25 Januari 2008

Berperanglah di jalan Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah s.w.t: Dan berperanglah kamu sekalian di jalan Allah, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 244)

SYEIKH Sya’rawi berkata: “Selepas Allah menceritakan berkenaan dengan cubaan sebahagian daripada Bani Israel yang ingin melarikan diri daripada kematian tetapi Allah mentafsirkan mereka untuk mati kemudian menghidupkan dengan begitu mudah.

“Ini merupakan pelajaran yang amat jelas bagi orang yang beriman yang apabila datang urusan berperang pada jalan Allah, maka jangan risau hai orang yang beriman jika peperangan menyebabkan kamu menerima kematian. Ini kerana mati boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.”

Firman Allah s.w.t: Dan berperanglah kamu sekalian di jalan Allah.

Ibnu al-Arabi berkata: “Satu kumpulan ulama kami mengatakan: Ayat ini merupakan ayat yang mujmal. Akan tetapi pendapat ini salah, malah ia adalah ayat yang umum.”

Imam Malik berkata: “Jalan-jalan Allah itu banyak.”

Al-Qadhi berkata: “Tidak ada satu jalan pun dari jalan-jalan Allah melainkan ada perjuangan ke atasnya dan padanya. Jalan Allah s.w.t yang paling awal dan agung ialah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad. Inilah jalanku, aku dan orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. (Yusuf: 108).

Rasulullah s.a.w. bersabda sebagai menyempurnakan maksud ayat itu dengan katanya: “Barang siapa yang berperang untuk meletakkan agama Allah s.w.t. di tempat yang paling tinggi, maka dia berperang di jalan Allah s.w.t..”

Dengan itu ternyatalah apa sahaja aspek yang berkaitan dengan syariat harus berlaku peperangan kerana untuk mendapatkannya atau mempertahankannya. Dengan itu ternyatalah ayat itu difahami menurut keumumannya dan ada penegasan dari segi pengkhususan hukumnya.

Jika dikatakan: “Bagaimana dengan orang yang berperang kerana mempertahankan hartanya?

Kami menjawab: “Dia berperang di jalan Allah s.w.t. berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barang siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia mati syahid.”

Hamka berkata: “Berperang pada jalan Allah s.w.t. adalah untuk meninggikan Kalimah Allah untuk mengamankan agama daripada ancaman musuhnya untuk mempertahankan dakwahnya. Kata Sabilillah yang bermakna Jalan Allah merangkumi maksud yang sungguh luas. Mempertahankan kemerdekaan pun dikira termasuk di dalam rangka jalan Allah s.w.t..

Sebab bangsa yang dijajah dan diperkotak-katikkan oleh bangsa lain seolah mereka telah dibunuh. Maka sepakatlah ahli-ahli fiqh mengatakan bahawa apabila musuh telah masuk ke dalam negeri orang Islam, maka hukumnya menjadi fardu ain untuk berperang pada waktu itu. Semua orang wajib untuk mengerahkan tenaga bagi mempertahankan negerinya dan tidak boleh ada seorang pun yang ketinggalan sehingga semuanya bersama dalam medan peperangan itu.”

Al-Baghawi berkata: “Kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat ini ditujukan kepada yang dihidupkan supaya berperang pada jalan Allah s.w.t. kemudian mereka keluar dari negeri mereka lari daripada jihad. Lantas Allah s.w.t. mematikan mereka kemudian menghidupkan mereka dan memerintahkan untuk berjihad. Ada pendapat mengatakan ia dituju kepada umat ini.

Al-Sonhaji berkata: “Mengikut setengah qaul (pendapat) ulama, ayat ini ditujukan kepada kaum yang tadinya telah dimatikan oleh Allah s.w.t. kemudian dihidupkan-Nya semula, maka setelah dihidupkan, mereka telah diseru supaya berperang di jalan Allah.”

