22 Mac 2006

Nasihat Imam Syafie mencari sahabat

TEMAN ketawa memang mudah dicari, tetapi teman menangis tiada siapa yang sudi.

Memang benar sukar mencari erti persahabatan sejati. Hanya mereka yang benar-benar bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen.

Dalam hal ini, Imam al-Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.

  • Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.

    Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati.

    Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

    Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percayadiri.

  • Mencari sahabat pada waktu susah.

    Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.

    Jika suka melanda, aku sering bertanya: "Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?"

    Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun apabila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.

  • Pasang surut persahabatan.

    Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.

    Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya rodazaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.

    Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

    Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.

  • Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat.

    Apabila tidak ketemu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.
  • 20 Mac 2006

    Berzikir rawat kekalutan, kekusutan jiwa

    SESUNGGUHNYA zikrullah adalah semulia-mulia ibadat, sebesar-besar cara mendekatkan diri kepada Allah, makanan roh dan sumber ketenangan hati orang yang beriman. Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 28 yang bermaksud "Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang".

    Allah memerintahkan kepada hamba-Nya memperbanyakkan zikir mengingati-Nya, manakala Rasulullah menggalakkannya kepada umat Islam menjadi amalan itu berkekalan.

    Dalam al-Quran dan hadis jelas menggambarkan kebesaran kesan zikir dan faedahnya. Ia boleh dilakukan sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah atau berkumpulan, melalui lisan mahupun dengan hati. Dalam memperkatakan mengenai zikrullah dengan lisan atau hati, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar ada menyatakan bahawa ia adalah zikir yang paling afdhal. Ulang kali, menyebut sifat-sifatnya.

    Zikir dengan lisan adalah dengan menyebut nama Allah berulang kali, menyebut sifatnya atau melafazkan puji-pujian kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah di dalam diri dan jiwanya sehingga hati itu menjadi sentiasa sibuk dengan zikrullah.

    Ahli zikir adalah golongan manusia yang istimewa dan terkemuka. Pengiktirafan ini dianugerahkan sendiri oleh Allah melalui lisan Nabi Muhammad yang maksudnya "Telah majulah orang-orang yang istimewa, para sahabat bertanya, siapakah mereka yang istimewa itu wahai Rasulullah, jawab baginda, iaitu mereka yang banyak mengingati Allah sama ada lelaki mahupun wanita (Riwayat Muslim).

    Majlis zikir turut dikenali sebagai satu daripada taman syurga. Seseorang yang lidahnya sentiasa basah dengan mengingati Allah akan mendapat beberapa manfaat antaranya:

    • Membersihkan hati daripada sifat mazmumah
    • Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah
    • Merasa betapa dekatnya diri dengan Allah sehingga apabila berhadapan dengan pelbagai musibah dan pergantungannya hanya kepada Allah
    • Meningkatkan mutu amalan kepada Allah
    • Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah
    • Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah gulana, keluh kesah dan tidak tenteram

      Ucapan “La Ila Ha Ilallah” adalah ucapan zikir yang paling mulia. Seorang daripada Syeikh al-Azhar yang terkenal iaitu Syeikh Abdul Halim Mahmud pernah menyebut bahawa zikir ‘La Ila Ha Ilallah’, istighfar dan selawat ke atas Nabi adalah tiang aurad dan wirid para ahli sufi. Zikir ini adalah sebagai satu daripada wasilah ke arah penyucian diri.

      Mengerjakan solat termasuk dalam kategori zikrullah. Hal ini dijelaskan oleh Allah. Membaca al-Quran juga adalah zikir yang paling mulia kerana ia adalah kalam Allah atau kata-kata Allah.

      Maka apabila seseorang membaca al-Quran, dia sebenarnya menuturkan kata-kata Allah dan ia adalah gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah. Sehubungan itu, seorang Muslim hendaklah membaca al-Quran setiap hari supaya hatinya tidak kosong tanpa roh.

      Apabila membacanya, maka dalam masa sama pembacanya akan mengingati Allah. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali menyebut dalam bukunya Mukasyafah al-Qulub membaca al-Quran adalah satu daripada kaedah merawat kekalutan dan kekusutan jiwa.

    Tajdid Iman: Perjuangan bantu agama Allah hanya terhenti di akhir usia

    Bersama Dr Juanda Jaya

    SETIAP insan pasti akan hilang segenap kekuatan yang pernah ada secara perlahan-lahan. Kita terpaksa akur dengan fitrah alam yang akan merenggut tulang kita menjadi rapuh, darah dan daging sudah tidak sesegar dulu lagi. Manakala rambut pula memutih dan kulit menjadi kering. Semuanya tidak lagi cantik dan menarik.


