20 Mac 2006

Tajdid Iman: Perjuangan bantu agama Allah hanya terhenti di akhir usia

Bersama Dr Juanda Jaya

SETIAP insan pasti akan hilang segenap kekuatan yang pernah ada secara perlahan-lahan. Kita terpaksa akur dengan fitrah alam yang akan merenggut tulang kita menjadi rapuh, darah dan daging sudah tidak sesegar dulu lagi. Manakala rambut pula memutih dan kulit menjadi kering. Semuanya tidak lagi cantik dan menarik.


Begitulah bekas hasil perjuangan hidup. Perjuangan untuk membuktikan kita adalah hamba Allah yang berjaya. Adakah bekas sujud masih kelihatan? Tujuh anggota badan kita itu masihkah dapat bertahan dalam menikmati rakaat yang panjang? Apakah kedua mata itu masih berminat kepada al-Quran? Bukankah al-Quran berisi kalimah cinta Allah kepada hamba-Nya?

Biarlah segala-galanya hilang, tua, lemah dan tidak berdaya. Jika kita bertemu Allah nanti, saat sakaratul maut datang menjemput, katakanlah dengan bangga kepada yang dikasihi: ”Wahai Tuhanku, saksikanlah tubuh kurusku yang berpenyakit, mata rabunku, tulangku, darah dan dagingku semuanya aku persembahkan kepada-Mu, mereka semua pernah beribadat, berjuang dan bekerja untuk keredaan-Mu, Ya Allah. Bangkitkan mereka pada hari akhirat nanti dengan bekas perjuangan pada jalan-Mu.”

Mengapa harus bersedih pada penghujung usia? Biarlah anak-anak dewasa dengan cita-citanya sendiri. Asalkan mereka menjadi manusia yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Cukuplah bagi kita untuk tertawa bergembira menikmati hari tua ini.

Mengapa harus melayan perasaan yang semakin membuat kita pikun. Bukankah belantara ilmu masih belum diterokai semuanya? Bacalah buku yang bermanfaat. Kita ada al-Quran dan masjid tempat merehatkan hati yang lara. Cucu kita yang perlukan bimbingan dan kasih sayang, hati mereka bagai kertas putih yang sepatutnya ditulis di dadanya iman dan ilmu.

Umat ini perlu kepada islah, revolusi akidah, ibadat dan akhlak. Masyarakat masih lagi sakit dengan keruntuhan moral dan jenayah. Agama ini belum lagi menang! Sesungguhnya tiada kata rehat di dunia ini. Jangan sebut pencen dan bersantai lalai! Selagi ajal belum sampai, perjuangan untuk membuktikan cinta kita kepada Allah mesti diteruskan. Kerehatan dan kesenangan itu hanya ketika berada di syurga kelak. Dunia ini adalah tempat berjuang sampai kita terkorban kerana-Nya.

Bagaimana kehidupan Rasulullah ketika tua? Rasulullah wafat pada usia 63 tahun. Sehingga detik-detik terakhir dalam hidupnya baginda masih mengimamkan sembahyang berjemaah, mengajarkan ilmu, menyebarkan dakwah dan mengatur strategi penyebaran Islam ke luar Madinah.

Terakhir kalinya baginda mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh seorang anak muda kesayangan baginda iaitu Usamah bin Zaid r.a, anak daripada anak angkatnya sendiri. Berketurunan seorang hamba sahaya, tetapi ayahnya juga seorang pejuang dan ahli tafsir terhebat di kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW dan orang pertama menuliskan al-Quran dengan tangannya sendiri iaitu Zaid bin Harithah.

Bayangkan ketika Rasulullah dalam keadaan sakit, tua dan lemah, baginda masih bekerja bersungguh-sungguh untuk dakwah Islam. Baginda juga masih menerima wahyu daripada Allah. Daripada Anas r.a beliau berkata: ”Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla menurunkan wahyu kepada Rasulullah sebelum wafatnya, sampai detik terakhir, baginda masih sering menerima wahyu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tiada kerehatan walaupun baginda seorang penguasa, pemimpin umat dan rasul pilihan. Jika beliau mahu nescaya memperoleh harta kekayaan, perhiasan dan layanan istimewa. Bahkan dunia seisi boleh dengan senang Allah kurniakan. Tetapi baginda memilih untuk hidup dalam kesusahan dan perjuangan.

Masa berlalu begitu berharga demi menolong agama Allah ini, sampai ke akhir usia. Kerja yang dibuat tiada noktah penghabisannya kecuali maut yang memisahkan roh dari jasad. Kembalilah kepada Allah dengan diredai dan reda kepada-Nya, Radhiyatan Mardhiyyah.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Setiap hamba akan dibangkitkan dari kuburnya sesuai dengan keadaannya ketika dia wafat.” (Hadis riwayat Muslim)

Kemuliaan seorang anak manusia bukan terletak pada pangkat dan darjatnya, harta dan perhiasannya atau keturunan nasabnya. Ia akan dikenang kerana kemuliaan amal perbuatannya. Jika dia mati dalam keadaan semua orang yang mengenalinya berasa kehilangan dan sayang kepadanya, maka sesungguhnya dia adalah seorang yang benar berpengaruh. Pengaruh yang baik, bekas peninggalan yang baik, sejarah dan kenangan yang baik.

Pada usia tua, sakit adalah takdir yang harus diredai. Ia sebagai kaffarah bagi kesilapan pada masa muda dulu. Berbaik sangka kepada Allah. Teruskan bekerja dan beramal, ibadat dan muamalah sesama insan. Sampai Allah sudi menerima kita sebagai hamba-Nya yang teruji.

INTI PATI
  • Perjuangan mencintai Allah tiada penghujungnya selagi nyawa belum dicabut.
  • Kesenangan hanya ada di syurga.
  • Nabi Muhammad menghabiskan riwayat hidup dengan berdakwah dan memperjuangkan syiar Islam.
  • Kemuliaan seseorang itu dilihat daripada keikhlasan amal ibadatnya.
  • Sakit pada usia tua adalah kaffarah bagi kesilapan kita pada masa muda dulu.
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan