17 Jun 2009

Pandangan Islam Terhadap Islam Inksklusif

Ada dua soalan berkenaan sebuah artikel dalam sebuah laman web sebuah akhbar. Ia berkenaan dengan Islam Inklusif dan Islam Eksklusif. Setelah saya (Ustaz Salman Maskuri) membacanya, saya cuba menjawabnya menurut perpsektif Islam sekadar ilmu yang sedikit yang saya ada.

Penamaan Bid’ah

Islam Inklusif adalah satu penamaan yang merupakan bid’ah dalam Islam. Islam tidak memerlukan
rebranding yang boleh mengelirukan umat Islam. Banyak penamaan bid’ah yang timbul di zaman kini seperti Islam Inklusif, Islam Eklusif, Islam Liberal, Islam Hadhari, Islam Wasati dan sebagainya. Islam adalah Islam yang satu yang sudah sempurna dulu, kini dan selamanya. Ia sudah sempurna. Firman Allah:

“Pada hari ini Aku telah menyempurnakan agamamu bagi mu dan Aku telah sempurnakan nikmat-Ku untukmu dan Aku telah redha Islam sebagai Islam sebagai agama.” (3 : al-Al-Maidah)

Disini saya akan beberapa kenyataan dalam artikel tersebut untuk saya jawab:

Kenyataan satu:
"Namun, dalam realiti kehidupan, ia menunjukkan betapa konflik umat manusia sama ada konflik etnik, konflik politik-sosial-ekonomi dan keganasan global sering terjadi atas nama agama. Misalnya, lihatlah apa yang berlaku di Palestin dan di bahagian dunia lain. Apakah ajaran agama-agama itu menuntut sikap dan tindakan sedemikian rupa daripada penganutnya? Apakah penghayatan agama yang mendalam akan melahirkan tindakan keras daripada penganutnya? Tentu sekali jawapannya tidak!"
Jawapan:

Dalam menyentuh isu Palestin bukannya kerana umat Islam itu menyeru keganasan. Tetapi kita perlu faham bahawa tanah Israel sekarang adalah tanah milik umat arab dan Islam Palestin. Sila lihat sejarah dan kronologi penubuhan negara haram Israel yang telah saya tulis dalam artikel blog sebelum ini. Adakah menentang orang yang telah membunuh ahli keluarga dan merampas rumah kita satu keganasan.

Bagaimana pula dengan pejuang-pejuang melayu seperti Mat Kilau, Datok Bahaman dan tenetera-tentera yang menentang komunis. Adakah mereka semua ini pengganas? Ada pun yang meletup dan membunuh orang awam seperti di Bali dan sebagainya adalah bukan dari ajaran Islam. Perkara ini saya tak panjangkan dengan dalil kerana ingin beri tumpuan pada Islam Inklusif. InsyaAllah pada artikel lain.

Kenyataan kedua:
Seorang pemikir Islam tersohor Indonesia, Nurcholis Madjid dalam bukunya, Dialog Keterbukaan,
Ulasan:

Pengarang telah mengambil pandangan Nurcholis majid. Seperti yang kita tahu, Nurcholis Madjid adalah seorang tokoh liberal yang telah melakukan banyak bid’ah dalam agama Islam. Diantaranya:

1. Menggap semua ajaran agama yang ada konsep penyerahan pada tuhan adalah benar dan sama. Ini saya petik dari sebuah blog (www.abisyakir.wordpress.com) :

"Namun kemudian muncul pandangan aneh dari seorang Nurcholis Madjid. Ketika menafsirkan ayat, “إن الدين عند الله الإسلام,” Nurcholis menjelaskan bahwa agama apa saja yang mengajarkan konsep berserah diri kepada Tuhan, semuanya diridhai oleh Allah. Agama Yahudi, Nashrani, Hindu, Budha, Shinto, Tao, Konghuchu, dan sebagainya, kalau mengajarkan sikap menyerahkan diri kepada Tuhan, semua diridhai oleh Allah.

Dengan pemahaman seperti Nurcholis itu otomatis ajaran TASLIM seperti yang diajarkan Islam kepada para Ummatnya menjadi tidak istimewa. Sebab bisa jadi, semua agama juga mengajarkan pasrah diri. Dan pemikiran seperti ini juga yang melandasi ideologi pluralisme, bahawa: “Semua agama baik dan benar!”

