15 Mac 2010

Pas, Islam dan perpaduan

Teks Ucapan Dasar Yang Dipertua PAS Pusat, Tuan Haji Yusof Abdullah al-Rawi sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-35 pada 31hb. Mac hingga 2hb. April 1989, bertempat di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar.

SELAMA beberapa tahun PAS telah difitnah, PAS dianggap sebagai pemecah belah masyarakat, PAS dianggap golongan pelampau, PAS dipencilkan dan PAS tidak diberi kebebasan secukupnya untuk menyatakan pendirian dan sikapnya kepada masyarakat bagi menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan.

Bagaimanapun, PAS harus bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya PAS telah diberi kesabaran, ketahanan dan kekuatan dalam menghadapi semua fitnah, tohmahan dan serangan tersebut. Meskipun fitnah dan tohmahan itu ada sebahagiannya telah dijawab oleh PAS melalui kenyataan dan ucapan para pemimpinnya, tetapi itu semuanya tidaklah mencukupi.

Untuk itu, PAS perlulah bertindak membuktikan kepada masyarakat bahawa PAS bukanlah seperti apa yang telah difitnah dan disangkakan itu.

PAS telah berkali-kali menjelaskan kepada masyarakat bahawa perpaduan yang sebenar hanyalah akan tercapai melalui lslam. PAS juga telah menyatakan perpaduan yang dirancang atas dasar yang lain dari lslam tidak akan mencapai kejayaan.

Perpaduan yang dibina oleh UMNO atas dasar nasionalisme atau kebangsaaan telah membawa perpecahan yang dahsyat di kalangan parti nasionalis itu sendiri. Meskipun demikian, keangkuhan pemimpin UMNO masih juga tidak mahu mengubah arah dan asas perjuangan mereka.

Pemimpin mereka dengan angkuh mengatakan bahawa perpaduan bangsa Melayu mestilah melalui UMNO dan UMNO sahaja yang dianggap oleh mereka sebagai wadah perpaduan, walaupun mereka sendiri telah menyaksikan bagaimana perpecahan telah berlaku di kalangan mereka dan bagaimana sengketa yang melanda mereka akibat fahaman sempit mereka yang bukan sahaja dengan dasar nasionalisme Melayu, bahkan dipersempitkan lagi kepada kedaerahan Melayu.

Mereka bukan sahaja menyempitkan konsep nasionalisme bangsa Melayu kepada parti dan golongan mereka sahaja, tetapi mereka telah menyempitkannya lagi kepada kedaerahan bangsa sehingga timbul satu tindakan diskriminasi sesama anggota mereka. lni menjelaskan betapa kroniknya penyakit mereka dan bagaimana sempitnya fahaman mereka.

Oleh kerana itu, PAS perlu menunjukkan kepada bangsa Melayu dan rakyat negara ini suatu gagasan perpaduan yang luas, dibina atas dasar-dasar lslam yang tidak terikat dengan kaum atau golongan, apa lagi daerah. PAS mesti mampu menterjemahkan teori perpaduan kepada kenyataan dan amalan. Justeru, PAS perlu mengajak seluruh golongan dan kelompok umat lslam di negara ini untuk membina perpaduan serta mewujudkan persefahaman.

PAS perlu bersatu dan bekerja atas dasar-dasar yang dipersetujui, dengan lslam sebagai asas landasan perpaduan itu. PAS perlu mengambil inisiatif selepas ini untuk mengundang badan-badan lslam bagi membincangkan pendekatan perpaduan dan kerjasama untuk kepentingan lslam dan harakah dakwahnya seperti mana PAS telah mengadakan pendekatan yang serupa dengan kelompok-kelompok politik.

PAS ingin menyatakan bahawa selepas ini PAS jangan lagi dianggap dan difitnah sebagai golongan yang anti kepada perpaduan. PAS memahami bagaimana pentingnya perpaduan dalam ajaran lslam sebagai suatu yang prinsipal dan dalam membina ketahanan serta kekuatan ummah. Kejatuhan umat lslam antaranya disebabkan oleh faktor hilangnya perpaduan di kalangan mereka dan tercetusnya perpecahan sesama sendiri akibat dari pengaruh assabiyah.

PAS melihat sekarang bagaimana umat lslam telah berpecah belah. Umat lslam mempunyai berpuluh-puluh nasionaliti dan berpuluh-puluh negara menyebabkan ia tidak dapat menjadi suatu kekuatan yang mempengaruhi perjalanan politik dunia dan menentukan arah kehidupan sekarang. Firman Allah yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata sesungguhnya aku termasuk orang yang Muslim. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang di antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar” - (al-Fusilat: 33 - 35).

Bila PAS menegaskan bahawa perjuangan dan pergerakan PAS adalah lslam, lslam yang difahami dan diterima dari al-Quran dan al-Sunnah, ada kalangan tertentu yang menjadikannya sebagai suatu hujah bahawa ketuanan Melayu akan hilang dari negara ini apabila kuasa politik terlepas dari tangan mereka. Ketuanan Melayu akan lenyap apabila kuasa politik berpindah tangan dari mereka kepada PAS.

Mereka menjadikan ini sebagai suatu hujah baru menghasut rakyat dan bangsa Melayu khususnya supaya terus menolak perjuangan lslam yang PAS dokong. Merekapun mengadakan pertemuan-pertemuan tertutup ke sana ke mari untuk menyebarkan racun fitnah yang baru , yang sama ada sedar atau tidak mereka cuba mempengaruhi kelompok masyarakat Melayu supaya terus menolak lslam dan terus memperkukuhkan assabiyah Melayu yang akibatnya tentu sekali akan terus menajamkan perkauman dan assabiyah di kalangan rakyat.

Mereka sebenarnya ingin menutup suatu kenyataan bahawa merekalah golongan yang bertanggungjawab menghakis ketuanan Melayu. Mereka sebenarnya adalah orang-orang yang tidak faham bahawa golongan lslam lebih mencintai bangsanya, lebih setia kepada negaranya dari golongan nasionalis.

Kecintaan dan kesetiaan yang didasarkan atas akidah lslamiah dan tuntutannya bukan atas dasar darah keturunan dan fanatik perkauman. Sejarah telah membuktikan bahawa satu-satunya golongan yang tidak pernah khianat kepada bangsa dan negaranya ialah golongan lslam.

Golongan lslamlah satu-satunya golongan yang tidak pernah menerima gencatan senjata dengan lsrael. Sultan Abdul Hamid, sultan terakhir dalam Khalifah Islam Uthmaniyah Turki, dengan lslam telah mempertahankan Palestin serta mengusir Menteri British yang cuba merasuahnya untuk mendapatkan Palestin bagi dijadikan negara Yahudi.

Golongan lslamlah di Afghanistan yang membentuk jihad besar dalam menghadapi keganasan dan pencerobohan tentera kuffar Russia, bahkan berjaya dengan izin Allah mengusir tentera penceroboh itu. Sebaliknya kejatuhan Palestin dan lain-lain wilayah lslam kepada golongan kuffar adalah kerana pengkhianatan golongan nasionalis. lni yang harus difahami

Tiada ulasan:

Catat Ulasan