    Begitulah bekas hasil perjuangan hidup. Perjuangan untuk membuktikan kita adalah hamba Allah yang berjaya. Adakah bekas sujud masih kelihatan? Tujuh anggota badan kita itu masihkah dapat bertahan dalam menikmati rakaat yang panjang? Apakah kedua mata itu masih berminat kepada al-Quran? Bukankah al-Quran berisi kalimah cinta Allah kepada hamba-Nya?

    Biarlah segala-galanya hilang, tua, lemah dan tidak berdaya. Jika kita bertemu Allah nanti, saat sakaratul maut datang menjemput, katakanlah dengan bangga kepada yang dikasihi: ”Wahai Tuhanku, saksikanlah tubuh kurusku yang berpenyakit, mata rabunku, tulangku, darah dan dagingku semuanya aku persembahkan kepada-Mu, mereka semua pernah beribadat, berjuang dan bekerja untuk keredaan-Mu, Ya Allah. Bangkitkan mereka pada hari akhirat nanti dengan bekas perjuangan pada jalan-Mu.”

    Mengapa harus bersedih pada penghujung usia? Biarlah anak-anak dewasa dengan cita-citanya sendiri. Asalkan mereka menjadi manusia yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Cukuplah bagi kita untuk tertawa bergembira menikmati hari tua ini.

    Mengapa harus melayan perasaan yang semakin membuat kita pikun. Bukankah belantara ilmu masih belum diterokai semuanya? Bacalah buku yang bermanfaat. Kita ada al-Quran dan masjid tempat merehatkan hati yang lara. Cucu kita yang perlukan bimbingan dan kasih sayang, hati mereka bagai kertas putih yang sepatutnya ditulis di dadanya iman dan ilmu.

    Umat ini perlu kepada islah, revolusi akidah, ibadat dan akhlak. Masyarakat masih lagi sakit dengan keruntuhan moral dan jenayah. Agama ini belum lagi menang! Sesungguhnya tiada kata rehat di dunia ini. Jangan sebut pencen dan bersantai lalai! Selagi ajal belum sampai, perjuangan untuk membuktikan cinta kita kepada Allah mesti diteruskan. Kerehatan dan kesenangan itu hanya ketika berada di syurga kelak. Dunia ini adalah tempat berjuang sampai kita terkorban kerana-Nya.

    Bagaimana kehidupan Rasulullah ketika tua? Rasulullah wafat pada usia 63 tahun. Sehingga detik-detik terakhir dalam hidupnya baginda masih mengimamkan sembahyang berjemaah, mengajarkan ilmu, menyebarkan dakwah dan mengatur strategi penyebaran Islam ke luar Madinah.

    Terakhir kalinya baginda mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh seorang anak muda kesayangan baginda iaitu Usamah bin Zaid r.a, anak daripada anak angkatnya sendiri. Berketurunan seorang hamba sahaya, tetapi ayahnya juga seorang pejuang dan ahli tafsir terhebat di kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW dan orang pertama menuliskan al-Quran dengan tangannya sendiri iaitu Zaid bin Harithah.

    Bayangkan ketika Rasulullah dalam keadaan sakit, tua dan lemah, baginda masih bekerja bersungguh-sungguh untuk dakwah Islam. Baginda juga masih menerima wahyu daripada Allah. Daripada Anas r.a beliau berkata: ”Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla menurunkan wahyu kepada Rasulullah sebelum wafatnya, sampai detik terakhir, baginda masih sering menerima wahyu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Tiada kerehatan walaupun baginda seorang penguasa, pemimpin umat dan rasul pilihan. Jika beliau mahu nescaya memperoleh harta kekayaan, perhiasan dan layanan istimewa. Bahkan dunia seisi boleh dengan senang Allah kurniakan. Tetapi baginda memilih untuk hidup dalam kesusahan dan perjuangan.

    Masa berlalu begitu berharga demi menolong agama Allah ini, sampai ke akhir usia. Kerja yang dibuat tiada noktah penghabisannya kecuali maut yang memisahkan roh dari jasad. Kembalilah kepada Allah dengan diredai dan reda kepada-Nya, Radhiyatan Mardhiyyah.

    Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Setiap hamba akan dibangkitkan dari kuburnya sesuai dengan keadaannya ketika dia wafat.” (Hadis riwayat Muslim)

    Kemuliaan seorang anak manusia bukan terletak pada pangkat dan darjatnya, harta dan perhiasannya atau keturunan nasabnya. Ia akan dikenang kerana kemuliaan amal perbuatannya. Jika dia mati dalam keadaan semua orang yang mengenalinya berasa kehilangan dan sayang kepadanya, maka sesungguhnya dia adalah seorang yang benar berpengaruh. Pengaruh yang baik, bekas peninggalan yang baik, sejarah dan kenangan yang baik.

    Pada usia tua, sakit adalah takdir yang harus diredai. Ia sebagai kaffarah bagi kesilapan pada masa muda dulu. Berbaik sangka kepada Allah. Teruskan bekerja dan beramal, ibadat dan muamalah sesama insan. Sampai Allah sudi menerima kita sebagai hamba-Nya yang teruji.

    INTI PATI
  • Perjuangan mencintai Allah tiada penghujungnya selagi nyawa belum dicabut.
  • Kesenangan hanya ada di syurga.
  • Nabi Muhammad menghabiskan riwayat hidup dengan berdakwah dan memperjuangkan syiar Islam.
  • Kemuliaan seseorang itu dilihat daripada keikhlasan amal ibadatnya.
  • Sakit pada usia tua adalah kaffarah bagi kesilapan kita pada masa muda dulu.
  • 09 Mac 2006

    AURAT DARI PERSPEKTIF FIZIK

    Kajian Kes

    Dalam satu perbincangan, seorang siswi menceritakan masalah yang dihadapi berhubung dengan cara pemakaian. Masalah bermula apabila berhadapan dengan persepsi keluarga dan rakan-rakan setelah berubah dari wanita yang berpakaian "liberal" kepada wanita yang menutup aurat sepenuhnya seperti yang disarankan oleh Islam. Pandangan serong terhadap pemakaian tudung labuh dan jubah menyebabkan siswi tersebut berasa tersisih bukan sahaja terhadap pandangan masyarakat umum, tetapi pandangan siswi-siswi yang bergiat dalam program berunsurkan dakwah. Penerimaan terhadap perubahan berlaku agak sukar akibat sikap double-standard dan kronism yang diamalkan. Disebabkan mereka telah mendapat tarbiyah sekian lama dan menganggap diri adalah terbaik, agak payah untuk menerima orang yang baru mengenal erti tarbiyah yang sebenar. Apatah lagi berhadapan dengan ibu yang tidak memahami sehinggakan si ibu menyuruh siswi tersebut kembali kepada pakaian lama.

    Penyelesaian

    Bercakap tentang perubahan, ia bukanlah satu perkara yang mudah semudah mengalihkan sebatang pen dari satu meja ke meja yang lain. Apatah lagi berubah dari segi pemakaian yang melibatkan persepsi masyarakat sekeliling terhadap personaliti baru yang ingin dibentuk. Adalah penting adanya pemahaman terhadap matlamat perubahan dan pengorbanan yang tinggi agar terus istiqamah dengan perubahan.

    Apa yang dilakukan oleh siswi tersebut adalah hijrah kepada kebaikan dan memerlukan ketahanan mental dan mujahadah yang tinggi. Dalam satu perubahan, sokongan dari segi spiritual, emosi dan mental diperlukan bukan sahaja dengan berharap kepada tuhan, tetapi juga dari masyarakat sekeliling khususnya mereka yang faham tentang Islam. Meskipun siswi tersebut baru mengenal erti tarbiyah dan mula bergiat dalam program berunsurkan dakwah, rakan-rakan dalam organisasi dakwah haruslah faham dan tidak memandang diri sebagai individu yang bertaraf tinggi sehingga tidak layak berdamping dengan mereka yang baru menerima hidayah.

    Di sini, pentingnya pemahaman tentang konsep inverse response (respon songsang ~ rujuk Pemikiran Sistemik) dalam kehidupan seharian. Setiap sesuatu yang bersifat drastik memerlukan daya yang tinggi untuk diterima dan konsep bersabar terhadap time delay (masa lengah yang diperlukan sebelum satu sistem berfungsi) diperlukan. Sesuatu perubahan memerlukan visi yang jelas berdasarkan ilmu wahyu agar kekuatan diperoleh walaupun keadaan sekitar sukar menerima.

    Bagaikan susu yang sebelumnya bercampur dengan najis, kuman, urea dan darah di dalam sistem badan seekor lembu akhirnya keluar sebagai susu yang suci yang mendatangkan kebaikan kepada peminumnya. Dapat disimpulkan bahawa bagaimana sukarnya susu itu keluar dari badan seekor lembu melalui proses perahan untuk bebas dari unsur-unsur negatif, begitulah sukarnya sesuatu perubahan untuk dilaksanakan. Persekitaran memerlukan masa untuk menerima sesuatu kelainan.

