02 Mac 2006

Kisah Malaikat Jibril A.S

Malaikat Jibrail a.s. adalah salah satu dari para malaikat yang cantik, besar, kuat dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Ia ditugaskan sebagai penyampai wahyu kepada para rasul a.s. Malaikat Jibrail a.s. mempunyai enam ratus sayap, setiap sayapnya menutupi ufuk. Dari sayapnya berjatuhan permata dan yakut yang berwarna warni. Imam Ahmad r.a dengan sanadnya dari Ibn Mas'ud r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku melihat Jibrail di Sidratul Muntaha, dia mempunyai enam ratus sayap".

Malaikat Jibrail a.s. mampu terbang dalam keadaan yang sangat pantas. Seperti kalau ada orang bertanyakan sesuatu kemusykilan agama kepada Rasulullah s.a.w., belum pun selesai pertanyaan itu, malaikat Jibrail a.s. telah pun sampai dengan jawapan berupa wahyu dari Allah s.w.t. Padahal jarak antara setiap lapisan langit adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan.


Ketika Allah s.w.t. memerintahkan malaikat Jibrail a.s. turun untuk memusnahkan kaum nabi Luth a.s., dikatakan malaikat Jibrail a.s mampu mengangkat kesemua tujuh bandar yang didiami oleh 400,000 orang, haiwan, rumah serta bangunan dan kesemuanya hanya dengan menggunakan hujung satu sayapnya sahaja, lalu diangkat hingga ke permukaan langit, sehinggalah para malaikat yang berada di langit dapat mendengar bunyi kokokan ayam dan lolongan anjing yang turut berada dalam bandar-bandar tersebut. Kemudian malaikat Jibrail a.s. membalikkan bandar-bandar tersebut hingga menjadilah bahagian atasnya terlungkup ke bawah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Jibrail a.s. sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara :-

1. sembahyang lima waktu secara berjemaah
2. duduk bersama para ulamak
3. menziariahi orang sakit
4. menghantar jenazah
5. memberi air minum
6. mendamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan
7. memuliakan jiran dan anak-anak yatim

maka bersungguh-sungguhlah kamu dalam perkara tersebut"

1 ulasan:

  1. Allahhu akhbar.....bertapa besarnya kekuasaan Allah S.W.T itu sehinggakan Malaikat Jibril mempunyai 600 sayap....tidak dapat dibayangkan hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu....Wallahualam....

    BalasPadam