25 Jun 2009

Wabak dan Penyakit Berjangkit Menurut Pandangan Islam

Mukaddimah


Seperti yang diketahui penyakit selsema babi atau virus H1N1 telah menjadi wabak yang merbahaya. Negara kita telah menjangkau 58 orang yang disahkan dan Mesir 40 orang. Malahan dalam berita Ikhwan Online menyatakan kemungkinan virus selesema babi ini akan bergabung dengan virus selsema burung. Ia akan menjadi lebih merbahaya. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita dari perkara tersebut.

Di sini ada 9 perkara berkenaan dengan pandangan Islam terhadap penyakit berjangkit dan wabak ini seperti berikut:

1. Berlakunya jangkitan (infection) penyakit adalah diakui oleh Nabi saw.

Nabi saw bersabda:


فر من المجزوم كما تفر من الأسد

“Larilah dari orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari dari singa.” (Hr Bukhari)

Ini adalah suruhan Nabi saw kepada umatnya berhati-hati ketika bermuamalat dengan pesakit yang membawa penyakit yang boleh berjangkit.
2. Penularan dan merebaknya penyakit memerlukan kepada syarat-syarat yang ketat.

Oleh itu Nabi saw menafikan penularan ini:


لاَ عَدْوَى

“Tidak ada jangkitan penyakit tanpa sebab.” (Hr Bukhari)

Setiap penyakit yang berjangkit ada cara-cara tertentu, ada yang berjangkit melalui makan dan minum, ada yang melalui darah dengan suntikan, ada yang melalui hubungan jenis dan sebagainya. Hadis menafikan jangkitan penyakit tanpa sebab dan dengan cara jangkitan yang sebenarnya.

3. Dalam keadaan yang diperlukan orang yang sihat boleh bersama pesakit dengan berserah pada Allah swt.

Jabir bin Abdullah ra telah meriwayat:


أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ بيد مجذوم فأدخلها معه في القصعة ثم قال : كل بسم الله ثقة بالله وتوكلا عليه
" Sesungguhnya Rasulullah saw mengambil tangan pesakit kusta (leprosy), lalu mengajaknya makan bersama dalam satu bekas. Nabi saw bersabda “Makanlah dengan nama Allah, berpegang teguh kepada Allah dan berserah padaNya.” (Hr Tirmizi)

Oleh itu sesiapa yang bertanggungjawab untuk bersama pesakit yang berjangkit ini seperti pegawai dan petugas perubatan hendaklah yakin dengan Allah dan meminta perlindungan kepadaNya.

4. Pengasingan pesakit berjangkit dari orang-orang yg sihat (isolation).

Nabi saw bersabda:


لا يوردن ممرض على مصح

"Pesakit yang berjangkit tidak boleh mendatangi orang yang sihat.” (Hr Bukhari)

Nabi saw bersabda:

كلم المجزوم وبينك وبينه قيد رمح أو رمحين
“Bergaullah bersama pesakit kusta dengan jarak selembing atau dua lembing.” (Hr Abu Nu’aim)

Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa perlunya pengasingan diantara orang yang sihat dengan pesakit yang berjangkit ini. Ini untuk mengelakkan jangkitan penyakit dan penularannya ke dalam masyarakat.

Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menegah pesakit kusta dari bersama orang yang sihat.

5. Kuarantin (quarantine) dalam Islam.

Kuarantin adalah menghadkan pergerakan orang-orang yang sihat yang pernah bersama dengan pesakit yang berjangkit pada satu tempat dalam masa penyakit itu boleh berjangkit. Tujuan utamanya adalah supaya dapat mengelakkan dari penyakit berjangkit itu menular ke dalam masyarakat yang sihat. Walaupun mereka ini dilihat sihat tetapi ada kemungkinan penyakit sudah berjangkit kepada mereka dan gejala penyakit itu belum timbul kerana masa lagi diperingkat permulaan.