    Adalah penting pemahaman tentang aurat kerana ia melibatkan penjagaan penglihatan yang berkaitan secara langsung dengan hati dan fikiran yang dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Aurat yang dimaksudkan bukan sahaja terhadap kaum wanita, tetapi juga kepada kaum lelaki di mana sesetengahnya yang kurang sensitif menganggap aurat lelaki tidak berapa penting sehingga memakai seluar yang menampakkan lutut ketika bersukan. Bagi seorang wanita, aurat adalah perkara yang sangat besar dan skop aurat adalah lebih luas pada tubuh mereka berbanding lelaki. Manakala dalam institusi kekeluargaan pula, ibu bapa memainkan peranan penting terhadap pentarbiyahan setiap anak. Bahkan, mereka juga perlu ditarbiyah dan diberi peringatan agar tidak alpa akan arus dunia semasa yang membawa kepada kebatilan.

    Haba Pendam Tentu dan Konsep Aurat

    Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan dalam bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat. Jika dikaji tentang formula yang digunakan:

    J = mc x tetha

    J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.

    m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu.

    c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa.

    tetha ialah perubahan suhu.



    Eksperimen 1: Haba Pendam Tentu (Fizik Tingkatan 4- BAB 2.3)

    Abstrak/Pengenalan

    Dalam kajian ini, "eksperimen" dilakukan ke atas 3 jenis wanita: wanita A- wanita bertudung labuh, berjubah dan menjaga lengan daripada terdedah, wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup aurat dan wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang lurus setelah melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan kehalusan kulit lengan, mendedahkan kerampingan bentuk badan dan berhias laksana model-model muka hadapan majalah hiburan.

    Tujuan

    Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian.

    Hipotesis

    Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.

    Inferens

    Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai tahap ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan yang lemah.

    Pembolehubah manipulasi

    c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan dengan ketahanan seseorang terhadap tekanan yang dikenakan. Bercakap tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu. Ramai yang membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas dari suatu kongkongan. Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan Islam) mempersoalkan istilah baju kurung. Adakah istilah baju kurung tercipta kerana sifatnya "mengurung" wanita di Malaysia? Sehinggakan ramai wanita sekitar KL dan Selangor lebih suka memakai jeans dan t-shirt?

    Pembolehubah malar

    m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu. Anggap jisim, bentuk badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita adalah sama.

    tetha atau perubahan suhu. Ia adalah tekanan yang diberi secara automatik oleh Pencipta alam di mana wanita berhadapan dengan perubahan biologi seperti haid (datang bulan), nifas (keadaan yang berlaku semasa bersalin), menopause (berlaku pengurangan hormon estrogen) dan tekanan persekitaran (kerja, pelajaran dan lain-lain).

    Pembolehubah bergerakbalas

    J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. Ia berkaitan dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental ketiga-tiga jenis wanita terhadap daya tekanan yang diberi.

    Kaedah

    1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti ketiga-tiga jenis wanita dalam suatu jangka masa.

    2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita terhadap cara pemakaian.

    3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang sama.

    4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki: Lelaki A- Lelaki yang menutup aurat dengan baik dan Lelaki B- Lelaki yang suka mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan memaparkan lutut serta paha sewaktu bersukan atau berjalan-jalan.

    Pemerhatian

    1) Wanita A kelihatan humble, tenang, happy, ceria, lembut, sopan, pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut.

    2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala kelihatan risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada masanya terlepas juga kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi kembali normal setelah beberapa ketika. Penulis yang berjurusan senibina pernah menegur seorang studiomate wanita yang menggunakan spray dengan cara yang salah ketika menyembur model yang dibuat sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur kesilapan yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang dikenakan terhadap studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut, keadaan kembali normal.

    3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak sombong, materialistik dan sosial.

    4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah, ego yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah atas kemampuan orang lain dan lebih agresif.

    Kesimpulan

    Dari eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam formula yang diberi:

    J = mc x tetha

    Oleh itu, hipotesis diterima.

    Mengkaji Fizik melalui perspektif Islam

    Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang Islam, individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang tidak faham tentang Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan kaedah saintifik dan empirik adalah salah satu cara yang sesuai kerana tak semua daripada mereka akan menerima jika menyampaikan melalui ilmu Tauhid. Masalah berlaku di Malaysia di mana persepsi masyarakat berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan belajar untuk mencari ilmu.