Mengikut setengah qaul ulama yang lain pula, ayat ini ditujukan kepada umat Muhammad s.a.w., yang maksudnya: “Janganlah kamu melarikan diri daripada kematian seperti pekerti segolongan kaum Bani Israel yang yang diceritakan dalam ayat 243 itu – mereka telah melarikan diri kerana takutkan mati. Perbuatan melarikan diri yang sedemikian tidaklah ada gunanya.

Maka dalam ayat ini terkandung seruan supaya orang mukmin itu hendaklah berjihad (berperang) pada jalan Allah.

Sayyid Qutub berkata: “Di sini kita dapat memahami sebahagian dari tujuan peristiwa ini, iaitu kita dapat memahami sebahagian daripada hikmah Allah s.w.t. menceritakan pengalaman ini kepada kaum Muslim dalam generasinya yang pertama dan dalam seluruh generasinya yang lain, iaitu janganlah kamu enggan berjihad di jalan Allah s.w.t. kerana cintakan kesenangan hidup dan takutkan mati, sebab mati dan hidup itu berada di tangan Allah s.w.t.. Oleh itu berperanglah kamu di jalan Allah, bukannya kerana sesuatu tujuan yang lain, dan berjuanglah kamu di bawah panji-panji yang lain. Berperanglah kerana Allah.

Firman Allah Taala: Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Sayyid Qutub berkata: “Maksudnya Allah s.w.t. mendengar segala perkataan dan mengetahui segala rahsia atau tujuan di sebaliknya. Allah mendengar segala permohonan dan memperkenankannya dan Dia mengetahui pula segala sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan dan hati mereka. Berperanglah di jalan Allah s.w.t. kerana di dalam perjuangan ini tidak ada amalan yang sia-sia di sisi Allah.

Jihad kerana Allah s.w.t. itu merupakan satu pengorbanan. Pendermaan harta dan infak kerana Allah s.w.t. biasanya digandingkan di dalam al-Quran dengan pembicaraan jihad dan peperangan, terutama di masa jihad itu merupakan amalan sukarela dan para mujahid terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Kadang-kadang ia tidak dapat berjihad kerana harta tidak ada, oleh sebab itulah perlu adanya galakan yang berterusan (mendesak orang ramai) mengeluarkan derma untuk memberi kemudahan kepada para mujahidin di jalan Allah s.w.t.. Oleh itu di sini (ayat yang berikut) mengemukakan seruan derma dan infak dalam bentuk yang amat menarik.

Al-Sonhaji berkata: “Allah itu Maha Mendengar akan ulasan-ulasan dan alasan-alasan orang tentang seruan berjihad itu, sama ada menyambut seruan itu dengan patuh ataupun enggan mematuhinya sambil berdalih mengemukakan berbagai alasan. Lagi mengetahui, yakni Allah Maha Mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati hamba-Nya, yang mana semuanya itu kelak akan diberi-Nya balasan.”

Al-Qurtubi berkata: “Allah s.w.t. mendengar ucapan kamu seperti mana mereka berkata dan mengetahui kehendak kamu dengannya.”

Iktibar Ayat:

* Imam Nasafi berkata: “Galakan supaya berjihad selepas diberitahu kerana tidak mungkin kita boleh melarikan diri daripada mati.”

* Al-Maghari berkata: “Arahan dalam ayat ini supaya kita menghiasi diri kita dengan sifat berani dan memakai seluar kekuatan supaya musuh berasa gerun dan kita menjadi golongan yang mulia dan hidup dalam kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

* Mengisbatkan sifat Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Sumber: Utusan

03 Januari 2008

Apa ada pada tudung?

Petikan dari Utusan

“YAA dik, mari beli tudung! Macam-macam ada, tudung bawal, tudung Wardina, tudung Mawi pun ada, dik...,” sapa si penjual tudung ketika aku dan adikku melawat ke kedainya di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di ibu kota.

