Satu renungan yang baik dari ustaz One-G buat semua sahabat.
KECELARUAN MUQALLID
YANG MAHU JADI MUJTAHID
Seharian suntuk aku membaca buku karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti yang bertajuk “Alla Mazhabiyyah Akhtar Bidaah tuhaddid As-Syariah Al-islamiyyah”.
Dalam seharian suntuk itu jugalah, aku dapat menyempurnakan pembacaan dari buku tersebut. Alhamdulillah, maha suci Allah, betapa tingginya ilmu seorang ulama dari syiria ini dalam mengemukakan hujjah dalam menyatakan kepentingan memahami ilmu usul fiqh bagi mengemukakan sesuatu ulasan agama.
Membaca semua kandungan isi buku tersebut, tergambar diri ini terlalu kerdil di dalam dunia keilmuan islam, masakan pula diri ini merasa lebih alim dari ulama-ulama mazhab.
Dr Said Ramadhan ada menjelaskan didalam buku tersebut tentang satu munazarah ilmiyyah yang berlaku antara beliau dengan seorang ulama yang di kenali ramai; bernama As-Syaikh Nasisruddin Albani, yang telah berjumpa dengan beliau di rumah beliau sendiri bagi mengemukakan bantahan ilmiyyah terhadap tulisan beliau berkenaan dengan kepentingan bermazhab.
Tetapi yang amat mengecewakan lagi, setelah kecundang dalam munazarah ilmiyyah yang berlaku selama 3 jam bersama Dr Said Ramadhan , As-Syaikh Albani telah mengambil sikap yang “tidak berakhlak” dengan mengarang sebuah kitab yang bertajuk “Taassub Mazhab” bersama dua orang ulama yang sealiran dengan beliau, iaitu As-Syaikh Mahmood Mahdi Al-Istambuli dan As-Syaikh Khairuddin Al-Walini dengan mengadakan beberapa jenayah ilmiyyah terhadap As-Syaikh Dr Said Ramadhan Al-Buti.[1]
Yang amat mengejutkan lagi, di dalam buku “alla Mazhabiyyah” itu juga, Dr Said Ramadhan Albuti telah menukilkan kata-kata As-Syakh Albani didalam catatan dari kitab “Mukhatasar Sahih Muslim, karangan Imam Al-Munzir RA.
Didalam catatan tersebut, As-Syaikh Albani Ra menyatakan;
هذا صريح فى أن عيسى عليه السلام يحكم بشرعنا و يقضى بالكتاب و السنة , لا بغيرها من الإنجيل أو الفقه الحنفى و نحوه
Maksudnya;“ini adalah jelas bahawa nabi Isa AS akan berhukum dengan syariat kita, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, tidak dengan yang lainnya, samada dari kitab injil atau fiqh mazhab Hanafi dan seumpama dengannya[2]”
Dengan kata-kata As-Syaikh Albani sebegini, seakan-akan As-Syaik Albani telah mempelekeh keilmuan Imam Abu Hanifah dengan menyamakan antara Injil dan Fiqh Hanafi yang dianggap seperti tidak termasuk dari kandungan Al-Quran dan As-Sunnah.
IJTIHAD ADALAH KEPERLUAN, TAQLID ADALAH KEISTIMEWAAN
Dunia kini sudah ditimpa zaman kekurangan ulama yang berkelayakan didalam berijtihad. Walaubagaimanapun, berijtihad merupakan sesuatu keperluan didalam menjalani kehidupan beragama di dunia ini.
Berijtihad itu adalah sesuatu kemestian, ini kerana antara sebab berlakunya ijtihad adalah “kehidupan dunia ini sentiasa berubah masa demi masa dan keadaan sesuatu tempat tidak menyamai dengan keadaan sesuatu tempat yang lain”.
Dr Wahbah Az-Zuhaili pernah menyatakan didalam kitab “Usul Fiqh Al-Islami” bahawa berijtihad adalah sesuatu kefarduan secara kifayah. Tidak harus berlaku kekosongan ijtihad pada setiap zaman[3].
Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan didalam karangannya “Fatawa Ma’asarah” bahawa berlakunya ijtihad itu adalah kerana sebab-sebab seperti berikut;
1. Pada perkara yang tiada nas.
2. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai beberapa tafsiran.
