06 Januari 2009

Hukum Puasa Hari Asyura

Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura` dan baginda menjawabnya: "yukaffirus sanatal maadhiyah" (dapat mengkafarahkan dosa setahun yang lalu).

Disunnatkan juga berpuasa pada hari Tasu`a kerana Junjungan s.a.w. bercita-cita untuk mempuasai hari tersebut agar tidak menyerupai kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari 'Asyura`. Jadi eloklah kita berpuasa hari-hari tersebut, kalau nak makan bubur 'Asyura` tunggulah waktu berbuka. Jangan pula benda yang nyata sunnat kita tinggalkan.

Imam ath-Thabrani dan Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Sayyidina Abu Sa`id al-Khudri, Sayyidina Abu Hurairah, Sayyidina Jabir dan Sayyidina Ibnu Mas`ud r.'anhum bahawa Junjungan s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang memberi keluasan / kelapangan (yakni keluasan rezki) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezkinya sepanjang tahun tersebut."

Berhubung hadis ini muhadditsin berbeza pendapat, ada yang mensabitkannya dan ada yang mendha`ifkan. Imam as-Sayuthi dalam "ad-Durarul-Muntatsirah" mensabitkan hadis ini sebagai sahih.

Syaikh Zainuddin al-Malibari menulis dalam "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" bahawa Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata:
"Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, dan benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut, iaitu luas rezki sepanjang tahun).

Sumber: Bahrusshofa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan