26 Oktober 2010

Kenyataan Rasmi Ulamak Pelapis PAS: Isu IFF dan Kedangkalan Ilmu Ulama Muda UMNO

Ulamak Pelapis PAS melahirkan kekesalan apabila tindakan Datin Seri Rosmah Mansur yang menghadiri Festival Busana Islam (IFF) didokong dan dibela oleh saudara Fathul Bari bin Mat Jahya.


(Prime Minister Datuk Seri Najib Razak (left) and his wife, Datin Seri Rosmah Mansor, speaking with Prince Albert II of Monaco at the International Islamic Fashion Festival. — Reuters picture)
Ulamak Pelapis PAS kesal apabila tindakan rakyat yang bangkit berdemonstrasi dalam membantah penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur Festival Busana Islam (IFF) turut dikecam dan dianggap sebagai tersasar daripada konsep Islam.

Bagi Ulamak Pelapis PAS, tindakan saudara Fathul Bari bin Mat Jahya yang membela kesilapan Datin Seri Rosmah Mansur mencalarkan imejnya sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam.

Hujah Bahawa Datin Seri Rosmah Mansur Hanya Penaung Bukan Penganjur

Fathul Bari bin Mat Jahya mempertikaikan sikap PAS yang dianggap salah kerana menurut beliau, Datin Seri Rosmah Mansur bukanlah penganjur sebaliknya hanyalah penaung kepada majlis IFF tersebut.

Namun bagi Ulamak Pelapis PAS, Fathul Bari selaku seorang yang berpendidikan agama sepatutnya jelas mengenai sikap yang perlu diambil oleh seseorang muslim apabila terlibat dengan program-program maksiat sebagaimana yang telah berlaku dalam IFF.

Pakaian menjolok mata dengan tidak mengendahkan arahan Allah agar wanita muslimah menutup aurat ditambah dengan penghinaan nama Nabi Muhammad yang ditulis secara terbalik dan ditonjolkan di bahagian dada wanita yang memperagakan fesyen tersebut sangat jelas untuk dihukumkan sebagai satu majlis maksiat dan menghina Islam.

Menerusi firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa' ayat 140, Allah menegaskan larangan untuk orang Islam bersama-sama di dalam majlis yang menghina ayat-ayat Allah. Umat Islam disuruh untuk menegur maksiat yang berlaku di dalam mana-mana majlis. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka mereka wajib untuk meninggalkan majlis maksiat kerana kebersamaan di dalam majlis berunsur maksiat adalah satu maksiat. Ini jelas terpampang dalam kenyataan para ulama tafsir sewaktu mereka menghuraikan ayat 140 daripada Surah al-Nisa'.

Adakah boleh diterima secara waras bahawa Datin Seri Rosmah Mansur selaku seorang muslimah sebenarnya tidak mengetahui bahawa majlis seperti itu adalah satu majlis maksiat? Adakah beliau boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mengetahui sama sekali bahawa pakaian-pakaian yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah pakaian yang menyongsang daripada kehendak agama Islam?

Ulamak Pelapis PAS beranggapan bahawa Datin Seri Rosmah Mansur menyedari bahawa IFF adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang sebenar. Sekiranya Fathul Bari beranggapan sebaliknya, ini bermakna Datin Seri Rosmah Mansur begitu sangat jahil dalam memahami kehendak Islam dan ini adalah sangat-sangat malang sekiranya berlaku kepada seorang wanita Islam apatah lagi kepada isteri kepada seorang Perdana Menteri.

Sekiranya Fathul Bari mempertikaikan PAS kerana menyelar keterlibatan Datin Seri Rosmah Mansur dalam satu program maksiat, maka Ulamak Pelapis PAS ingin bertanya di manakah suara orang-orang berpendidikan Islam di dalam UMNO seperti Fathul Bari dalam membantras maksiat sebagaimana yang berlaku dalam IFF dan konsert Adam Lambert yang diizinkan oleh kerajaan UMNO untuk dibuat di Malaysia? Ulamak Pelapis PAS kesal dengan sikap orang-orang berpendidikan agama di dalam UMNO yang membisu dalam membantras gejala maksiat di dalam negara sebaliknya begitu lantang mengecap tindakan rakyat yang bangkit menyuarakan isi hati mereka yang tidak berpuas hati apabila agama dipersenda. 