2. Menggatakan Iblis masuk syurga kerana keimanan yang tinggi.

3. Wanita musyrik yang tidak boleh dikahwini adalah wanita musyrik arab sahaja.

Ia diambil dari beberapa laman web indonesia. Sekiranya benar maka ia adalah beberapa ajaran-ajaran baru yang membahayakan umat Islam.

Kenyataan ketiga
Dalam konteks umat Islam, perlu dibangunkan sikap Islam Inklusif dan bukannya Islam Eksklusif.
Jawapan:

Apakah Inkulsif itu? Saya menjumpai definasinya dalam sebuah laman blogspot (Islam Liberal) seperti berikut:

“Inklusifisme secara ringkas dapat diartikan tidak eksklusif atau tidak merasa paling benar sendiri, dalam bahasa JIL bahwa agama itu seperti roda yang mempunyai jari-jari. Setiap agama adalah jari-jari dari roda tersebut, jika semua pemeluk agama (apapun agamanya) dan dia berbuat saleh maka semuanya akan menuju kesatu titik poros roda tersebut yakni syurga. Artinya, seorang Muslim, Nasrani, Hindu, Budha atau Konghucu,bila menjalankan agama dengan benar (saleh) maka semuanya akan masuk syurga.”
Dari pengamatan saya terhadap definasi ini dan apa yang ditulis dalam artikel tersebut menunjukkan Islam Inklusif ialah menyamakan agama Islam dengan agama-agama yang lain. Ia hampir sama atau memang sama dengan ajaran pluralisme yang dipelopori oleh Nurchalis Majid tokoh Islam Liberal Indonesia.

Ajaran ini adalah bertentangan dengan Islam yang menyatakan hanya ajaran Islam sahaja yang benar. Firman Allah swt:

"Sesungguhnya din (agama/sistem hidup) yang diredhai Allah adalah Islam"
- Ayat 19, Surah Ali Imran

Firman Allah swt:

"Barangsiapa yang mengambil selain Islam sebagai agama, tidak akan diterima apapun darinya dan dia diakhirat tergolong orang yang rugi" - Ayat 85, Surah Ali
Imran

Firman Allah:

"
Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, telah Aku cukupkan atas kalian nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagi kalian" - Ayat 3, Surah Al-Maidah

Firman Allah:

"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benarnya taqwa
kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan
beragama Islam" - Ayat 102, Surah Ali Imran

Agama-agama lain tidak sama dengan Islam dari segi dasar dan perundangannya. Agama-agama lain telah menyekutui Allah yang Maha Esa. Walau pun kebanyakan agama itu mengakui kewujudan Allah tetapi mereka telah syirik. Syirik adalah dosa yang paling besar dalam Islam.

Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik. Dan Dia mengampuni dosa
selain syirik itu bagi siapa saja yang dikehendaki-Nya. Siapa saja yang
menyekutukan sesuatu dengan Allah, maka sesungguhnya ia tersesat
sejauh-jauhnya" - Ayat 116, Surah An-Nisa'

Walaupun Ajaran Yahudi dan Nasrani berasal langit tetapi mereka ini sesat. Kesesatan Nasrani dengan menyekutui Tuhan dengan Ruh Al Quds dan Tuhan anak. Ini jelas bertentangan dengan konsep yang dibawa dalam Surah Al Ikhlas. Kesesatan Yahudi adalah dengan tidak menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul dan menolak al-Quran kerana ia dibawa oleh Nabi Muhammad yang berbangsa arab. Ini adala kerana kedengkian mereka seperti yang disebut dalam ayat 89 Surah Al Baqarah.

Al-Quran telah memberi peringatan kepada umat Islam dari mengikut jalan-jalan orang-orang Yahudi dan Nasrani:

"Hai orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang
yang yang diberi Al Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi
orang kafir sesudah kamu beriman" - Ayat 100, Surah Ali Imran

Dengan konsep yang menyesatkan ini, maka umat akan dengan mudah murtad
karena mereka merasa dengan memeluk selain Islam pun mereka akan masuk
syurga juga.

Kenyataan keempat

Mereka berhujjah untuk menyatakan kesamaan semua agama dari segi dasar dengan ayat al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 62, "Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani, dan sesiapa saja di antara mereka beriman kepada Allah, hari kemudian, dan beramal soleh, mereka akan menerima pahala daripada Tuhan, tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tiada pula mereka bersedih hati."