    Adalah menghampakan situasi yang sama berlaku pada mereka yang mengambil jurusan agama dan mereka yang menghafal kalam-kalam Allah. Jika perspektif ini berterusan, mereka tidak akan mampu untuk mengislamisasi ilmu yang dipelajari, melakukan integrasi antara ilmu duniawi dan ilmu Islam, menyampaikan ilmu pada peringkat antarabangsa agar mesej Islam sampai ke serata tempat seterusnya mencapai kecemerlangan menyeluruh.

    Seperti yang tertera dalam misi UIA iaitu Triple ICE (Integrations, Islamizations, Internationalizations dan Comprehensive Excellence), adakah pelajar UIA akan mencapai misi UIA andai masih lagi belajar untuk bekerja? Bukan untuk pelajar UIA sahaja, malah kepada pelajar institusi lain sekali. Tidak malukah kita kepada mereka yang bukan Islam mengkaji ilmu sains melalui al-Quran lantas memeluk Islam atas kesedaran? Di manakah perginya reputasi pelajar Islam yang cuba dipertahankan? Fikirkan...

    -dipetik daripada laman web virtualfriends-

    07 Mac 2006

    Awas!!

    Info: Awas!! pemberian CD free bertajuk AHMAD DREAM motifnya memurtadkan melayu Islam. Watak lakonan oleh org melayu yg berjaya dimurtadkan.

    02 Mac 2006

    Kisah Malaikat Mikail a.s

    Malaikat Mikail a.s. adalah salah satu di antara pembesar malaikat yang empat. Ia dicipta oleh Allah s.w.t. selepas malaikat Israfil a.s. dengan selisih kira-kira lima ratus tahun. Dari kepala malaikat Mikail a.s. hingga kedua telapak kakinya berbulu za'faron. Jika seluruh air di lautan dan sungai di muka bumi ini disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah. Di atas setiap bulu-bulunya, terdapat sebanyak satu juta muka.
    Setiap muka malaikat Mikail a.s. ini pula mempunyai satu juta mulut dan setiap mulut mempunyai satu juta lidah manakala setiap lidah-lidahnya boleh berbicara satu juta bahasa atau lisan. Setiap satu juta lisan tersebut adalah membaca istighfar pada Allah s.w.t. bagi orang-orang mukmin yang berdosa.
    Setiap satu juta muka atau wajahnya mempunyai satu juta mata. Tiap-tiap matanya sentiasa menangis kerana memohon rahmat bagi orang-orang mukmin yang berdosa. Tiap-tiap matanya yang menangis itu mengeluarkan tujuh ribu titisan air mata dan setiap titisan air mata itu Allah s.w.t. ciptakan satu malaikat Karubiyyuun yang serupa dengan kejadian malaikat Mikail a.s. Setiap malaikat-malaikat ini ditugaskan untuk bertasbih pada Allah s.w.t. sehingga hari kiamat.
    Di samping bertasbih, para-malaikat Karubiyyuun ini juga berperanan sebagai pembantu bagi malaikat Mikail a.s. dalam menjalankan tugas menyelia angin, membahagikan rezeki pada manusia, tumbuh-tumbuhan juga haiwan-haiwan dan lain-lain di muka bumi ini. Dikatakan setiap satu makhluk yang memerlukan rezeki untuk hidup di dunia ini akan diselia rezekinya oleh satu malaikat Karubiyyuun
    Imam Ahmad rah. dengan sanadnya, dari Anas bin Malik r.a., ketika Rasulullah s.a.w. Mikraj ke langit baginda ada bertanya pada malaikat Jibrail a.s.:
    "Mengapa aku tidak pernah nampak malaikat Mikail tertawa?" Malaikat Jibrail a.s. menjawab: "Malaikat Mikail tidak pernah tertawa semenjak neraka diciptakan"

    Kisah Malaikat Israfil a.s

    Malaikat Israfil a.s. adalah salah satu di antara empat malaikat yang paling mulia dan bersaiz besar di sisi Allah s.w.t. Ia ditugaskan untuk meniup sebanyak tiga kali tiupan sangkakala pada hari kiamat. Seperti malaikat-malaikat yang lain ia diperbuat dari Nur. Ia berbulu dari kepala hingga kedua telapak kakinya dan mempunyai banyak mulut dan lidah. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah.

    Jumlah sayap malaikat Israfil a.s. itu ada empat. Sayapnya yang pertama panjangnya sampai ke barat, sayapnya yang kedua sampai ke timur, yang ketiga boleh menutupi seluruh badannya dan yang keempat menutupi kepalanya. Ia mempunyai seribu tentera malaikat yang serupa dengan kejadiannya.