Hujah Bahawa Nasihat Kepada Pemimpin Tidak Boleh Secara Terang-Terangan

Ulamak Pelapis PAS ingin menjelaskan kepada umum bahawa para ulama Islam telah menyatakan bahawa apabila maksiat yang dibuat secara terang-terangan, maka tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam memprotes maksiat tersebut secara terang-terangan.

Sekalipun ada hadith Rasulullah yang meminta supaya nasihat diberikan secara senyap-senyap dan bukan secara terang-terangan, hadith ini sebenarnya ditujukan kepada kesilapan yang dibuat secara senyap-senyap. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan dosa dan maksiat secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, maka orang yang mengetahui kesalahan tersebut tidak boleh sama sekali menghebahkan kesilapan si pelaku kerana Islam meminta umatnya agar menutup keaiban manusia.


Namun sekiranya dosa dan maksiat yang dilakukan adalah secara terang-terangan sebagaimana yang berlaku dalam majlis IFF, maka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan perlanggaran Syariat yang berlaku adalah dibolehkan oleh Islam agar umat Islam mengetahui bahawa majlis yang dibuat secara terbuka tersebut adalah bercanggah dengan Islam.

Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan enam keadaan yang mana seseorang itu dibenarkan oleh Islam untuk mengumpat dan menyatakan kejahatan atau keburukan orang lain:

  1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah ataupun pihak yang berautoriti agar kezaliman dapat dibanteras.
  2. Perbuatan mengumpat dan mendedahkan kesalahan adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran: "Si Fulan melakukan kemungkaran. Maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
  3.  Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
  4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya. 
  5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya secara terang-terangan. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. 
  6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.
Sejarah Islam Bukti Bahawa Kesalahan Pemimpin Yang Dibuat Secara Terangan Ditegur Secara Terangan
 
Sejarah Islam sendiri telahpun mendedahkan kepada kita berkenaan dengan sikap umat Islam dahulu yang berani menyatakan kesilapan para pemerintah secara terang-terangan sekalipun mereka diancam dengan kematian.

Apabila Marwan bin al-Hakam yang merupakan pemerintah Bani Umayyah ketika itu cuba untuk membaca khutbah terlebih dahulu sebelum solat hari raya, tindakan beliau telah ditegur secara terang-terangan oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abu Said al-Khudri. Apabila Marwan bin Hakam tetap mahu berkhutbah dahulu sebelum solat hari raya, Abu Said al-Khudri telah merentap baju pemerintah tersebut agar dia tidak meneruskan niatnya untuk membaca khutbah sebelum solat. Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain yang turut berada di situ telah menegur Marwan secara keras dengan berkata:

"Wahai Marwan. Engkau telah menyalahi Sunnah Nabi. Engkau telah mengeluarkan mimbar pada hari raya sedangkan sebelum ini mimbar tidak pernah dikeluarkan pada hari raya. Engkau telah mulakan dengan khutbah sebelum solat hari raya".

Lantas Abu Said al-Khudri bertanya kepada orang ramai siapakah lelaki berkenaan. Selepas mana hadirin memberi tahu nama lelaki tersebut kepada Abu Said al-Khudri, Abu Said telah berkata:

Adapun orang ini, dia telahpun menunaikan kewajipannya. Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran dan dia mampu untuk mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah Iman".

(Lihat kisah ini dalam Sahih Muslim: Hadith ke-9 daripada Kitab Solat al-`Idayn. Lihat juga Sunan Abi Daud Kitab al-Solat Bab al-Khutbah Yawm al-`Id). 

Antara contoh lain adalah Sultan al-`Ulama Izzuddin bin Abd al-Salam dan Ibnu al-Hajib al-Maliki. Dua tokoh ulama kurun ke-6 ini begitu berani mendedahkan kesilapan Raja Syria ketika itu di atas pentas mimbar Jumaat. Mereka berdua begitu lantang dalam khutbah mereka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan dosa Raja Syria yang bersubahat dengan tentera Salib dalam menyerang Mesir sehingga raja tersebut tergamak membenarkan tentera Salib masuk ke kota Damsyik bagi tujuan membeli peralatan senjata daripada umat Islam. Al-Imam Izzuddin yang merupakan ulama besar dalam mazhab Syafi`e akhirnya telah dibuang negeri dan beliau akhirnya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia.