3. Mempunyai “muaridh” atau pertentangan yang sama denganya atau lebih kuat darinya.[4]
Maka dengan demikian, melihat kepada sebab yang pertama, memahamkan kepada kita betapa ijtihad itu merupakan sesuatu keperluan didalam kehidupan kini.Adapun taqlid, ianya merupakan satu keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia.
Ianya diasaskan kepada firman Allah;
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”
(surah An-Nahl : 43)
Bertaqlid bermaksud, mengambil perkataan orang lain tanpa mengetahui dalilnya[5].
Seseorang yang tidak mempunyai kelayakan berijtihad, dilarang bagi dirinya berijtihad, ini kerana, mana mungkin seseorang yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang pembedahan itu melakukan pembedahan terhadap pesakit.
Sekalipun pembedahan yang dilakukan itu ditakdirkan tidak memberi mudharat kepada pesakit, tetapi tindakan membedah tersebut tetap dikira sebagai tindakan yang berbahaya kepada pesakit.Maka begitujugalah yang berlaku kepada seorang yang tidak berkeahlian untuk berijtihad, yang telah melakukan ijtihad.
SYARAT-SYARAT MUJTAHID
Seorang yang ingin berijtihad, diwajibkan kepadanya memenuhi syarat-syarat bagi melayakan dirinya untuk berijtihad.Berijtihad tidak memadai dengan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata.
Juga, tidak memadai dengan mendakwa diri seorang muhaddis dan sebagainya. Tetapi syarat-syarat yang perlu di tunaikan adalah sangat rumit. Dr Wahbah Az-Zuhaili telah menyenaraikan syarat-syarat yang perlu di penuhi bagi melayakkan seseorang itu menjadi mujtahid adalah seperti berikut[6];
a. mengetahui makna-makna ayat Al-Quran, samada dari sudut bahasanya dan syaraknya.
b. Mengetahui hadis-hadis hukum.
c. Mengetahui nasikh dan mansukh didalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
d. Mengetahui semua perkara yang telah diijmakkan oleh Ulama.
e. Mengetahui kaedah-kaedah qias dengan betul.
f. Mengetahui bahasa Arab dari semua sudut, iaitu dari nahu, sorof, balaghah, majaz, hakiki dan sebagainya.
g. Mengetahui kaedah-kaedah didalam ilmu usul fiqh.h. Memahami maqasid As-Syariah didalam mengistinbatkan hukum.
MUQALLID YANG MAHU JADI MUJTAHID
Memahami secara syarat-syarat ijtihad yang tersebut di atas, memahami bahawa menjadi seorang mujtahid bukanlah sesuatu yang senang, tetapi ianya memerlukan ketinggian ilmu yang melayakkannya berijtihad.
Walaupun begitu, sesetengah manusia di zaman ini sudah berasa diri mereka berkebolehan didalam berijtihad, sedangkan kebolehan mereka hanya mampu menguasai sesuatu ilmu sahaja.
Ekoran dari itu, mereka menimbulkan satu “fahaman baru” bahawa, tidak wajib, bahkan haram kepada manusia kini bermazhabkan kepada mazhab-mazhab yang tidak ma’sum, seperti bermazhab As-Syafii, Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebagainya, tetapi di wajibkan semua manusia bermazhabkan yang ma’sum, iaitu mazhab Rasulullah SAW.
Kenyataan sebegini merupakan satu dakwaan yang pelik, ini kerana, jika mereka mahu mengajak manusia kepada bermazhabkan Rasulullah SAW, bermakna mereka mahu mengiktiraf bahawa semua manusia itu adalah mujtahid, sedangkan perkara ini menyalahi firman Allah;
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”
(surah An-Nahl : 43)
Didalam ayat ini, Allah SWT menyuruh manusia itu bertanya kepada orang yang berkepakaran sekiranya mereka tidak mengetahui, maka dengan demikian, menandakan disana ada orang yang tidak berkepakaran yang digelar juga sebagai orang awam yang wajib kepada dirinya bertaqlid.
Dr Said Ramadhan Al-Buti ada menceritakan logic disebalik kewajipan bertaqlid kepada mujtahid semasa berdebat dengan As-Syaikh Albani RA. Antara isi dialog tersebut adalah seperti berikut[7];
Dr Said Ramadhan Al-Buti (DSRB) : seorang lelaki yang baru memeluk Islam; mahu menunaikan solat tetapi kebingungan bagi menentukan arah kiblat. Lalu dia membaca firman Allah;
قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ
Maksudnya;“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat”
(surah Al-Baqarah : 142)
Lelaki tersebut beranggapan bahawa setiap orang yang hendak menunaikan solat boleh mengadap ke arah mana sahaja, sepertimana di nyatakan dalam Al-Quran.Kemudian dia mendengar bahawa keempat-empat mazhab telah sepakat bahawa ia harus mengadap Kaabah, dan dia juga mengetahui dalil dalam masalah tersebut, tetapi dia belum melihat sahaja.
Apabila dia hendak menunaikan solat, apakah cukup dia menunaikan solat mengikut panggilan hatinya berdasarkan kepada ayat yang dibacanya atau bertaqlid dengan Imam-imam Mazhab?
As-Syaikh Albani (SA) : memadai dengan mengikut panggilan hatinya.
(DRSB) : meskipun dia solat kearah yang tidak mengadap ke Kaabah sekalipun ? Apakah solatnya di anggap sah?
(SA) : Ya, kerana ia di wajibkan mengikut panggilan hatinya.
(DRSB) : Andaikata panggilan hati lelaki tersebut mengatakan bahawa tidak mengapa melakukan zina, minum arak, mencuri dan sebagainya. Apakah Allah akan memberi syafaat kepadanya disebabkan panggilan hatinya?
(SA) : Senyap sebentar. Kemudia berkata : sebenarnya contoh-contoh yang awak tujukan kepada saya adalah khayalan belaka dan tidak ada bukti.
(DRSB) : bukan khayalan atau dugaan semata-mata, bahkan sering berlaku, bahkan yang lebih pelik lagi. Bagaimana tidak ! seorang pemuda yang tidak memahami apa-apa tentang Islam, Al-Kitab dan As-Sunnah, kemudian membaca sepotong ayat Al-Quran yang ia fahami menurut andaiannya, kemudian berpendapat bahawa dia boleh solat ke arah mana sahaja yang dia mahu, sedangkan ulama-ulama mujtahid telah sepakat menyatakan bahawa di wajibkan solat mengadap ke arab Kiblat (Kaabah).
Dalam keadaan ini, awak menyatakan solatnya adalah sah, semata-mata beralasan dengan panggilan hatinya. Pendirian awak ini sebenarnya bercanggah dengan prinsip awak bahawa manusia itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu Mujtahid, Muqallid dan Muttabi’.Setelah
(DRSB) menyatakan demikian, As-Syakh Albani RA menyatakan;
(SA) : sepatutnya lelaki tersebut harus meneliti dan membahaskan. Apakah dia tidak membaca hadis atau ayat yang lain?
(DRSB) : ia tidak mencukupi bahan (syarat) untuk membahas sebagaimana keadaan awak ketika membahaskan masalah talak. Ia tidak sempat membaca ayat-ayat lain yang berhubungan dengan masalah kiblat selain ayat di atas. Dalam hal ini, apakah ia tetap harus mengikuti bisikan hatinya dengan cara meninggalkan ijmak para ulama?
(SA) : memang dia harus berbuat demikian, kalau dia tidak mampu membahas dan menganailisa, baginya cukup berpegang pada hasil fikirannya sendiri dan tidak tidak salah.
(DRSB) : ucapan awak ini sangat berbahaya dan memelikan. Ucapan ini kami akan siarkan dalam tulisan ….
(SA) : silakan siar pendapat saya, saya sememangnya tidak takut.
(DRSB) : apakah awak tidak takut kepada Allah SWT. Sesungguhnya ucapan awak tadi menandakan awak telah membuang firman Allah;
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”
(surah An-Nahl : 43)
Setelah itu, As-Syaikh Albani menyatakan;
(SA) : wahai saudara (DRSB), sesungguhnya para imam bukanlah yang ma’sum. Adapun ayat yang dia pegang merupakan firman Allah yang terpelihara dari kesalahan. Bagaimana mungkin ia harus meninggalkan yang ma’sum dan berpegang pada orang yang tidak ma’sum?
(DSRB) : yang terpelihara dari kesalahan adalah makna hakiki yang dikehendaki oleh Allah dengan firman-Nya;
قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ
Maksudnya;“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat”
(surah Al-Baqarah : 142)
Akan tetapi, faham lelaki tersebut adalah jauh sama sekali dari pendidikan Islam yang sememangnya tidak ma’sum. Maka dengan demikian, masalahnya adalah bandingan antara dua faham, iaitu faham atau pemikiran dari seorang yang jahil dan faham atau pemikiran dari seorang imam mujtahid, yang kedua-duanya tidak ma’sum.
Hanya beza kedua-duanya adalah, satunya jahil dan satu lagi mempunyai keilmuan.Lalu As-Syaikh Albani menjawab;
(SA) : sesungguhnya Allah tidak membebani dia melebihi kemampuan.
(DSRB) : Tolong jawab persoalan ini. Seorang yang mempunyai anak kecil yang sedang sakit demam panas. Menurut semua dokter di daerah tersebut bahawa anak kecilnya itu perlu di beri ubat khusus dan mereka melarang dari memberi ubat antibiotic.
Mereka pun telah memberitahu kepada bapa tersebut, tetapi tidak di edahkan olehnya.Lalu, bapa tersebut telah membaca satu tulisan yang menyatakan bahawa ubat antibiotic boleh mengubat sakit demam panas.
Tanpa mengendahkan nasihat para doctor, diberinya juga kepada anak kecilnya itu dengan ubat antibiotic, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mati.Dengan tindakan si bapa tadi, adakah bapa tadi dikira sebagai berdosa?
(SA) : diam sekejap, lalu berkata : saya kira, masalah ini bersalahan dengan masalah yang kita sedang bincangkan.
(DSRB) : sebenarnya masalah ini serupakan dengan masalah yang kita bincangkan. Cuba perhatikan! Bapa tersebut sudah mendengar kesepakatan para doctor, sebagaimana lelaki tadi telah mendengar kesepakatan mujtahid. Akan tetapi, si bapa tersebut berpegang pada satu tulisan dari buku kesihatan, sebagaimana lelaki tersebut melakukan amalan mengikut panggilan hatinya.
(SA) : saudara ! Al-Quran adalah cahaya. Cahaya Al-Quran tidak dapat disamakan dengan yang lain.
(DSRB) : apakah maksud pembaca Al-Quran itu memahami maksud Al-Quran seperti yang dikehendaki oleh Allah? kalau begitu, apakah beza antara ahli ilmu dan bukan ahl ilmu yang membaca Al-Quran?
Dua contoh di atas adalah sama. Awak perlu menjawab, apakah kedua-duanya harus menerima begitu sahaja panggilan hatinya atau harus mengikuti atau taqlid kepada ahl ilmu?
(SA) panggilan hati adalah yang paling pokok.
(DSRB) : si bapa tadi telah melakukan mengikut panggilan hatinya sehingga mengakibatkan anaknya mati. Apakah ada tanggungjawab bagi si bapa dari segi syariat atau hukum?
(SA) tidak ada apa-apa tuntutan daripadanya.
(DSRB) : dengan jawapan awak seperti ini, saya kira dialog dan diskusi ini kita cukupkan sampai disini sahaja. Sudah jelas antara dua jalan antara pendapat awak dan saya.
Dengan jawapan awak yang menghairankan itu, cukuplah kiranya untuk awak telah terkeluar dari kesepakatan kaum muslimin.Cuba awak renungkan, seorang muslim yang jahil hanya mengandaikan panggilan hatinya dalam memahami apa yang ia ketemui didalam Al-Quran.
Lalu dia mengerjakan solat mengadap kea rah selain kiblat dan menyalahi semua umat Islam, tetapi solatnya dianggap sah. Kemudian orang biasa dengan panggilan jiwanya, ia mengubat anaknya yang sakit mengikut kehendaknya, sehinggakan anaknya sendiri mati, lalu dengan perbuatannya itu, dia terselamat dari apa-apa tuntutan dari segi syarak.
KESIMPULAN
Dari debat ilmiyyah ini, kita dapat melihat bagaimana fanatic kepada pendapat sendiri yang ada pada diri As-Syaikh Albani yang sehinggakan dia sendiri telah mengambil sikap tidak mahu menerima “kebenaran hujjah” dari Dr Said Ramadhan Al-Buti, yang kadangkala menyebabkan timbul dakwaannya yang boleh memberi bahaya kepada kefahaman Islam yang sebenar.
Jika ada dikalangan kita mengambil sikap mengremeh-remehkan ulama-ulama mazhab, cadangan dari penulis, bacalah buku “alla Mazhabiyyah” karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti.
Maka dengan demikian, buka hati, buka minta dan cermin-cerminlah diri kita,. siapakah kita jika mahu dibandingkan ilmu-ilmu kita dengan ilmu-ilmu ulama-ulama yang telah berjasa untuk memartabatkan agama islam ini.
SekianWallahu ‘Alam
One_G