    At-Tabrani meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a.:"Sewaktu Rasulullah s.a.w. bersama-sama dengan malaikat Jibrail a.s. tiba-tiba ufuk langit terpecah, maka menghadaplah satu lembaga malaikat tertunduk dan condong ke bumi. Berkata malaikat itu: "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah s.w.t. menyuruh kamu agar memilih antara menjadi nabinya hamba atau jadi rajanya nabi".

    Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jibrail a.s. memberi isyarat kepadaku dengan tangannya agar merendah. Maka tahulah aku bahawa itu nasihat untukku, maka aku berkata, 'hambanya nabi'. Kemudian malaikat itu naik ke langit maka aku berkata, hai Jibrail, aku sungguh ingin bertanya hal ini kepadamu, tapi aku melihat halmu menyusahkan aku untuk mengemukakan pertanyaan itu. Siapakah itu wahai Jibrail? Jibrail a.s. menjawab, Itulah dia malaikat Israfil a.s. Allah menciptakannya pada hari kejadiannya di hadapannya dengan dua kakinya lurus bersaf, tidak pernah mengangkat hujungnya."

    Ia tertutup di dalam beberapa lapisan dinding. Disebutkan bahawa jarak di antara malaikat Israfil a.s. dengan Arasy dilapisi dengan tujuh dinding yang mana satu dinding adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan dan jarak malaikat Israfil a.s. dengan malaikat Jibrail a.s. kira kira tujuh puloh dinding. Imam Ahmad r.a.h. meriwayatkan dari Abu Said r.a., Rasulullah s.a.w. ada menyebutkan tentang malaikat peniup sangkakala, dengan sabdanya: "Disebelah kirinya ada malaikat Jibrail a.s. dan disebelah kanannya ada malaikat Mikail a.s."

    Salah satu tiang Arasy berada di atas pundaknya. Menurut riwayat, Lauhil Mahfuzh itu bergantungan di bawah Arasy dan malaikat Israfil a.s. berada di hadapan Lauhil Mahfuzh tersebut. Adapun apabila setiap keputusan Allah s.w.t. tercatit di Lauhil Mahfuzh, maka terbukalah dinding-dinding yang menghalanginya dan malaikat Israfil a.s. pun melihatnya. Apabila ia adalah tugas malaikat Jibrail a.s., maka malaikat Israfil a.s. akan memerintahkan malaikat Jibrail a.s. untuk melaksanakanya, begitu juga apabila untuk tugasan-tugasan malaikat Mikail a.s. dan malaikat Izrail a.s., ia akan memerintah mereka untuk melaksanakannya.

    Malaikat Israfil a.s. sentiasa meletakkan terompet sangkakala di mulutnya. Disebutkan bahawa terompet malaikat Israfil a.s. itu bercabang empat. Satu cabang diarahkan ke barat, satu ke timur, satu ke bawah bumi dan satu diarah kan ke langit yang ke tujuh. Adapun lingkaran kepala terompet itu selebar langit dan bumi. Di dalamnya terdapat pintu-pintu sebanyak bilangan para arwah. Ada tujuh puloh rumah di dalamnya. Di antaranya rumah arwah para Nabi a.s., arwah para manusia, para jin, syaitan, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

    Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang terompet malaikat Israfil a.s.: "Terompet itu adalah sebuah tanduk raksaksa yang terdiri dari cahaya. Besar tiap lingkaran dalam tanduk itu selebar langit dan bumi. Terompet itu akan ditiup tiga kali. Tiupan pertama membuat makhluk takut, tiupan kedua membuat makhluk mati, tiupan ketiga untuk membangkitkan makhluk dari kubur".

    Warna malaikat Israfil a.s. adalah kuning tua, sedangkan sebab musabab wajahnya menjadi kuning adalah kerana getaran rasa takut kepada Allah s.w.t. yang selalu meliputi malaikat Israfil a.s. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Bagaimana manusia boleh merasa senang sedangkan malaikat peniup sangkakala telah bersiap sedia meniupnya dan menundukkan keningnya serta memasang telinganya siap menunggu perintah".

    Kisah Malaikat Izrail

    Malaikat Izrail a.s. adalah salah satu di antara empat pembesar malaikat yang empat selain malaikat Jibrail a.s., Mikail a.s. dan Israfil a.s. Dikenali malaikat maut kerana ia ditugaskan untuk mencabut nyawa makhluk-makhluk Allah s.w.t. Malaikat Izrail a.s. diciptakan oleh Allah s.w.t. dalam keadaan yang serupa dengan malaikat Mikail a.s. baik wajahnya, saiznya, kekuatannya, lisannya dan sayapnya. Semuanya tidak kurang dan tidak lebih.