Nabi saw bersabda:


الطاعون أية الرجز ابتلى الله عز وجل به أناسا من عباده فإذا سمعتم به فلا تدخلوا عليه وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تفروا منه

“Taun (plague) adalah tanda kemurkaan Allah yang mana Allah menguji hamba-hambanya. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” (Hr muslim)

6. Syahid kepada orang yang mati kerana penyakit wabak (epidemics).

Aisyah ra bertanya berkata:


سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الطاعون فأخبرني أنه عذاب يبعثه الله على من يشاء وأن الله جعله رحمة للمؤمنين ليس من أحد يقع الطاعون فيمكث في بلده صابرا محتسبا يعلم أنه لا يصيبه إلا ما كتب الله له إلا كان له مثل أجر الشهيد

“Aku bertanya Rasulullah saw tentang wabak taun. Baginda menjawab itu adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Allah akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran Allah dan yakin ia adalah hanya ketetapan ilahi melainkan Allah akan memberinya pahala syahid.” (Hr Bukhari)

7. Islam menggalakkan umatnya berusaha mengelakkan dari penyakit.

Antara usahanya adalah tidak masuk ke tempat yang ada penyakit berjangkit atau wabak. Ini jelas apa yang berlaku kepada saidina Umar ketika mana beliau hendak masuk ke dalam Syam. Apabila beliau mengetahui di Syam berlakunya wabak taun, dia berpatah balik dan tidak jadi masuk ke Syam. Lalu Abu Ubaidah al-Jarrah berkata:


أفرارا من قدر الله؟

“Adakah engkau cuba lari dari ketentuan Allah?”

Umar menjawab:

لو غيرك قالها يا أبا عبيدة نعم نفر من قدر الله إلى قدر الله

“Alangkah baik sekiranya kata-kata ini diucapkan oleh orang lain. Ya, kami lari dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah.” (Hr Bukari)

8. Doa Qunut Nazilah kerana wabak.

Mazahab Syafie dan Hanafi berpendapat sunat qunut nazilah dalam solat untuk menghindarkan taun dan penyakit wabak yang lain. Mazhab Maliki mengatakan sunat solat bukannya doa qunut. Mazhab Hambali menyatakan bahwa tidak disyariatkan qunut untuk menghindarkan wabak kerana berlaku wabak taun pada zaman Saidina Umar dan beliau tidak qunut dan tidak menyuruh orang lain qunut.
9. Sengaja memindahkan penyakit berjangkit kepada orang lain.

Menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah perkara yang dilarang. Nabi saw bersabda:

لا ضَرَرَ وَلا ضِرَارَ

“Janganlah menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.” (Hr Ibnu Majah)

Persidangan Islam yang diadakan di Dubai pada tahun 1415 hijrah telah menyatakan bahawa senghaja memindahkan penyakit yang berjangkit seperti AIDS kepada orang lain adalah dosa besar dan berhak untuk mendapat hukuman yang berat. Perbuatan ini dianggap pembunuhan dengan sengaja yang mewajibkan qisas jika membawa kematian mangsa.

Rujukan:
  1. Mausuah Feqhiah Tibbiah oleh Dr Ahmad Kan’an,
  2. Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar dan
  3. Jawahir Lukluiyyah oleh ad-Dimyati.
P/S: Artikel ini telah diedit oleh Ibnu Ali dengan menbaikpulih, memperkemas ejaan serta fakta tanpa mengubah maksud dari artikel asal dari Ustaz Salman Maskuri.


Sumber: Ustaz Salman Maskuri

17 Jun 2009

Pandangan Islam Terhadap Islam Inksklusif

Ada dua soalan berkenaan sebuah artikel dalam sebuah laman web sebuah akhbar. Ia berkenaan dengan Islam Inklusif dan Islam Eksklusif. Setelah saya (Ustaz Salman Maskuri) membacanya, saya cuba menjawabnya menurut perpsektif Islam sekadar ilmu yang sedikit yang saya ada.

Penamaan Bid’ah

Islam Inklusif adalah satu penamaan yang merupakan bid’ah dalam Islam. Islam tidak memerlukan
rebranding yang boleh mengelirukan umat Islam. Banyak penamaan bid’ah yang timbul di zaman kini seperti Islam Inklusif, Islam Eklusif, Islam Liberal, Islam Hadhari, Islam Wasati dan sebagainya. Islam adalah Islam yang satu yang sudah sempurna dulu, kini dan selamanya. Ia sudah sempurna. Firman Allah:

“Pada hari ini Aku telah menyempurnakan agamamu bagi mu dan Aku telah sempurnakan nikmat-Ku untukmu dan Aku telah redha Islam sebagai Islam sebagai agama.” (3 : al-Al-Maidah)

Disini saya akan beberapa kenyataan dalam artikel tersebut untuk saya jawab:

Kenyataan satu:
"Namun, dalam realiti kehidupan, ia menunjukkan betapa konflik umat manusia sama ada konflik etnik, konflik politik-sosial-ekonomi dan keganasan global sering terjadi atas nama agama. Misalnya, lihatlah apa yang berlaku di Palestin dan di bahagian dunia lain. Apakah ajaran agama-agama itu menuntut sikap dan tindakan sedemikian rupa daripada penganutnya? Apakah penghayatan agama yang mendalam akan melahirkan tindakan keras daripada penganutnya? Tentu sekali jawapannya tidak!"
Jawapan:

Dalam menyentuh isu Palestin bukannya kerana umat Islam itu menyeru keganasan. Tetapi kita perlu faham bahawa tanah Israel sekarang adalah tanah milik umat arab dan Islam Palestin. Sila lihat sejarah dan kronologi penubuhan negara haram Israel yang telah saya tulis dalam artikel blog sebelum ini. Adakah menentang orang yang telah membunuh ahli keluarga dan merampas rumah kita satu keganasan.

Bagaimana pula dengan pejuang-pejuang melayu seperti Mat Kilau, Datok Bahaman dan tenetera-tentera yang menentang komunis. Adakah mereka semua ini pengganas? Ada pun yang meletup dan membunuh orang awam seperti di Bali dan sebagainya adalah bukan dari ajaran Islam. Perkara ini saya tak panjangkan dengan dalil kerana ingin beri tumpuan pada Islam Inklusif. InsyaAllah pada artikel lain.

Kenyataan kedua:
Seorang pemikir Islam tersohor Indonesia, Nurcholis Madjid dalam bukunya, Dialog Keterbukaan,
Ulasan:

Pengarang telah mengambil pandangan Nurcholis majid. Seperti yang kita tahu, Nurcholis Madjid adalah seorang tokoh liberal yang telah melakukan banyak bid’ah dalam agama Islam. Diantaranya:

1. Menggap semua ajaran agama yang ada konsep penyerahan pada tuhan adalah benar dan sama. Ini saya petik dari sebuah blog (www.abisyakir.wordpress.com) :

"Namun kemudian muncul pandangan aneh dari seorang Nurcholis Madjid. Ketika menafsirkan ayat, “إن الدين عند الله الإسلام,” Nurcholis menjelaskan bahwa agama apa saja yang mengajarkan konsep berserah diri kepada Tuhan, semuanya diridhai oleh Allah. Agama Yahudi, Nashrani, Hindu, Budha, Shinto, Tao, Konghuchu, dan sebagainya, kalau mengajarkan sikap menyerahkan diri kepada Tuhan, semua diridhai oleh Allah.

Dengan pemahaman seperti Nurcholis itu otomatis ajaran TASLIM seperti yang diajarkan Islam kepada para Ummatnya menjadi tidak istimewa. Sebab bisa jadi, semua agama juga mengajarkan pasrah diri. Dan pemikiran seperti ini juga yang melandasi ideologi pluralisme, bahawa: “Semua agama baik dan benar!”

2. Menggatakan Iblis masuk syurga kerana keimanan yang tinggi.

3. Wanita musyrik yang tidak boleh dikahwini adalah wanita musyrik arab sahaja.

Ia diambil dari beberapa laman web indonesia. Sekiranya benar maka ia adalah beberapa ajaran-ajaran baru yang membahayakan umat Islam.

Kenyataan ketiga
Dalam konteks umat Islam, perlu dibangunkan sikap Islam Inklusif dan bukannya Islam Eksklusif.
Jawapan:

Apakah Inkulsif itu? Saya menjumpai definasinya dalam sebuah laman blogspot (Islam Liberal) seperti berikut:

“Inklusifisme secara ringkas dapat diartikan tidak eksklusif atau tidak merasa paling benar sendiri, dalam bahasa JIL bahwa agama itu seperti roda yang mempunyai jari-jari. Setiap agama adalah jari-jari dari roda tersebut, jika semua pemeluk agama (apapun agamanya) dan dia berbuat saleh maka semuanya akan menuju kesatu titik poros roda tersebut yakni syurga. Artinya, seorang Muslim, Nasrani, Hindu, Budha atau Konghucu,bila menjalankan agama dengan benar (saleh) maka semuanya akan masuk syurga.”
Dari pengamatan saya terhadap definasi ini dan apa yang ditulis dalam artikel tersebut menunjukkan Islam Inklusif ialah menyamakan agama Islam dengan agama-agama yang lain. Ia hampir sama atau memang sama dengan ajaran pluralisme yang dipelopori oleh Nurchalis Majid tokoh Islam Liberal Indonesia.

Ajaran ini adalah bertentangan dengan Islam yang menyatakan hanya ajaran Islam sahaja yang benar. Firman Allah swt:

"Sesungguhnya din (agama/sistem hidup) yang diredhai Allah adalah Islam"
- Ayat 19, Surah Ali Imran

Firman Allah swt:

"Barangsiapa yang mengambil selain Islam sebagai agama, tidak akan diterima apapun darinya dan dia diakhirat tergolong orang yang rugi" - Ayat 85, Surah Ali
Imran

Firman Allah:

"
Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, telah Aku cukupkan atas kalian nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagi kalian" - Ayat 3, Surah Al-Maidah

Firman Allah:

"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benarnya taqwa
kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan
beragama Islam" - Ayat 102, Surah Ali Imran

Agama-agama lain tidak sama dengan Islam dari segi dasar dan perundangannya. Agama-agama lain telah menyekutui Allah yang Maha Esa. Walau pun kebanyakan agama itu mengakui kewujudan Allah tetapi mereka telah syirik. Syirik adalah dosa yang paling besar dalam Islam.

Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik. Dan Dia mengampuni dosa
selain syirik itu bagi siapa saja yang dikehendaki-Nya. Siapa saja yang
menyekutukan sesuatu dengan Allah, maka sesungguhnya ia tersesat
sejauh-jauhnya" - Ayat 116, Surah An-Nisa'

Walaupun Ajaran Yahudi dan Nasrani berasal langit tetapi mereka ini sesat. Kesesatan Nasrani dengan menyekutui Tuhan dengan Ruh Al Quds dan Tuhan anak. Ini jelas bertentangan dengan konsep yang dibawa dalam Surah Al Ikhlas. Kesesatan Yahudi adalah dengan tidak menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul dan menolak al-Quran kerana ia dibawa oleh Nabi Muhammad yang berbangsa arab. Ini adala kerana kedengkian mereka seperti yang disebut dalam ayat 89 Surah Al Baqarah.

Al-Quran telah memberi peringatan kepada umat Islam dari mengikut jalan-jalan orang-orang Yahudi dan Nasrani:

"Hai orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang
yang yang diberi Al Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi
orang kafir sesudah kamu beriman" - Ayat 100, Surah Ali Imran

Dengan konsep yang menyesatkan ini, maka umat akan dengan mudah murtad
karena mereka merasa dengan memeluk selain Islam pun mereka akan masuk
syurga juga.

Kenyataan keempat

Mereka berhujjah untuk menyatakan kesamaan semua agama dari segi dasar dengan ayat al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 62, "Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani, dan sesiapa saja di antara mereka beriman kepada Allah, hari kemudian, dan beramal soleh, mereka akan menerima pahala daripada Tuhan, tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tiada pula mereka bersedih hati."

Jawapan:

Ini adalah ayat yang menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang masuk Islam dan beriman kepada Allah dan hari akhirat dengan ikhlas dan menerima ajaran Islam maka mereka mendapat syurga. Bukannya mana-mana agama pun yang percaya Allah, hari akhirat dan membuat amal baik akan masuk syurga. Kalau mereka benar-benar percaya pada Allah nescaya mereka akan masuk Islam kerana Islam sahaja agama yang diterima.Orang-orang agama lain jelas telah mensyirikkan tuhan dan amalan mereka tidak diterima. Amal baik orang-orang yang kafir akan menjadi debu pada hari kiamat.

Firman Allah:

“Dan kami bentangkan apa yang dilakukan oleh orang kafir, maka kami jadikan amalan tersebut debu yang beterbangan.” - Ayat 23, Surah Al Furqan

Ini adalah peneyelewangan tafsir yang jelas. Ini juga diantara ajaran Islam Liberal yang memberi kebebasan kepada siapa sahaja untuk berijtihad, mentafsir dan memberi pandangan dalam hal agama. Nabi saw bersabda:

“Sesiapa yang berkata tentang Quran dengan pandangannya maka dudukilah tempat duduknya dalam neraka.” (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Kenyataan kelima

Lantas, bagaimana pula dengan ayat al-Quran yang lain seperti yang disebut dalam Surah Ali Imran, ayat 85, "Barang siapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."
Perlu diingatkan bahawa maksud 'dalaman' al-Quran tidak akan dapat dijangkau maksudnya secara 'pasti'.

Jawapan

Memang ayat quran terbahagi kepada dua seperti dalam ayat 7 surah Ali Imran. Pertama “muhkamat” yang jelas maknanya dan yang kedua adalah “mutasyabihat” yang tidak diketahui maknanya seperti huruf-huruf pembuka surah (fawatihu suwar). Ayat ini (85: Ali Imran) sudah jelas dan bukan ayat yang mutasyabihat. Tidak seorang mufassirin mutabar pun yang mengatakan ayat ini mutasyabihat. Mengatakan ayat ini tidak dijangkau maksudnya adalah jelas termasuk dalam orang yang berkata tentang Quran mengikut pandangannya. Nabi saw bersabda:

“Sesiapa yang berkata tentang Quran dengan pandangannya maka dudukilah tempat duduknya dalam neraka.” (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Kesimpulan:

Walaupun Islam sahaja yang diterima oleh Allah dan menolak agama-agama yang lain tetapi Islam tidak memaksa penganut agama lain masuk dalam agama Islam seperti dalam ayat 256 Surah Al Baqarah. Islam tidak menolak untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada penganut agama lain seperti ayat 8 Surah Al Mumtahanah. Hubungan Negara Islam dengan negara-negara bukan Islam adalah seumpa orang Islam dengan Kafir mua’hid (yang mempunyai perjanjian). Ini dijelaskan oleh Dr Muhammad Zuhaily dalam kitabnya (mausu’ah Qadaya Muasarah) dan pengarang kitab Yawaqitun Nawafis , sebuah kitab fekah mazhab Syafie. Islam melarang sama sekali menzalimi kafir mua’hid.

