Jernihkan Fikrah Sebelum Berdakwah - Ustaz Hasrizal Jamil
“Saya mahu sertai program PAS, program JIM, program ABIM dan ikut Tabligh keluar sebab saya sudah bosan dengan perpecahan”, kata seorang anak muda kepada saya.
Saya mengangguk.
Kemudian menggelengkan kepala.
Saya bersetuju dengan keluhannya bahawa kita semua sudah bosan dengan perpecahan. Tetapi saya menggelengkan kepala kerana tidak bersetuju dengan formulanya untuk mengatasi perpecahan itu.
“Tentu sahaja idea itu baik dan saya menyokongnya, jika anda meletakkan diri sebagai penyokong dan kekasih Islam”, saya cuba menjelaskan sebab saya menggelengkan kepala pada separuh kedua kenyataan pelajar tersebut.
“Tetapi jika anda seorang pendokong dan kekasih yang berkasih dengan Islam, anda harus lebih teliti, rasional dan realistik”, saya menyambung.
“Maksud ustaz?”, tanyanya kepada saya.
Asalnya saya kurang berminat bercakap tentang hal ini. Terserahlah kepada anak-anak muda ini untuk mencari cara terbaik bagi mereka ‘menolong agama Allah’. Tetapi option yang terlalu terbuka menyebabkan mereka meraba-raba di bawah sinar mentari, bukan purnama.
“Izinkan ustaz membuat satu analogi”, saya cuba memudahkan perbualan.
KOMITMEN KERJA
“Jika kita seorang pengguna ubat gigi, kita bebas untuk memilih ubat gigi yang sesuai dengan keperluan kita. Pilih sahajalah mana-mana ubat gigi yang ada di pasaran kerana semua ubat gigi itu umumnya berkongsi tujuan… memutih dan menyihatkan gigi kita…
… tetapi jika kita bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di sebuah kilang ubat gigi, atau pegawai pemasaran, malah pekerja subordinate di kilang tersebut, adalah mustahil untuk syarikat kilang itu membenarkan anda pada masa yang sama bekerja di syarikat ubat gigi yang lain!”, saya menyudahkan penjelasan.
“Kenapa pula?”, tanyanya dalam kekeliruan.
“Aih… takkan tanya ‘kenapa pula’? Anda akan bertindan waktu kerja, anda akan bertindan strategi pemasaran, anda akan bertindan pelbagai kepentingan dan siapakah yang akan anda berikan keutamaan?”, saya agak terkejut dengan kekaburan fikiran beliau.
“Setiap kumpulan Islam, mempunyai maksud dan tujuan besar yang sama. Tetapi malangnya mereka berbeza jalan dan pendekatan hingga ada yang bertembung dan bertentangan. Ada yang mahu sampai kepada Islam dengan memanfaatkan ruang di dalam demokrasi, ada yang mahu sampai kepada Islam dengan berperang berpatah arang dengan demokrasi… itu contohnya”, saya menyambung.
“Ada kumpulan yang menganggap penglibatan dan keprihatinannya terhadap persoalan siasah dan isu semasa sebagai suatu kelebihan, manakala ada kumpulan yang menganggap pendirian non partisannya sebagai prinsip yang mesti dipertahankan. Maka, anda boleh menghadiri program semua kumpulan ini, jika kehadiran yang anda maksudkan itu adalah sebagai peserta program umum, outreach dan anda hadir sebagai orang yang hanya mahu menerima. Bukan memberi!”, tambah saya.
“Dan ustaz sering mengingatkan kami bahawa penglibatan kita di dalam dakwah harus untuk memberi, bukan menerima, betul tak?”, tanyanya.
“Yang ini ustaz angguk 100%”, saya tersenyum.
MEMBERI DAN MENERIMA DI DALAM DAKWAH
Dalam beragama dan berdakwah untuk menolong agama, apa yang perlu kita fikirkan bukan hanya pada soal apa manfaat yang kita dapat. Jika itu sahaja yang menjadi pertimbangan kita, maka tidak hairanlah kita ini mungkin menjadi orang yang paling banyak tahu, tetapi tidak berguna dan bernilai di sisi Islam, kerana tiada keinginan memberi.
Seronok mengaji tetapi tidak sampai kesedaran tentang tuntutan mengajar.
Kata Nabi SAW:
“Sebaik-baik kamu adalah dia yang paling bermanfaat kepada manusia”
Maka seorang mukmin yang mengikut jalur kenabian akan segera mahu memberi sejurus selepas menerima, apatah lagi dalam soal-soal kebaikan:
“Tidak sempurna iman sesiapa dari kalangan kamu sehingga dia itu suka untuk saudaranya, apa yang disukainya untuk diri sendiri”
Dalam erti kata yang lain, penglibatan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam, bukan hanya dengan maksud mahu menjadi penyokong, pengambil manfaat, penerima semata-mata, tetapi mahu bergerak setapak lagi ke depan dengan menjadi pendokong, penyumbang manfaat dan pemberi pula.
Apabila seseorang itu mahu menjadi pendokong, penyertaannya bersama sebuah gerakan Islam haruslah atas dasar kebersamaan, saling percaya mempercayai, atau dengan bahasa yang lebih kemas, dengan merujuk kepada rukun-rukun komitmen yang disebut sebagai arkaan al-bai’ah yang sepuluh oleh Hasan al-Banna.
Justeru, tidak mungkin di peringkat taaruf menuju takwin, untuk seseorang itu menjadi anggota sebuah kumpulan Islam, dan dalam masa yang sama turut menganggotai kumpulan-kumpulan yang lain, dengan alasan mahu mengambil manfaat sebanyak mungkin.
Kebarangkalian dari segi strategi bergerak, mungkin ada ruang yang membolehkan. Ramai sahaja ahli JIM yang turut menjadi aktivis PAS. Ada sahaja aktivis PAS yang dipinjamkan ke PKR dalam pilihanraya. Tetapi ini bergerak di dalam kerangka siasah, tidak dalam agenda tarbiyah.
Oleh yang demikian, idea ‘pelik’ sesetengah kita yang memilih JIM supaya boleh menyokong PAS tanpa risiko, harus disemak semula, terutamanya di kalangan warga menara gading. Itu idea politik, bukan idea tarbiyah.
Tarbiyah itu ialah proses mengacu dan membentuk, sebelum diguna pakai di lapangan yang pelbagai termasuk siasah. Maka proses pembentukan fikrah tidak akan berhasil jika tajarrud dalam pemikiran tidak dibentuk. Pemikiran akan lebur dan mencetuskan krisis identiti dan fikri.
Akhirnya kita sendiri tidak tahu apa yang kita tahu dan tidak tahu apa yang kita percaya. Amal bagaimanakah yang boleh terbit dari kekaburan fikrah dan kepercayaan seperti ini?
Era pentarbiyahan itu adalah era pembentukan(takwin). Ia seumpama kilang untuk menghasilkan sesuatu produk. Kilang melahirkan da’ie.
Jika dipinjam analogi ubat gigi itu tadi, maka di atas rak pasar raya, sepuluh jenama ubat gigi boleh duduk sebelah menyebelah dan terpulang kepada pengguna untuk memilih atas pertimbangan masing-masing.
Tetapi semasa ubat gigi itu di kilang masing-masing, tidak mungkin formula ubat gigi Colgate dicampur dengan formula Sensodyne lalu dikotakkan dengan pakej Darlie. Di kilang Colgate, semuanya harus Colgate. Campur aduk yang tidak menentu dalam menghasilkan produk ubat gigi, hanya akan menyebabkan pengguna keliru dan membuat kesimpulan mudah bahawa ubat gigi Colgate berkotakkan Darlie ini bukanlah kombinasi formula, tetapi ubat gigi palsu semata.
Seorang aktivis JIM itu perlu jelas pada kefahaman dirinya apakah yang menjadikan dirinya itu seorang ahli JIM. Soal komitmen, kepercayaan, menjaga kerahsian, dan tanggungjawab dilaksanakan secara ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’.
Begitu juga dengan aktivis PAS. Penyertaannya di dalam gerakan Islam itu harus atas dasar al-fahmu, memahami dan menghayati fikrah dan perjuangan PAS, serta sama-sama mendokong gerak kerja yang diputuskan bersama. Apakah beza pemikirannya dengan kumpulan lain seperti Hizb al-Tahrir atau ABIM, ia harus jelas dan terbina secara tersusun lagi kemas melalui agenda tarbiyah masing-masing.
TITIK PENYATUAN
Di manakah soal kerjasama dan penyatuan itu boleh berlaku?
Atas dinamika fikrah masing-masing, sikap (attitude) yang positif, kecenderungan kepada titik persamaan mengatasi perbedaan, di situlah kerjasama harus dibina.
Halangan kerjasama, bukanlah pada berbeza jemaah atau berlainan fikrah. Musuh kerjasama dan perpaduan ialah SIKAP dan SERKAP. Serkap fikiran berupa prasangka dan andaian di zon selesa masing-masing.
Akan tetapi, cabaran akan menjadi lebih kritikal jika cubaan penyatuan dibuat di atas kekaburan dan kekeliruan. Tidak memahami apa yang menjadikan JIM itu JIM, PAS itu PAS, lantas mencadangkan titik yang tidak kena dengan realiti.
Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tentukan dahulu apa yang kamu percaya, siapa diri kamu, dan di situlah bermulanya usaha besar untuk kerjasama dan penyatuan yang diimpikan.
Fikrah saya jelas dan di atas kejelasan itu, saya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk pergi ke mana-mana program, bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan seterusnya membantu pada apa yang boleh dibantu. Semuanya harus didahului oleh usaha menentukan apa yang kita percaya lantas menentukan siapa kita.
DALIL
“Tak ada dalil ke ustaz? Main logik akal sahaja?”, tanya pelajar tersebut.
“Ini common sense. Pemikiran yang tidak logik, adalah musuh kepada dalil! Betulkan cara berfikir sebelum meminta dalil.”, itu sahaja yang mampu saya jawab buat masa ini.
Ayuh kemaskan fikrah, untuk kelancaran dakwah.
Sumber dari SaifulIslam.com
logik pon kadang bertentangan dengan dalil...
BalasPadam