07 Julai 2006

Perilaku manusia mesti sentiasa berlandas adab, tata tertib, akhlak

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka cita.” (Surah al-Baqarah, ayat 112
Berpandukan ayat di atas, Islam diertikan sebagai penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan hati dan itulah inti sari dari keseluruhan makna Islam.Pengertian ini dijelaskan lagi oleh ayat lain seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan.” (Surah al-Imran, ayat 83)
Tiada suatu gerak laku perbuatan yang dapat menterjemahkan dengan tepat hakikat penyerahan diri kepada Allah selain gerak sujud atau tunduk patuh kepada perintah Allah.
Penyerahan itu yang menyimpulkan segala pergerakan, tidak terbatas gerakan zahiri semata-mata malah gerakan yang berkaitan rohani atau maknawi, merangkumi jasmani dan rohani iaitu sujud akal, perasaan, jiwa dan hati.
Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya dari Abi Firas Bin Ka'ab al-Aslami (khadam Rasulullah) dan daripada Ahli Saffah, katanya, “Aku bermalam dengan Rasulullah SAW, aku datang kepada Baginda dan Baginda pun bersabda, “Mintalah daripadaku.” Aku pun berkata, “Aku minta daripadamu untuk mengiringmu ke dalam syurga nanti.”
Rasulullah bertanya lagi, “Ada permintaan lain?” Aku pun berkata lagi, “Itu saja”. Rasulullah pun bersabda, “Kamu mestilah banyak bersujud.”
Sujud adalah amalan yang membantu melapangkan jiwa supaya bersih dan salah satu jalan ke syurga.
Bagi maksud ini ada satu riwayat daripada Imam Muslim daripada Abi Abdul Rahman bahawa Thauban berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu perbanyakkan bersujud, kamu tidak bersujud kepada Allah, melainkan Allah mengangkat darjat kamu dengan sujud itu dan Allah membuang kesalahan kamu dengan-Nya.”
Ada banyak riwayat hadis Rasulullah SAW menyatakan sujud bukanlah semata-mata perbuatan yang kita sedia maklum tetapi sujud sebenarnya ialah perbuatan diiringi suatu pengertian mendalam dalam jiwa tertanam dalamnya kebesaran Allah dan keagungan-Nya, rahmat dan kasih sayang-Nya yang membawa ketundukan kepada Allah secara mutlak sama ada perintah dan larangan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)
Tatkala Islam dan umatnya dilabel dengan imej keganasan, kemunduran dan sebagainya akibat berlaku salah faham terhadap Islam sama ada di kalangan umat Islam atau bukan Islam, imej Islam berada pada tahap yang tidak sepatutnya.
Kita sebagai orang Islam perlu memainkan peranan lebih proaktif bagi memastikan Islam, agama yang membawa mesej kesejahteraan, keamanan, kemajuan dan seumpamanya terus dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah al-Imran, ayat 139)
Langkah pertama dalam memartabatkan Islam dan membina semula tamadunnya iaitu memahami Islam sebenarnya dan menjernihkan kekaburan terhadap fahaman Islam secara menyeluruh.
Ramai di kalangan kita hanya memahami Islam dengan kulit tanpa meneliti isinya. Islam hanya dilihat sebagai agama yang berkaitan dengan ibadat semata-mata seperti solat, puasa, zakat, haja dan sebagainya.
Kefahaman ini wajar dijernihkan dengan perkara berikut:
  • Kehidupan manusia adalah berdasarkan penyerahan diri kepada Allah dalam bentuk akidah iaitu menerima, menganut dan mengikut kerelaan hati membentuk akidah atau sistem akidah yang ditetapkan Islam. Setiap Muslim wajib mempunyai ikatan akidah yang jelas dalam perhubungan dengan Allah iaitu ketulenan Tauhid dan kesucian dari syirik kepada-Nya.
  • Kehidupan manusia adalah berdasarkan penyerahan diri kepada Allah dalam bentuk ibadat iaitu menerima, menurut dan mematuhi ibadat khusus yang difardukan Allah dan ditunjukkan Rasulullah SAW tanpa perasaan kesal atau tidak senang dalam dada.Firman Allah SWT yang bermaksu: “Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An'am, ayat 162)
  • Kehidupan manusia adalah berdasarkan penyerahan diri kepada Allah dalam bentuk syariah atau undang-undang iaitu menerima, mematuhi dan melaksanakan peraturan dan undang-undang ditentukan Allah sebagai hakim mutlak yang mempunyai kekuasaan, kerajaan dan pemerintahan di alam semesta.Sistem ditetapkan Allah termaktub dalam perlembagaan Ilahi yang meliputi semua aspek dalam sistem kehidupan manusia sama ada dalam bidang pemikiran dan amalan.Setiap manusia yang diciptakan Allah mempunyai batasan yang ditetapkan Islam. Layar kehidupan berpaksikan Syariah Islamiyah akan memperteguhkan dirinya di atas landasan iman dan takwa.
  • Kehidupan manusia adalah berdasarkan penyerahan diri kepada Allah dalam bentuk akhlak. Membentuk diri dengan mengikut acuan akhlak yang ditetapkan Allah dengan menerapkan nilai nas Ilahi dan diperlihatkan dengan model insan unggul iaitu junjungan agung Nabi Muhammad SAW.Akhlak Islam meletakkan seluruh perilaku manusia mesti beralaskan adab dan tatatertib seperti adab berpakaian, pergaulan dan seumpamanya.