19 Jun 2006

Tajdid Iman: Tangisan keinsafan pembersih dosa


Bersama Dr Juanda jaya

Bangun dan sujud pada tengah malam amalan Rasullah serta sahabat
SAIDINA Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.
Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: “Letakkan pipiku di atas tanah.” Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: “Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?” Umar berkata lagi: “Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!”
Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.
Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: “Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."
Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.
  • Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga?Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

  • Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan?

Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan
seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?

  • Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.

INTI PATI

  • Seseorang manusia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya, oleh itu letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

  • Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama padaalam kubur. Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan yang amat penting. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

  • Menangis kerana ingatkan hari perhitungan. Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

03 April 2006

Tajdid Iman: Bukti berkat habis harta untuk ilmu

Bersama Dr Juanda Jaya

SIFAT pemurah kedua adalah pemurah kepada agama. Seorang ulama yang pemurah akan menghabiskan seluruh masanya untuk kebaikan agama. Bagaimana caranya supaya ilmu dapat tersebar ke seluruh peringkat masyarakat. Ini kerana Allah akan meminta pertanggungjawabannya terhadap ilmu, bagaimana ia diamalkan?

Kisah yang kedua adalah biografi seorang ulama yang dibesarkan dengan semangat kental ibunya yang mahukan dia berjaya walaupun hidup dalam kemiskinan. Beliau adalah Rabi'ah al-Ra'yi bin Abu Abdul Rahman. Guru kepada Imam Malik bin Anas, Sufyan al-Thauri, Al-Auzha'i, Yahya bin Said al-Ansari serta 40 ulama dan tokoh besar Madinah yang lain. Bahkan, Abdullah bin Umar pernah berkata: "Sesungguhnya Rabi'ah adalah seorang pemuda yang alim dan dihormati di kalangan kita."Sifat pemurah dengan agama terserlah pada peribadi ibu Rabi'ah dan turun kepada anaknya. Ayah Rabi'ah adalah seorang pejuang yang terpaksa berpisah dengan anak dan isterinya untuk menjaga perbatasan wilayah kaum Muslimin di sempadan. Sebelum pergi, suami sempat berpesan kepada isterinya untuk menjaga hartanya yang ditinggalkan. Mereka boleh mengambil harta itu sedikit untuk keperluan kedua-duanya ketika ketiadaan suami tercinta. Harta itu berjumlah 30,000 dinar, harta yang cukup banyak bagi mereka berdua. Selepas bertahun-tahun pergi berjihad di wilayah sempadan, suami pun pulang ke rumah. Anak yang dewasa tidak mengenali ayahnya lagi.
Pertemuan anak beranak itu terasa asing bagi kedua-duanya. Pada suatu hari si ayah ke masjid untuk menunaikan fardu Subuh, selepas solat dilihatnya orang berkerumun di sekitar majlis ilmu yang diajarkan oleh seorang ulama. Dia tidak berapa mengenali ulama itu kerana duduk jauh.Selepas selesai syarahan, orang yang duduk di sebelah beliau asyik memuji ulama yang warak dan terkenal dengan keluasan ilmunya itu."Tahukah anda, pemuda yang bersyarah itu adalah anak Abu Abdul Rahman?" Tersentak lelaki itu ketika namanya disebut. Betulkah pemuda itu adalah anakku? Beliau berasa terlalu gembira sehingga menitis air matanya. Anak yang dikasihi duduk di tengah majlis yang dipenuhi muridnya. Mereka sungguh memulia dan menghormati anaknya itu. Bergegaslah beliau pulang ke rumah, bertanyakan kesahihan berita itu. Kegembiraannya memuncak ketika isterinya membenarkan khabar yang dibawanya dari masjid. Tetapi, beliau melihat wajah isterinya kerisauan seperti menyembunyikan sesuatu. Beliau bertanya kepada isterinya: "Mengapa engkau kelihatan muram, adakah sesuatu yang engkau tutupi daripadaku?"Jawabnya: "Wahai suamiku, sesungguhnya wang yang engkau suruh aku menyimpannya sebanyak 30,000 dinar dulu telah aku habiskan untuk memberi pelajaran kepada anak kita."Kata Abu Abdul Rahman: "Demi Allah engkau telah habiskan semuanya? Allah telah memberkati harta itu dan menjadikan anak kita kurniaan yang besar bagi umat ini." Demikianlah sifat pemurah seorang ibu supaya anaknya dapat memberi manfaat untuk agama dengan ilmunya.
Kisah ini mengandungi hikmah yang sungguh bernilai untuk memperjuangkan agama dengan cara menuntut ilmu dan menyebarkannya kepada umat. Ia perlukan sokongan kewangan yang besar. Sikap kedekut untuk menuntut ilmu akan membantutkan proses pembelajaran seseorang. Hanya si pemurah yang akan dibukakan jalannya kepada kefahaman itu.Tetapi, banyak kita dapati ibu bapa yang terlalu mementingkan hiburan dan kemewahan untuk anak mereka atau membeli pakaian dan perhiasan bergaya lebih disukai daripada membeli sebuah komputer atau ensiklopedia. Ketiga ialah sifat pemurah dengan dunia. Abu Bakar al-Shiddik adalah contoh terbaik yang mewakili manusia yang bersifat pemurah dengan hartanya. Beliau memerdekakan hamba dan menjadi penolong dakwah Rasulullah SAW sehingga habis seluruh hartanya. Ketika berhijrah, semua hartanya dibawa bersama sebagai infaq ke jalan Allah.
Beliau berkata kepada puterinya Asma': “Masukkanlah batu-batu kerikil ke dalam tabung keluarga kita dan goncangkanlah supaya terdengar ia masih berisi, hingga tidak akan risau datuk kamu yang buta itu apabila mendengarnya." Sifat Abu Bakar yang pemurah mengajar kita mengenai kemuliaan harta benda, jika ia dikeluarkan pada jalan yang diredai Allah. Sebaliknya, ia akan menjadi bara api neraka juga orang yang membelanjakannya pada jalan maksiat dan kekufuran. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Takutlah kamu (terhadap api neraka) walaupun kerana setengah biji kurma." Takutlah kepada api neraka dengan banyak bersedekah, tetapi bagaimana hendak bersedekah jika anda bukan orang kaya? Berusaha dan bekerjalah, nanti Allah akan membalas kerja anda di dunia sampai akhirat. Jadilah orang yang pemurah dengan diri, jiwa dan raga. Dengan agama dan harta yang ada.
INTI PATI
Sifat pemurah dituntut agama
  • Sikap kedekut untuk menuntut ilmu akan membantutkan proses pembelajaran seseorang.
  • Hanya si pemurah yang akan dibukakan jalannya kepada kefahaman itu.
  • Allah akan memberi pembalasan baik di dunia dan sampai akhirat kepada orang yang berusaha dalam pekerjaan masing-masing
  • Ibu bapa perlu bersifat pemurah kepada anak agar dapat dimanfaatkan untuk agama dengan ilmu