Tiba-tiba aku terpandang akan seorang kanak-kanak perempuan bersama ibunya membelek-belek tudung sekolah berwarna putih yang dijual. Si ibu kemudiannya memakaikan tudung tersebut kepada anaknya.

“Nah, tudung ini sepadan dengan kamu ya..” aku terdengar perbualan si ibu kepada anaknya.

“Mmm..Along kena ke pakai tudung nanti...rimas la, umi...,” balas anaknya.

“Along sayang, Along pakai tudung ni lagi nampak comel. Allah suruh kita tutup aurat, sayang. Bila kita pakai tudung, kita dapat tutup aurat rambut kita..Jadi bila kita pakai tudung, kita dapat pahala ya sayang...,” jelas si ibu dengan penuh kasih.

Memerhatikan gelagat ibu tersebut bersama anaknya membuatkan aku mengimbau kembali pengalaman pertama aku memakai tudung. Pada ketika itu aku bakal memasuki darjah enam persekolahan. Ibuku mula menyuruhku memakai tudung untuk ke sekolah serta pada waktu lain.

Tudung? Mengapa mesti memakai tudung? Bentak hatiku apabila disuruh memakai tudung oleh ibu ketika itu. Perasaan negatif menyelubungi diriku apabila mula-mula mencuba memakai tudung. Panas, rimas, tidak lagi dapat menggayakan rambutku seperti mana rakan-rakanku yang lain yang tidak memakai tudung. Apatah lagi bilangan pelajar yang memakai tudung ketika itu boleh dibilang dengan jari. “Izzah dah jadi ‘alim’,” kata mereka.

Namun kupakai juga tudung atas pujukan dan sokongan ibu dan ayahku. Mereka jelas bijak mendidikku bertudung dengan turut menjelaskan maksud serta hikmah berkenaan kewajipan menutup aurat. Ini membolehkan aku memahami akan maksud suruhan mereka agar aku bertudung.

Malah ibuku juga menunjukkan contoh ikutan buatku dalam pemakaian tudung. Sudah tentu kita sudah sedia maklum dalam usaha mendidik anak-anak, kita perlu terlebih dahulu mengamalkan apa yang kita mahu mereka amalkan agar ia lebih tersemat dalam hati mereka.

Apabila aku memasuki tingkatan satu, aku ditanya oleh seorang rakanku yang bukan beragama Islam.

“Izzah, kenapa awak memakai tudung?”

“Ohh….Mmm...”

Terkedu sebentar aku tatkala mendengar soalan yang menusuk kalbu itu. Soalan tersebut seolah-olah kilat yang menyambar benak fikiranku.

Aku berusaha menyusun buah fikiranku agar dapat ku lontarkan jawapan yang bernas serta logik. Aku perlu berhati-hati menjawab agar tidak timbul salah faham terhadap ajaran Islam berkenaan isu menutup aurat. Pada masa yang sama aku juga perlu memberikan jawapan yang logik bersesuaian dengan pemahaman mereka.

“Begini, pertamanya ia adalah perintah Tuhan. Dan perintah Tuhan itu juga membawa ke arah kebaikan untuk manusia sendiri. Cuba bayangkan, ada dua orang gadis, seorang memakai pakaian yang sopan dan menutup bahagian badan yang dipanggil aurat, dan seorang lagi memakai pakaian yang menjolok mata.

“Bila kedua-dua gadis ini melintas di depan sekumpulan lelaki, siapakah yang akan menarik perhatian mereka terlebih dahulu?,” tanyaku kembali kepada rakanku itu. Sengaja soalan tersebut aku lontarkan kepadanya agar dia dapat memikirkan sendiri jawapannya.

“Tentulah gadis kedua itu yang akan menjadi perhatian, malah kadangkala dia akan diganggu dan diusik-usik lagi,” ujarnya seolah-olah membayangkan kejadian itu sedang berlaku depan mata.

