28 Ogos 2009

Apa Kamu Ingat Islam Ini Gulai Ayamkah Wahai Norhayati Kaprawi SIS ?

Setiap kali membaca akhbar Malaysia, terfikir di dalam hati ini bilakah mutu penulisan di Malaysia akan maju. Perbahasan tentang artis dan perkara lain yang kurang penting semakin bercambah. Bila masyarakat semakin rosak, mulalah letih memikirkan apakah punca dan sebabnya. Padahal mereka sendiri yang punya angkara.

Masyarakat tidak punya bacaan alternatif yang memberikan manfaat secara maksimum. Akhbar yang menerangkan kebenaran disekat tidak dibenarkan untuk aktif, akhbar yang menutup ruang minda disebarkan setiap pagi. Kalau di Mesir, tidak dinafikan cukup banyak bahan bacaan sama ada berbentuk akhbar mahupun kitab-kitab ilmiyah. Kalau kita melihat kepada akhbar disini , terlalu banyak keluarannya sehingga mencapai puluhan jenis akhbar. Ada yang baik untuk tatapan umum dan ada yang sangat tidak sesuai untuk tatapan umum.

Jika akhbar yang membicarakan tentang ilmu, maka seolah-olah ianya merupakan kitab fatwa para ulama al-Azhar al-Syarif yang boleh didapatkan dengan harga LE 1.50 bersamaan RM 1.00. Akhbar sebegini memang payah malah rasa saya tiada langsung di Malaysia.

Mengapa saya berbicara tentang ini? Setelah saya membaca kenyataan akhbar dan pemimpin Malaysia yang membicarakan tentang kes sebatan yang akan dikenakan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno semakin kuat di dalam benak fikiran saya bahawa seringkali orang-orang yang tiada kelayakan di dalam bidang hukum diberikan tempat dan kedudukan untuk membahaskan isu hukum-hakam di dalam Islam. Malah akhbar-akhbar Malaysia dan UMNO / BARISAN NASIONAL lebih mengagungkan golongan pemecahbelah ini berbicara.

Cuba bayangkan jika kita punya sakit, maka tentulah kita akan menjumpai doktor yang pakar bagi memberikan penyelesaian dan panduan ubatan kepada kita. Apa sikap kita jika kita pergi ke hospital atau klinik tersebut maka kita dapati doktor tersebut sebenarnya tiada langsung kelayakan di dalam bidang kedoktoran. Maka tentu kita akan ragu-ragu bukan?? Mana mungkin orang sebegini dibiarkan untuk mengubati pesakit sedang dia sendiri tiada ilmu tentang perkara tersebut. Lain yang sakit, lain yang diubatnya.

Ini hal berkaitan dunia, tapi saya tersangat hairan dan lucu bilamana bidang agama Islam ini dianggap mudah dan enteng. Siapa sahaja boleh membahaskan. Kamu punya kelulusan atau tidak, kamu pernah belajar dengan para ulama atau tidak ,itu tidak penting. Apa yang penting ialah jika kamu sayang Islam kononnya, maka kamu boleh sewenang-wenangnya untuk berbahas tentang Islam.

Apa kamu ingat Islam ini gulai ayamkah? Boleh diagak-agak masin dan manisnya? Kalau kurang masinnya, maka ditambah garam, kalau kurang lemaknya ditambah santannya??

Saya cukup rasa tercabar dengan kenyataan puak Sister In Islam (SIS) seperti Norhayati Kaprawi. Saya nasihatkan, kalau ya pun kamu mengaku sebagai pejuang kebenaran (kebenaran ikut kepala hotak dia) tak perlu kaitankan dengan hukum hakam Allah taala. Makin jahil kita melihat orang sebegini. Makin banyak kamu menulis, makin jauh kamu dengan Allah taala. Kamu tak malu ke dengan Allah taala dan RasulNya?

Saya tidak mahu membahaskan tentang hukum sebatan kepada peminum arak. Islam letakkan hukum yang sangat baik untuk umatnya. Sebenarnya hukuman yang diletakkan oleh Mahkamah Syariah tersebut terlalu ringan. 10% pun tidak sampai jika mengikut hukuman Islam yang sebenar. Mengikut hukum Islam yang sebenar seorang peminum arak akan dihukum sebatan sebanyak 40 sebatan mengikut mazhab Syafie dan 80 sebatan mengikut mazhab Abu Hanifah, Malik dan Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhum.

Syarat yang diletakkan oleh Islam untuk melaksanakan pukulan tersebut sangat jitu dan adil.Syeikh Dr. Muhammad Zuhaili haizahullah membahaskan di dalam kitabnya al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie:

“ Tidaklah dibenarkan kepada tukang pukul untuk mengangkat tinggi rotan tersebut sehingga seolah-olah terbuka ketiaknya dan tidaklah juga terlalu rendah sehingga langsung tidak dirasakan sakit kepada peminum arak tersebut.Bahkan apa yang perlu ialah diangkat dengan sederhana tinggi.”

Islam tidak membenarkan untuk memukul pada satu bahagian sahaja kerana ini memungkinkan si pesalah akan luka teruk pada satu bahagian. Malah perlulah dipukul pada bahagian-bahagian tertentu badan dengan syarat menjauhi anggota badan yang sensetif seperti muka ,dan kemaluan serta anggota badannya yang sudah sedia sakit.

Malah pesalah tidak perlu membuka bajunya untuk dirotan.

Mana ada hukum yang terperinci sehingga tahap sebegini melainkan Islam. Saya lihat, hukuman rotan yang dikenakan kepada pesalah berkaitan dadah lebih berat. Malah sangat kejam cara pukulannya. Ini, tidak pula kamu wahai Norhayati Kaprawi bahaskan? Asal sebut ini adalah hukum Islam maka mulalah kamu nak panas punggung.

Saya puji sikap Kartika Sari Dewi Shukarno, beliau sudi menerima hukuman tersebut dengan rela hati. Ini barulah sikap seorang yang berani. Berani buat, berani tanggung risiko.

Sepatutnya orang seperti Najib Tun Razak, Norhayati Kaprawi dan Mahathir Muhammad yang perlu dirotan dan di-ISA-kan. Biar mereka tahu langit tinggi atau rendah.

Moga Allah taala berikan kekuatan kepada umat Islam seluruhnya. Ya Allah berikanlah hidayahMu kepada Najib Tun Razak, Norhayati Kaprawi, Mahathir Muhammad dan pengikut-pengikut mereka. Moga mereka dapat merasai nikmat sebenar beragama sebelum bertemu denganMu Ya Tuhanku. Amin Ya Rabbal a’lamin.

Sumber: Mohd Nazrul Abd Nasir

06 Ogos 2009

Puasa Selepas Nishfu

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-


"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.

Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."

Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
  1. Puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.
  2. Puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.
  3. Puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu
  4. Puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.

Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-


(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-

Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).

Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-

(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.

Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-

Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.

Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

Sumber: Bahrusshofa