Nabi saw bersabda:

“Ketahuilah sesiapa yang menzalimi kafir mua’hid , mengurangkan haknya, mengarahkannya suatu perkara yang diatas kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaan maka aku akan berhujjah untuk mendakwanya pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat Abu Daud).

Ketahuilah bahawa:

ISLAM SAHAJA AGAMA YANG BENAR

DAN

KEADILAN ISLAM DINIKMATI SEMUA AGAMA.

Rujukan:
  • Al-Quranul Karim
  • Mu’jam al-Mufahris
  • Manahilul ‘Irfan oleh Muhammad Abdul Azim Zarqani,
  • Ad-Daulah wal Imamah oleh Dr Faraj Muhammad dan buku-buku serta laman web yang disebut dalam artikel.
Ucapan ribuan terima kasih kepada yang telah berikan duit untuk saya beli kitab mausu’ah Qadaya Muasarah oleh Dr Muhammad Zuhaily baru-baru ni. Segala sumbangan dialu-alukan dan banyak lagi buku yang saya perlukan.
P/S: Artikel ini telah diedit oleh Ibnu Ali dengan menbaikpulih, memperkemas ejaan serta fakta tanpa mengubah maksud dari artikel asal dari Ustaz Salman Maskuri.
Sumber: Ustaz Salman Maskuri

10 Jun 2009

Muzakarah: Antara Hukum dan Perasaan

Walaupun agak keletihan setelah mengikuti Muktamar PAS kali ke 55 yang berlangsung hampir 3 hari termasuk bertugas sebagai Unit Amal, namun hati merasa puas dan makin bersemangat. Ucapan sekalung tahniah kepada seluruh kepimpinan yang telah terpilih bagi menganggotai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2009-2011. Walaupun pelbagai kontroversi dan suasana yang negatif telah digembar-gemburkan oleh media, namun perjalanan Muktamar masih dapat ditangguhkan dalam keadaan damai serta harmoni.

Sepanjang berlangsungnya muktamar, agak sukar untuk saya mendengar perbahasan yang benar-benar berkualiti dan serasi dengan agenda Islam Memimpin Perubahan sebagaimana yang digagaskan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya. Hanya segelintir sahaja yang mampu untuk menarik perhatian perwakilan dan pemerhati dengan idea-idea yang bernas untuk memasarkan Islam kepada masyarakat.

Sebab itulah, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang membuat perbahasan agar menyentuh soal bagaimana untuk menambahbaikkan PAS agar dapat mempromosikan Islam dan menyampaikan mesejnya kepada masyarakat secara lebih berkesan dalam ruang lingkup suasana politik semasa. Tuan Guru menegur ucapan yang disampaikan oleh perwakilan yang banyak bertumpu kepada memperkenalkan dan berkempen tentang PAS kepada pimpinan serta ahli PAS. Ia adalah perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam muktamar PAS yang agak terhad masanya. Justeru perlu menggunakan peluang dengan sebaik mungkin.


RUNDINGAN DENGAN UMNO

Antara isu yang hangat diperkatakan sepanjang Muktamar ini adalah idea kerajaan perpaduan dan rundingan dengan UMNO yang dilontarkan oleh Tuan Guru Presiden. Selepas bermuktamar, masih lagi ia diperbincangkan sedangkan Tuan Guru Presiden telah memberikan penjelasan semasa ucapan penggulungan.

“Ustaz, apa pandangan tentang idea kerajaan perpaduan tu?” Saya juga ditanya tentang isu ini. Entahlah, mungkin si penyoal hendak mengenalpasti status saya, sama ada pro-muqabalah atau pro-pakatan rakyat (terpaksa menggunakan istilah ini waaupun saya tidak menggemarinya).

Saya menyoalnya kembali. “Sebelum saya menjawab, ingin saya bertanya adakah Islam membenarkan atau tidak? Kalau Islam membenarkan, kenapa saya ingin mengharamkannya?”

ANTARA HUKUM DAN PERASAAN

Memang tidak dinafikan, ramai yang merasa perit apabila mengenangkan pengalaman PAS bersama dengan UMNO pada tahun 1971 dan 1972. PAS akhirnya ditendang keluar oleh UMNO pada tahun 1977 dengan cara yang tidak beradab sekali. Perasaan benci kepada UMNO semakin membuak-buak lagi apabila sejarah mencatatkan kekejaman UMNO yang pernah menzalimi ulamak-ulamak, aktivis dan pejuang PAS selama ini.


Namun, janganlah pengalaman-pengalaman ini menjadikan kita meletakkan UMNO lebih teruk daripada kafir harbi sehingga tertutup semua ruang dakwah terhadap mereka. Janganlah kita mengkategorikan mereka di satu tempat yang kita tidak perlu jejaki lagi. Lupakah kita tentang sifat yang perlu ada kepada seorang daie untuk menyampaikan dakwah kepada mad’u?

Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Nasharuddin Tantawi, Ketua Pemuda PAS dalam ucapan penutupnya agar sifat benci kita kepada UMNO tidak menutup ruang untuk kita menyampaikan mesej Islam kepada mereka. “Jangan membina tembok pemisah untuk dakwah kita sampai kepada mereka. Kita adalah daie”. Katanya dengan penuh bersemangat disambut dengan laungan takbir daripada perwakilan.

Perasaan terhadap UMNO tidak boleh diletakkan di hadapan. Letakkanlah al-Quran dan as-Sunnah sebagai kemudi untuk memandu kita dalam membuat penghakiman.

Rasulullah SAW mempunyai pengalaman yang jauh lebih buruk dengan kafir Quraisy Mekah berbanding pengalaman PAS bersama UMNO. Namun, sewaktu membuka kota Mekah, Baginda SAW memaafkan dan membebaskan mereka tanpa sebarang hukuman. Sabda Baginda SAW;
لا تثريب عليكم اليوم , يغفر الله لكم

”Tiada pembalasan ke atas kamu semua pada hari ini, Allah akan mengampunkan kamu” (Al-Amwal , Abu ‘Ubaiyd, 143 dengan sanad hasan tetapi Mursal) Nabi diriwayatkan juga berkata ketika itu
نصبر ولا نعاقب

” Kami sabar dan tidak akan membalas ” (Riwayat Ahmad, 5/135 ; At-Trmidizi, 4/361 ; Sohih menurut al-Hakim dan disepakati az-Zahabi)

Akhirnya, dengan uslub dakwah Baginda, akhirnya menyebabkan kafir Quraisy Mekah memeluk Islam secara beramai-ramai.

SIKAP DOUBLE STANDARD

Saya agak hairan dengan sikap sesetengah pihak yang menuduh Tuan Guru Presiden dengan pelbagai bahasa yang tidak enak sewaktu beliau mengemukakan gagasan rundingan dengan UMNO. Kritikan itu seolah-olah menggambarkan Tuan Guru Presiden tidak memahami cita-cita serta matlamat PAS yang telah diperjuangkannya selama ini. Seolah-olah Tuan Guru Presiden baru menyertai PAS pada minggu lepas!


Namun, sekiranya perkara yang hampir sama digagaskan oleh pihak lain, mereka hanya mendiamkan diri. Bahkan menyokongnya.

Sebagai contoh, perbincangan YB Husam Musa dengan Chua Soi Lek tentang isu DUN Perak. Ia bukan sahaja tidak dipertikaikan bahkan disokong dengan sepenuh hati pula. Apakah perbincangan itu bukan muzakarah?

PAS Kelantan juga telah membenarkan YB Dato’ Ibrahim Ali untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket PAS. Siapa yang tidak kenal dengan Ibrahim Ali dan kerosakan yang telah dibinanya untuk menentang PAS sebelum ini? Dan kita telah sama-sama lihat kegagalan idea ini sekarang. Ibrahim Ali bukan sahaja mengkhianati amanah PAS, bahkan secara terus-terang mengkritik PAS dan Pakatan Rakyat. Mengapa tiada pihak yang mempersoalkan kegagalan ini?