Jawapan:

Ini adalah ayat yang menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang masuk Islam dan beriman kepada Allah dan hari akhirat dengan ikhlas dan menerima ajaran Islam maka mereka mendapat syurga. Bukannya mana-mana agama pun yang percaya Allah, hari akhirat dan membuat amal baik akan masuk syurga. Kalau mereka benar-benar percaya pada Allah nescaya mereka akan masuk Islam kerana Islam sahaja agama yang diterima.Orang-orang agama lain jelas telah mensyirikkan tuhan dan amalan mereka tidak diterima. Amal baik orang-orang yang kafir akan menjadi debu pada hari kiamat.

Firman Allah:

“Dan kami bentangkan apa yang dilakukan oleh orang kafir, maka kami jadikan amalan tersebut debu yang beterbangan.” - Ayat 23, Surah Al Furqan

Ini adalah peneyelewangan tafsir yang jelas. Ini juga diantara ajaran Islam Liberal yang memberi kebebasan kepada siapa sahaja untuk berijtihad, mentafsir dan memberi pandangan dalam hal agama. Nabi saw bersabda:

“Sesiapa yang berkata tentang Quran dengan pandangannya maka dudukilah tempat duduknya dalam neraka.” (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Kenyataan kelima

Lantas, bagaimana pula dengan ayat al-Quran yang lain seperti yang disebut dalam Surah Ali Imran, ayat 85, "Barang siapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."
Perlu diingatkan bahawa maksud 'dalaman' al-Quran tidak akan dapat dijangkau maksudnya secara 'pasti'.

Jawapan

Memang ayat quran terbahagi kepada dua seperti dalam ayat 7 surah Ali Imran. Pertama “muhkamat” yang jelas maknanya dan yang kedua adalah “mutasyabihat” yang tidak diketahui maknanya seperti huruf-huruf pembuka surah (fawatihu suwar). Ayat ini (85: Ali Imran) sudah jelas dan bukan ayat yang mutasyabihat. Tidak seorang mufassirin mutabar pun yang mengatakan ayat ini mutasyabihat. Mengatakan ayat ini tidak dijangkau maksudnya adalah jelas termasuk dalam orang yang berkata tentang Quran mengikut pandangannya. Nabi saw bersabda:

“Sesiapa yang berkata tentang Quran dengan pandangannya maka dudukilah tempat duduknya dalam neraka.” (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Kesimpulan:

Walaupun Islam sahaja yang diterima oleh Allah dan menolak agama-agama yang lain tetapi Islam tidak memaksa penganut agama lain masuk dalam agama Islam seperti dalam ayat 256 Surah Al Baqarah. Islam tidak menolak untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada penganut agama lain seperti ayat 8 Surah Al Mumtahanah. Hubungan Negara Islam dengan negara-negara bukan Islam adalah seumpa orang Islam dengan Kafir mua’hid (yang mempunyai perjanjian). Ini dijelaskan oleh Dr Muhammad Zuhaily dalam kitabnya (mausu’ah Qadaya Muasarah) dan pengarang kitab Yawaqitun Nawafis , sebuah kitab fekah mazhab Syafie. Islam melarang sama sekali menzalimi kafir mua’hid.

Nabi saw bersabda:

“Ketahuilah sesiapa yang menzalimi kafir mua’hid , mengurangkan haknya, mengarahkannya suatu perkara yang diatas kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaan maka aku akan berhujjah untuk mendakwanya pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat Abu Daud).

Ketahuilah bahawa:

ISLAM SAHAJA AGAMA YANG BENAR

DAN

KEADILAN ISLAM DINIKMATI SEMUA AGAMA.

Rujukan:
  • Al-Quranul Karim
  • Mu’jam al-Mufahris
  • Manahilul ‘Irfan oleh Muhammad Abdul Azim Zarqani,
  • Ad-Daulah wal Imamah oleh Dr Faraj Muhammad dan buku-buku serta laman web yang disebut dalam artikel.
Ucapan ribuan terima kasih kepada yang telah berikan duit untuk saya beli kitab mausu’ah Qadaya Muasarah oleh Dr Muhammad Zuhaily baru-baru ni. Segala sumbangan dialu-alukan dan banyak lagi buku yang saya perlukan.
P/S: Artikel ini telah diedit oleh Ibnu Ali dengan menbaikpulih, memperkemas ejaan serta fakta tanpa mengubah maksud dari artikel asal dari Ustaz Salman Maskuri.
Sumber: Ustaz Salman Maskuri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan