang hati atas jolokan akitek  tak bertauliah itu kerana ia satu penghormatan kepada kebolehnannya membina bangunan yang ada hubungan kegiatannya.

Mithalnya Surau Tarbiyah di Taman Melewar, Batu Caves Kuala Lumpur. Surau yang dibina kerajaan itu diberi nama Surau Tarbiyah dipercaya dia yang memberi namanya.

Nama Tarbiyah yang bermaksud pendidikan itu sangat dekat di hatinya. Apabila dia membina markaz PAS juga di Taman Melewar, lalu dinamakannya Martaz Tarbiyah PAS Pusat pula.

Semasa dia menjadi Setiausaha Agung PAS di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor digalakkannya negeri dan kawasan PAS membina Markaz Tarbiyah masing sebagai pusat pentadbiran parti dan sekali gus menjadi musalla.

Surau Tarbiyah tadi dibina mengikut pelan disediakan kerajaan. Selama lebih 30 tahun dia jadi pengurusi surau itu macam-macam pindaan dan tambahan pada bangunan itu. Kebanyakan penyesuaian itu adalah mengikut reka ciptanya.

Ketika PAS di Wilayah Persekutuan dan PAS Pusat sukar untuk mendapatkan tempat untuk berbagai perhimpunan, Hassan Shukri, bekas Setiausasha Agung dan bekas Timbalan Presiden PAS yang meninggal tengah hari 14 Jun 2004 lalu telah membelikan satu lot tanah untuk PAS Terengganu di sempadan Selangor di Taman Melewar sebagai tapak rumah bagi pemimpin-pemimpin Terengganu yang selalu datang ke Kuala Lumpur.

Tetapi PAS Terengganu membiarkan saja tapak yang bersebelahan dengan rumah Ustaz itu. Saya selalu menganjurkan ceramah – kadang-kadang tiap-tiap minggu di rumah Ustaz Hassan. Dia tidak pernah menolak. Tetapi bila ceramah berakhir pukul 12 malam, isterinya terpaksa mengemas rumah hingga pukul 2 pagi.

Ia mengganggu anak-anaknya yang masih kecil hendak bersekolah esoknya. Lalu saya berpakat dengan PAS Taman Melewar untuk memanfaatkan tanah PAS Terengganu bagi mengadakan ceramah. Kami cadang untuk membinanya seperti kandang, memadai ada bumbung dan dinding ikut keadaan kerana ia tanah orang Terengganu. Ia boleh mengambil tapak itu bila ia rasa ia mahu bina rumah.

Bila Ustaz Hassan mendengar cadangan itu dia pun mencadangkan supaya dibina Markaz Tarbiyah. Pelan asal  markaz itu digarisnya di atas tanah saja di depan tukang dari Indonesia dan pelajar-pelajar lulusan kejuruteraan yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Dari garis di atas tanah itu mereka mendirikan rangka bangunan. Bila terdiri tiang, ada pula yang menghantar pasir, simen, besi, kayu dan lain-lian. Kami tidak banyak mengeluar modal. Ada orang datang untuk memberi belanja siling, ada yang menyumbangkan pintu dan  tingkap.

Dari semasa ke semasa Uztaz Hassan mengarahkan pelajar dan tukang-tukang itu buat begitu dan begini.

Bila siap bangunan itu ada pula lot-lot sebelah dan di belakang bangunan hendak dijual. Ustaz Hassan beli dan sambung pula markaz itu di lot yang baru dibeli itu.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun 2000 markaz itu bertambah besar dari semasa ke semasa kerana orang-orang di situ sedia pula menjual  tanahnya pada Ustaz Hassan. Ustaz Hassan beli  lot-lot itu untuk PAS.

Setiap kali lot baru dibeli, Ustaz Hassan membentang pelan tambahan baru bangunan. Ustaz Fadzil yang tidak pernah membantah cadangannya menyerahkan saja kepada budibicara akitek tak bertauliah itu.

Daripada sebuah bangunan dua tingkat asalnya, ia menjadi sebuah komplek yang ada dewan, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik solat bahkan ada pula tempat orang menumpang bermalam. Rombongan bas dari Kedah dan Kelantan selalu singgah bermalam di situ.

Semua reka bentuk komplek itu hasil ciptaan Ustaz Hassan sendiri.

Dia tidak pernah belajar ilmu pertukangan. Dia adalah seorang lulusan agama. Tetapi dia minat dengan mereka bentuk rumah atau bangunan menjadikan dia tahu teknik-teknik pertukangan.

Markaz Tarbiyah PAS itu adalah karya seninya.

Sejak terbinanya Markaz Tarbiyah itu PAS tidak sukar lagi mengadakan  Mukktamar. Sebelumnya PAS menyewa di Dewan Bahasa untuk bermuktamar. Kadang-kadang muktamar terpaksa ditunda kerana kerajaan hendak menggunakan dewannya. Acap tempahan dibatalkan. Mungkin ia satu cara kerajaan membuli PAS.

Selepas markaz itu didirikan PAS bebas mengadakan berbagai kegiatan. Parti-parti yang bersekutu dengan PAS selalu memanfaatkannya.

Beberapa tahun lalu Pejabat Agung PAS berpindah ke Jalan Raja Laut di pusat bandar Kuala Lumpur. Markaz Tarbiyah tidak lagi jadi tempat pentadbiran. Ia digunakan untuk kegiatan lain.

Sekarang markaz itu sedang dirombak untuk dijadikan kampus bagi kolej universiti Prof. Zuklifli Mohamad. Struktur bangunan itu dikekalkan tetapi renovasinya banyak mengubah bentuk seni rekaan Ustaz Hassan Shukri itu.

Kata Ustaz Hassan pada saya kalau sebahagian  dari peralatan lama dikekalkan, banyak perbelanjaan dapat diselamatkan. Kalau peruntukannya katakannya satu juta ssetengah, separuh daripadanya boleh diselamatkan untuk mentadbiran kolej itu nanti.

Akitek tak bertauliah itu memerhatikan saja pembinaan semula bangunan itu. Sebulan   dua lagi mungkin dapat disiapkan. Tetapi dia tidak sempat menyaksikan bangunan itu disiapkan bagi fungsinya yang baru dan tidak dinamakan Markaz Tarbiyah lagi kerana secara mengejut dia dipanggil pulang ke Rahmatullah.

Tetapi dalam masa 25 tahun terakhir ini dia bolehlah dikira bapa pembinaan markaz tarbiyah, bukan saja bagi Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang terseregam itu tetapi markaz tarbiyah tumbuh di merata tempat untuk memberi laluan kepada umat mengembangkan agama Allah.

Sumber: Harakahdaily

15 Jun 2010

Ustaz Hassan Shukri dalam kenangan

Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun ‘bermandi darah’ di Kuala Lumpur dalam peristiwa 13 mei, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan mereka. Ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya, dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.

Sumber gambar: Mohd Sayuti Omar

Tidak ada satu biji mata pun melainkandia yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ‘parang terbang dan selempang merah’ untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. malah ketika negara dilanda krisis, Tun Razak sendiri menghubunginya setiap hari. Sehari kadang-kadang sampai dua kali! Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti di bibir pejuang dan penyokong PAS selama ini agak kelam dan menyepi. entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di malaysia ini umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak ke mana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil ‘ustaz’ masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di markas PAS Taman melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi dalam dirinya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai Pejabat Agung PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja laut Kuala lumpur, begitu sinonim dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal Rm20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin dan ustaz Nakhaei untuk mereka samasama membeli tanah dengan harga sekitar Rm26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, markas PAS Taman melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik, ia menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KlIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di setiap pelosok negara. Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan “buku undang-undang PAS” yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

“Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa pulang ke rumah.

“Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara aktif pada tahun 1951,” ujarnya penuh semangat.

Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah usaha memujuk, mengugut, ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah-mentah Hassan dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan politiknya. “Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!” katanya tegas laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah ‘jangan mencari pasal’ dengan beliau.

Beliau turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro sambil menghayunkan senjata parang.

Kebetulan kawannya, Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang itu akhirnya “ditumpaskan” hanya melalui kata-kata berbisa.

Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuhkan maruah dan nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan  kecekapan perisik-perisik PAS, beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatu malam apabila diminta oleh dua wanita terbabit.

“malam itu di tepi jalan berhutan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,” katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu masih diguna pakai sehingga sekarang.

Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja laut, berdekatan lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang ‘diperangkap’ oleh kamera-kamera musuh yang cuba mengaitkannya dengan penghuni atau pekerja seks lorong hitam itu.

“Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya tersenyum.

Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di makkah dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah yang tidak upaya diluahkan memandangkan masa yang terbatas. memadai katanya, perjalanan itu memakan masa 6 bulan 3 hari!

“Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di madras, kami terus menggunakan jalan darat untuk ke makkah. “Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan melayu Iraq di Baghdad dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang anak,” katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah seorang yang berharta.

Semasa beliau penuh aktif dalam PAS, Hassan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang Presiden PAS iaitu Datuk Asri muda, ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadhil Noor. Beliau merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan PAS ini sambil menceritakan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.

Antaranya, beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh empat batu menggunakan basikal, manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam perjalanan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.

“Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Datuk Keramat. Ahli-ahli di situ menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu,” katanya lagi.

Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu, nama awalnya lebih dikenali sebagai kongres dan ditukarkan supaya ia tidak menyamai dengan parti-parti lain pada masa itu.

Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondokpondok agama, balai raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah mereka sebagai tempat tumpangan.

Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantapdan ada peningkatan dalam soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.

“Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabat-sahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu ‘style’. Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang Shah Alam (bandar) bekerja. “Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak  baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh,” katanya lagi.

Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba sedikit suasana dan keadaan masyarakat di malaysia dan menambah di Nusantara terdapat 6,832 suku seperti Jawa, mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya disatukan melalui Islam.

“Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. mereka ini kita sapa dan senyum cukup besar hati dah...” kata Hassan yang juga bekas Senator. Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS menyarankan segala masalah atau perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau mesyuarat dan perbincangan agar ia tidak dipergunakan oleh musuh untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu,” katanya ketika diminta pandangan berhubung isu-isu semasa.

“malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.

“Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi menjunjung perjuangan Islam,” kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Datuk Asri muda dan Haji Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.

Kini Hassan masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli majlis Syura. Beliau juga masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.

Walaupun usia telah menjangkau 70-an, Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya  bersama PAS. Wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu terasa begitu singkat, memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan penulis terpegun dan asyik dengan kisah lamanya.

“Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS. “Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah,” katanya tersenyum semula.

Mengakhiri perbualan yang “berlangsung” di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

“Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

“Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...,”
katanya sambil mencebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan supaya parti akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.

Sumber: Harakahdaily

02 Jun 2010

Normalisasi Muqaddimah Zina

“Susah, ustaz. Macam mana nak solat dalam kapal terbang kalau pakaian kotor” kata seorang anak muda.

“Nak berangkat ke UK pun pakai baju kotor? Tak sempat basuh ke?” tanya si ustaz.

“Bukan macam itu. Pakaian yang dipakai sudah tentu bersih. Tetapi semasa ke tandas di KLIA, di situlah pakaian jadi kotor” jelas beliau.

“Mengapa? Ustaz ke tandas tiada masalah pun” si ustaz ‘pura-pura tidak tahu’.

“Ustaz lainlah” ujar anak muda itu lagi.

“Apa pula lainnya. Awak lelaki, ustaz lelaki. Masuk pun ke tandas yang sama. Cuma, awak kencing berdiri ya?” si ustaz bertanya terus ke topik sebenar.

Anak muda itu ketawa kecil. Apa yang beliau tidak mahu menyebut, telah disebut oleh sang ustaz. 

Memang sukar.

Jika bersolat di dalam pesawat terganggu oleh kesukaran menentukan arah kiblat, ada penyelesaiannya.

Andaikata bermasalah untuk berdiri, ada penyelesaiannya. Jika sulit mahu mengambil wudhu’, ada kaedah-kaedahnya. Tetapi jika pakaian tidak bersih, memang susah mahu diselesaikan. Bayangkan, dalam kesesakan ratusan penumpang kapal terbang, si anak muda mahu menyalin seluar dengan memakai kain pelekat, mahu sahaja disikunya orang di kiri dan kanan.

Justeru, jika kita jenis orang yang bersolat kerana Islam, maka Islamlah semenjak di rumah dan di Lapangan Terbang. Jangan tiba-tiba mahu mengambil Islam, memang banyak ‘kerosakan’ yang terpaksa diuruskan!

Sama juga dengan perempuan. Andaikata solat itu hendak dikerjakan semasa berada di dalam pesawat, selain pakaian perlu bersih, pastikan juga ia sempurna menutup aurat. Andai pakaian yang dipakai itu tidak cukup syarat untuk membolehkan kita bersolat dengannya, memang sukar kalau tiba-tiba di dalam pesawat, mahu disarung telekung. Mahu terserkup orang di sebelah!

Demikianlah Islam.

PAKEJ

Di pangkal, di tengah atau di hujung, Islam ada caranya yang tersendiri untuk berfungsi. Tetapi sebagai sebuah sistem, Islam mesti diambil seawal langkah yang pertama.
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) SEGALA hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [al-Baqarah 2: 208]

Demikian Allah berpesan.

Apabila Islam diambil, ambillah ia secara sempurna. Pakej yang lengkap. Menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, adalah cara Syaitan menyesatkan manusia, sedangkan Syaitan itu adalah musuh manusia yang amat nyata. Kelihatannya di sepanjang sejarah manusia, Syaitan itu makhluk yang sabarnya sering mengatasi manusia. Syaitan tidak tergesa-gesa untuk mencapai misinya. Segalanya berlaku secara berperingkat, sedikit demi sedikit, dalam kealpaan manusia yang tidak menyedarinya.

Itulah enjin di sebalik musibah buang bayi di negara kita.

Buang bayi kerana berleluasanya zina.

Berleluasanya zina kerana pencegahannya tidak mengambil acuan Islam.
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa' 17: 32]

Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.

Apakah muqaddimah zina yang mesti dicegah itu?

1. MENUNDUKKAN PANDANGAN

Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]

Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.

“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.

Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. 

Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.

2. MEMELIHARA AURAT

Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.

Peliharalah aurat.

Wanita.

Lelaki.

Sama sahaja.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]

Perintahnya bukan perintah menutup rambut.

Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.

3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH

Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.

“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu” [Al-Ahzaab 33: 33]

“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.

Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda : 

Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]

Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.
Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.

Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).

4. BERURUSAN DENGAN BATASAN

Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.

Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.

Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.

“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.

Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.

Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.

5.  TIDAK MELUNAKKAN SUARA

Dengar suara, mahu orangnya.

Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.

Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.

“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]

NORMALISASI MUQADDIMAH ZINA

Mencegah lebih baik daripada mengubat… bukan slogan tanpa asas!

Cabarannya, bagaimanakah penerimaan kita terhadap saranan-saranan Allah ini?

Percaya bahawa kita lebih bijak daripada-Nya?

Semua perintah dan larangan yang dihimpunkan itu tadi (sebagai memetik sebahagiannya) telah mengalami normalisasi. Semuanya sudah diterima sebagai satu cara hidup semasa.

Make sure you balik before Midnite, ok. This is my house. You follow my rule!” kata si ayah yang ‘cool’.
Anak lelakinya keluar menonton wayang dengan rakan silang jantina.

Muqaddimah zina sudah jadi biasa. Sudah tidak lagi dianggap salah. Ia diterima sebagai satu cara hidup kontemporari, tidak hanya di kota malah di desa. Sudah jadi biasa. Lantas buruk benar kalau ia tiba-tiba digelar sebagai Muqaddimah Zina!

Itulah NORMALISASI…

Alaa, she’s still young. Let her taste the excitement. Just be herself. Jangan hipokrit. Nanti bila nak pakai tudung tu, dia pakailah. Kita doakan!” kata si emak melihat anak perempuannya keluar rumah dengan penuh gaya.

Memaksa diri bertudung kerana di dunia ini ada Tuhan, namanya hipokrit?

Akhirnya, menutup pintu Muqaddimah Zina dianggap kolot.

Walhal itulah hidup bertamadun. Hidup yang tahu membataskan diri.

Bergaul sesuka hati, menyentuh sesedap rasa, menunggang tak kenal agama, itu Lifestyle rimba.

“Nampakkah kamu keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” [al-Furqan 25: 43-44]

Saksikanlah ya Allah bahawa aku berusaha menyampaikan!

Sumber: Saiful Islam