Ini adalah beberapa contoh kecil yang ada di dalam lipatan sejarah Islam. Maka apabila tindakan PAS mendedahkan kepada umum tentang kesilapan para pemimpin UMNO dipertikai oleh Fathul Bari, Ulamak Pelapis PAS sebenarnya sangsi dengan tahap keilmuan Islam yang dimiliki oleh beliau. Adakah Fathul Bari tidak pernah mengetahui perbahasan seperti ini ataupun beliau sebenarnya sengaja menidakkan fakta ini demi menjaga kepentingan peribadi beliau di dalam UMNO.

Ulamak Pelapis PAS meminta agar orang-orang yang berpendidikan agama di dalam UMNO menginsafi dan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta bersikap tidak mengkhianati ilmu Islam yang dipelajari hanya semata-mata kepentingan keduniaan.

LAJNAH KEAHLIAN DAN ULAMAK PELAPIS
Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur

18 Jun 2010

Ustaz Hasan arkitek tak bertauliah

Oleh: Tuan Haji Subky Latif


ALMARHUM Dato  Fadzil Noor selalu menyifatkan Ustaz Hassan Shukri sebagai akitek tak bertauliah. Dan Almarhum Ustaz Hassan Shukri menerimanya dengan senyum dan senang hati atas jolokan akitek  tak bertauliah itu kerana ia satu penghormatan kepada kebolehnannya membina bangunan yang ada hubungan kegiatannya.

Mithalnya Surau Tarbiyah di Taman Melewar, Batu Caves Kuala Lumpur. Surau yang dibina kerajaan itu diberi nama Surau Tarbiyah dipercaya dia yang memberi namanya.

Nama Tarbiyah yang bermaksud pendidikan itu sangat dekat di hatinya. Apabila dia membina markaz PAS juga di Taman Melewar, lalu dinamakannya Martaz Tarbiyah PAS Pusat pula.

Semasa dia menjadi Setiausaha Agung PAS di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor digalakkannya negeri dan kawasan PAS membina Markaz Tarbiyah masing sebagai pusat pentadbiran parti dan sekali gus menjadi musalla.

Surau Tarbiyah tadi dibina mengikut pelan disediakan kerajaan. Selama lebih 30 tahun dia jadi pengurusi surau itu macam-macam pindaan dan tambahan pada bangunan itu. Kebanyakan penyesuaian itu adalah mengikut reka ciptanya.

Ketika PAS di Wilayah Persekutuan dan PAS Pusat sukar untuk mendapatkan tempat untuk berbagai perhimpunan, Hassan Shukri, bekas Setiausasha Agung dan bekas Timbalan Presiden PAS yang meninggal tengah hari 14 Jun 2004 lalu telah membelikan satu lot tanah untuk PAS Terengganu di sempadan Selangor di Taman Melewar sebagai tapak rumah bagi pemimpin-pemimpin Terengganu yang selalu datang ke Kuala Lumpur.

Tetapi PAS Terengganu membiarkan saja tapak yang bersebelahan dengan rumah Ustaz itu. Saya selalu menganjurkan ceramah – kadang-kadang tiap-tiap minggu di rumah Ustaz Hassan. Dia tidak pernah menolak. Tetapi bila ceramah berakhir pukul 12 malam, isterinya terpaksa mengemas rumah hingga pukul 2 pagi.

Ia mengganggu anak-anaknya yang masih kecil hendak bersekolah esoknya. Lalu saya berpakat dengan PAS Taman Melewar untuk memanfaatkan tanah PAS Terengganu bagi mengadakan ceramah. Kami cadang untuk membinanya seperti kandang, memadai ada bumbung dan dinding ikut keadaan kerana ia tanah orang Terengganu. Ia boleh mengambil tapak itu bila ia rasa ia mahu bina rumah.