Pengalaman Gerakan Islam

Gerakan menegakkan agama Ilahi ini sudah bermula sejak pengutusan Rasul yang pertama, Adam a.s. Kita adalah merupakan mata rantai kepada perjuangan ini. Kita bukan yang memulakan dan bukan juga yang menamatkan.

Nabi Musa a.s pernah diutuskan untuk bersemuka dan bermuzakarah dengan Firaun, manusia yang dilaknat Allah SWT. Apakah Nabi Musa a.s tidak memahami maksud perjuangan agama Allah yang dicita-citakan? Persoalan sama ada Firaun akan menerima dakwah atau sudah terhijab untuk menerima hidayah atau Firaun akan menerimanya dengan agenda terselindung bukanlah menjadi urusan Baginda a.s. Ia ditentukan oleh Allah SWT dan Dialah yang akan menjaga perjuangan yang suci itu.

Firman Allah SWT;
هَلۡ أَتَٮٰكَ حَدِيثُ مُوسَىٰٓ (١٥) إِذۡ نَادَٮٰهُ رَبُّهُ ۥ بِٱلۡوَادِ ٱلۡمُقَدَّسِ طُوًى (١٦) ٱذۡهَبۡ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ (١٧

Maksudnya: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? (15) Ketika dia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci; (16) (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); (17)”

(Surah An-Naziat : 15-17)

Gerakan Islam di Palestin HAMAS, apabila memenangi pilihanraya Palestin menawarkan kepada parti lawannya FATAH untuk membentuk kerajaan. Apakah pemimpin HAMAS telah melupai kekejaman FATAH terhadap pengikutnya yang lebih teruk dari kekejaman UMNO terhadap PAS? Apakah pemimpin HAMAS telah membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap kerjasama FATAH dan Zionis Israel selama ini untuk mengkhianati HAMAS? Atau mungkin pemimpin HAMAS tidak tahu untuk mengambil berat sensitiviti pengikut-pengikutnya yang telah banyak berkorban selama ini? Jawapannya tidak.

WALA’ DAN TAAT

Dato’ Dr. Harun Din dalam ucapan penangguhan telah mengingatkan perwakilan tentang musuh-musuh kepada perjuangan PAS. Musuh-musuh ini senantiasa wujud sama ada di luar atau dalam Jemaah sendiri.

Oleh kerana itu, beliau berpesan kepada ahli PAS supaya akur dan wala’ kepada Presiden sebagai amir atau ketua kepada Jemaah yang kita dokongi ini. Baginda SAW pernah berwasiat;
أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تََأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ اْلمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثََاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ .
( رواه أبو داود و الترمذي و قال : حديث حسن صحيح )

“Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla , dengar dan taat sekalipun yang mengarah kamu hanyalah seorang hamba , maka sesungguhnya sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu , ia akan berhadapan dengan konflik yang begitu hebat , dikala itu wajib ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk. Genggamlah ia dengan geraham dengan seerat – eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara – perkara yang diada-adakan maka sesungguhnya semua perkara yang diada-adakan ( yang tidak terdapat dalam syariat ) adalah sesat .”
Jangan sempitkan ruang dakwah

Jangan sempitkan ruang dakwah

Jangan kita meletakkan perasaan di hadapan, sehingga mengenepikan al-Quran dan Sunnah, rasional serta akhlak sebagai ahli gerakan Islam. Seumpama seorang wanita yang mengharamkan poligami kerana perasaannya walaupun dibenarkan oleh al-Quran dan Sunnah. Kita semua tahu dan sedar hukumnya. Wallahu a’lam.

FASTAQIM KAMA UMIRTA..

Sumber: Ustaz Termizi Mohd Din