Aku tersenyum lalu berkata, “nah, awak sendiri pun kata begitu kan? Manusia memang dicipta secara semula jadinya mempunyai perasaan yang dipanggil nafsu. Nafsu ini jika tidak dikawal, mampu membawa kepada keburukan kerana tidak berlandaskan kepada agama. Perintah ini nampaknya seperti suatu bebanan, tetapi sebenarnya mengandungi kebaikan yang banyak untuk kesejahteraan manusia sendiri.

“Ia juga bertujuan memelihara kehormatan wanita itu sendiri. Tuhan yang mencipta kita, sudah tentu Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kita”.

Rakanku nampaknya berpuas hati dengan penjelasan ringkas yang ku berikan padanya. Alhamdulillah pengalaman sedemikian turut membuka mata hatiku. Soalan tersebut seolah-olah menanyakan kembali kepada diriku sendiri apakah niatku yang sebenar untuk memakai tudung. Adakah ia sekadar satu kebiasaan yang perlu aku amalkan atau adakah terdapat hikmah di sebalik tuntutan tersebut?

Semasa bersekolah dahulu aku juga rajin dibawa oleh ibu ke majlis-majlis ilmu. Ketika itu semua kaum wanita yang hadir memakai tudung. Di situ juga timbul rasa malu terhadap diri sendiri andai ku hadir tanpa bertudung. Oleh itu setiap kali mengikuti ibuku ke majlis-majlis ilmu sedemikian akan ku pastikan tudung dipakai.

Kini aku bersyukur akhirnya bertudung menjadi amalanku. Aku tidak lagi berasa kekok, malu atau terbeban untuk memakai tudung. Walaupun ku akui kadangkala timbul rasa rimas dan berpeluh terutamanya ketika cuaca panas, perkara tersebut tidak lagi menjadi halangan bagiku untuk terus memakai tudung.

Ternyata peranan ibu bapaku amat penting dalam mendidikku untuk menutup aurat, termasuklah dalam pemakaian tudung. Memang pada awalnya terasa keberatan, kemalasan dan kesukaran untuk membiasakan diri memakai tudung.

Namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Alhamdulillah kini aku berasakan bertudung sebagai satu kewajipan untukku dalam memenuhi tuntutan menutup aurat. Pengisyaratan Allah mewajibkan umat Islam agar menutup aurat membawa kepada asas pembinaan maruah dan kehormatan diri supaya menghasilkan insan yang bertaqwa dan berakhlak mulia.

Kini juga kedapatan pelbagai fesyen pemakaian tudung yang dipromosikan oleh pelbagai pihak. Ini membolehkan si pemakai mempelbagaikan penggayaan tudung agar bersesuaian dengan masa dan tempat.

Namun pada masa yang sama wanita Islam harus berusaha untuk mengikuti panduan menutup aurat yang dianjurkan Islam. Pada dasarnya Islam mengisyaratkan kaum wanita agar menutup auratnya dari kepala hingga ke kaki kecuali muka dan tapak tangan dalam persekitaran di mana hadirnya lelaki yang bukan mahram.

Di samping itu, mereka harus memahami bahawa pakaian yang dikenakan juga tidak menampakkan bentuk tubuh badan, dan tudung yang dikenakan juga haruslah labuh menutupi dada. Maka akan bertambah lengkaplah penampilan dan personaliti seseorang itu seiring dengan akhlak mulia dan adab sopan yang dimiliki.

“Akak! Termenung pulak dia ni. Cepatlah carikan tudung untuk hadiah hari jadi ibu...” tegur adikku tatkala melihatku keasyikan melihat gelagat kanak-kanak tersebut dan ibunya sejak tadi.

“Oh ye.. la.., jom pilih tudung untuk ibu, ” balasku setelah tersedar daripada lamunanku sendiri. Kami bingkas membelek-belek tudung-tudung yang dijual di kedai tersebut. Tudung oh tudung!