Bila Ustaz Hassan mendengar cadangan itu dia pun mencadangkan supaya dibina Markaz Tarbiyah. Pelan asal  markaz itu digarisnya di atas tanah saja di depan tukang dari Indonesia dan pelajar-pelajar lulusan kejuruteraan yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Dari garis di atas tanah itu mereka mendirikan rangka bangunan. Bila terdiri tiang, ada pula yang menghantar pasir, simen, besi, kayu dan lain-lian. Kami tidak banyak mengeluar modal. Ada orang datang untuk memberi belanja siling, ada yang menyumbangkan pintu dan  tingkap.

Dari semasa ke semasa Uztaz Hassan mengarahkan pelajar dan tukang-tukang itu buat begitu dan begini.

Bila siap bangunan itu ada pula lot-lot sebelah dan di belakang bangunan hendak dijual. Ustaz Hassan beli dan sambung pula markaz itu di lot yang baru dibeli itu.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun 2000 markaz itu bertambah besar dari semasa ke semasa kerana orang-orang di situ sedia pula menjual  tanahnya pada Ustaz Hassan. Ustaz Hassan beli  lot-lot itu untuk PAS.

Setiap kali lot baru dibeli, Ustaz Hassan membentang pelan tambahan baru bangunan. Ustaz Fadzil yang tidak pernah membantah cadangannya menyerahkan saja kepada budibicara akitek tak bertauliah itu.

Daripada sebuah bangunan dua tingkat asalnya, ia menjadi sebuah komplek yang ada dewan, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik solat bahkan ada pula tempat orang menumpang bermalam. Rombongan bas dari Kedah dan Kelantan selalu singgah bermalam di situ.

Semua reka bentuk komplek itu hasil ciptaan Ustaz Hassan sendiri.

Dia tidak pernah belajar ilmu pertukangan. Dia adalah seorang lulusan agama. Tetapi dia minat dengan mereka bentuk rumah atau bangunan menjadikan dia tahu teknik-teknik pertukangan.

Markaz Tarbiyah PAS itu adalah karya seninya.

Sejak terbinanya Markaz Tarbiyah itu PAS tidak sukar lagi mengadakan  Mukktamar. Sebelumnya PAS menyewa di Dewan Bahasa untuk bermuktamar. Kadang-kadang muktamar terpaksa ditunda kerana kerajaan hendak menggunakan dewannya. Acap tempahan dibatalkan. Mungkin ia satu cara kerajaan membuli PAS.

Selepas markaz itu didirikan PAS bebas mengadakan berbagai kegiatan. Parti-parti yang bersekutu dengan PAS selalu memanfaatkannya.

Beberapa tahun lalu Pejabat Agung PAS berpindah ke Jalan Raja Laut di pusat bandar Kuala Lumpur. Markaz Tarbiyah tidak lagi jadi tempat pentadbiran. Ia digunakan untuk kegiatan lain.

Sekarang markaz itu sedang dirombak untuk dijadikan kampus bagi kolej universiti Prof. Zuklifli Mohamad. Struktur bangunan itu dikekalkan tetapi renovasinya banyak mengubah bentuk seni rekaan Ustaz Hassan Shukri itu.

Kata Ustaz Hassan pada saya kalau sebahagian  dari peralatan lama dikekalkan, banyak perbelanjaan dapat diselamatkan. Kalau peruntukannya katakannya satu juta ssetengah, separuh daripadanya boleh diselamatkan untuk mentadbiran kolej itu nanti.

Akitek tak bertauliah itu memerhatikan saja pembinaan semula bangunan itu. Sebulan   dua lagi mungkin dapat disiapkan. Tetapi dia tidak sempat menyaksikan bangunan itu disiapkan bagi fungsinya yang baru dan tidak dinamakan Markaz Tarbiyah lagi kerana secara mengejut dia dipanggil pulang ke Rahmatullah.

Tetapi dalam masa 25 tahun terakhir ini dia bolehlah dikira bapa pembinaan markaz tarbiyah, bukan saja bagi Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang terseregam itu tetapi markaz tarbiyah tumbuh di merata tempat untuk memberi laluan kepada umat mengembangkan agama Allah.

Sumber: Harakahdaily