    Dari kepala hingga kedua telapak kakinya berbulu za'faron dan di setiap bulu ada satu juta muka dan setiap satu juta muka mempunyai satu juta mata dan satu juta mulut. Setiap mulut ada satu juta lidah, setiap lidah boleh berbicara satu juta bahasa. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah.

    Disebutkan, ketika Allah s.w.t. mencipta Al Maut dan menyerahkan kepada malaikat Izrail a.s., maka berkata malaikat Izrail a.s.: "wahai Tuhanku, apakah Al Maut itu?". Maka Allah s.w.t. menyingkap rahsia Al Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun.

    Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka: "Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?" Kemudian Allah s.w.t. berfirman: "Akulah yang menciptakannya dan akulah yang lebih Agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu".

    Kemudian Allah s.w.t. berfirman: "Hai Izrail, ambillah Al-Maut itu, dan Aku telah menyerahkannya kepada mu". Maka malaikat Izrail a.s. pun berkata: "Ya Tuhanku, apa dayaku untuk mengambilnya sedangkan ia lebih agung dari ku". Kemudian Allah memberikan kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya.

    Setelah itu Al-Maut berkata: "Ya Tuhanku, izinkanlah aku untuk berseru di dalam langit sekali sahaja". Maka, setelah diizinkan, berserulah ia dengan suara yang amat keras: "Aku ini adalah Al-Maut, tugasku sebagai pemisah orang yang saling mencintai. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan antara anak dan ibunya. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan saudara lelaki dan wanita. Aku adalah Al-Maut, tugasku menghancurkan bangunan rumah dan gedung-gedung, Aku adalah Al-Maut, tugasku meramaikan kuburan. Aku adalah Al-Maut, tugasku mencari dan mendatangi kamu semuanya, walaupun kamu berada dalam lapis benteng yang amat kuat. Dan tiada satupun makhluk yang tidak merasakan kepedihanku".

    Malaikat Izrail a.s. diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah s.w.t. sehingga arah barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya sebagaimana keadaan seseorang yang sedang menghadapi sebuah meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai macam makanan yang siap untuk dimakan. Ia juga boleh membolak-balikkan dunia sebagaimana kemampuan seseorang boleh membolak-balikkan wang syilling.

    Sewaktu malaikat Izrail a.s. menjalankan tugasnya mencabut nyawa makhluk-makhluk dunia, ianya akan turun ke dunia bersama-sama dengan dua kumpulan malaikat iaitu malaikat Rahmat dan malaikat Azab.

    Kisah Malaikat Jibril A.S

    Malaikat Jibrail a.s. adalah salah satu dari para malaikat yang cantik, besar, kuat dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Ia ditugaskan sebagai penyampai wahyu kepada para rasul a.s. Malaikat Jibrail a.s. mempunyai enam ratus sayap, setiap sayapnya menutupi ufuk. Dari sayapnya berjatuhan permata dan yakut yang berwarna warni. Imam Ahmad r.a dengan sanadnya dari Ibn Mas'ud r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku melihat Jibrail di Sidratul Muntaha, dia mempunyai enam ratus sayap".

    Malaikat Jibrail a.s. mampu terbang dalam keadaan yang sangat pantas. Seperti kalau ada orang bertanyakan sesuatu kemusykilan agama kepada Rasulullah s.a.w., belum pun selesai pertanyaan itu, malaikat Jibrail a.s. telah pun sampai dengan jawapan berupa wahyu dari Allah s.w.t. Padahal jarak antara setiap lapisan langit adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan.


    Ketika Allah s.w.t. memerintahkan malaikat Jibrail a.s. turun untuk memusnahkan kaum nabi Luth a.s., dikatakan malaikat Jibrail a.s mampu mengangkat kesemua tujuh bandar yang didiami oleh 400,000 orang, haiwan, rumah serta bangunan dan kesemuanya hanya dengan menggunakan hujung satu sayapnya sahaja, lalu diangkat hingga ke permukaan langit, sehinggalah para malaikat yang berada di langit dapat mendengar bunyi kokokan ayam dan lolongan anjing yang turut berada dalam bandar-bandar tersebut. Kemudian malaikat Jibrail a.s. membalikkan bandar-bandar tersebut hingga menjadilah bahagian atasnya terlungkup ke bawah.

    Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Jibrail a.s. sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara :-

    1. sembahyang lima waktu secara berjemaah
    2. duduk bersama para ulamak
    3. menziariahi orang sakit
    4. menghantar jenazah
    5. memberi air minum
    6. mendamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan
    7. memuliakan jiran dan anak-anak yatim

    maka bersungguh-sungguhlah kamu dalam perkara tersebut"

    Inside Ka'bah

    01 Mac 2006

    Bersama Prof Dr Sidek Baba

    PENDEKATAN bersepadu memberikan kepentingan nilai yang berasaskan agama, budaya dan tradisi yang baik diungkapkan dengan bijaksana dan sifatnya merentasi kurikulum dan kokurikulum.

    Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, proses kesalingan dan kekenalan atau litaarrafu perlu disuburkan. Ia supaya wujud proses menghargai dan menghormati nilai positif dan perbezaan. Dengannya juga bakal teradun nilai bersama yang menyumbang ke arah pengkayaan hati budi dan tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak. Sekiranya pendidikan Islam difahamkan sebagai pendidikan akidah, ibadah dan akhlak semata-mata tanpa melihat kepentingan ilmu alat seperti matematik, sains dan teknologi, pembangunan manusia hanya berlaku dalam konteks kekuatan peribadi dan akhlak serta menafikan pemahaman dan penguasaan ilmu alat.
    Sumbangan yang bakal diberikan kepada pembangunan umat tidak akan menyeluruh sifatnya. Hal yang sama juga boleh berlaku apabila pembangunan pendidikan hanya menumpu kepada kekuatan ilmu alat dan melupakan kepentingan nilai. Kita akan melahirkan manusia mekanistik dan robotik yang hilang etika dan kemanusiaan tinggi. Jalan terbaik ialah mengambil pendekatan integratif yang mampu menggabungkan kedua-dua keperluan utama iaitu kekuatan peribadi dan akhlak serta keunggulan penguasaan ilmu alat.
    Sekiranya generasi muda Islam memiliki dua kekuatan ini, corak perubahan negara dan umat pada masa depan tentunya berada dalam acuan kita sendiri. Acuan yang bermaksud pengolahan sistem nilai yang dinamik. Ia juga mampu menjadi asas amalan dan dimanifestasikan dalam jihad ilmu dan pendidikan.
    Memang diakui salah satu cabaran terpenting dalam jihad ini ialah memahami konteks perubahan, pembangunan dan kemajuan yang pernah berjalan mengikut perspektif Islam. Begitu juga perubahan, pembangunan dan kemajuan mengikut perspektif semasa yang paksinya ialah pembaratan. Globalisasi yang sedang berjalan adalah bukti jelas bagaimana hegemoni Barat begitu rancak menjebak umat Islam, khususnya generasi muda. Keadaan itu sehingga menimbulkan persoalan moral dan sosial yang amat menakutkan.
    Faktor perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ia adalah fitrah dalam kehidupan dan tamadun umat manusia. Suatu ketika dulu kegemilangan tamadun berpusat di Andalusia dan Baitul Hikmah. Ia dilambangkan dengan kekuatan ilmu yang integratif dan menjadi rujukan Barat dan Timur lebih 600 tahun. Selepas kejatuhan Baghdad dan Andalusia, kebangkitan Barat semakin terserlah. Mereka melakukan misi penjajahan serta pengembangan ilmu dan pendidikan yang tidak lagi bertunjangkan nilai murni. Sebaliknya, mewujudkan faham orientalisme yang meremehkan Timur dan Islam. Globalisasi kini adalah mercu tanda penguasaan Barat terhadap Timur dan Islam. Ia menyebabkan Timur dan umat Islam menjadi pengkagum dan pengguna setia terhadap produk Barat dalam pelbagai bentuk.
    Dalam konteks umat Islam, nostalgik atau kagum terhadap kehebatan silam harus didukung dengan upaya strategik memahami faktor semasa. Hal ini supaya ia releven dengan tuntutan sezaman dan cabaran lingkungan.Mengagumi model masyarakat madani yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, umpamanya, mestilah dalam pengertian yang amat mendalam terhaadap roh, semangat dan prinsip yang di tinggalkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini supaya ia mampu diterjemahkan dalam realiti yang sudah berubah.
    Memahami perubahan dalam konteks Islam merujuk kepada perubahan bentuk, bukannya isi. Maksud atau maqasid daripada perubahan selalunya tidak berubah. Pada zaman Rasulullah SAW, unta, kuda dan keldai digunakan sebagai alat kenaikan dan pengangkutan. Pada hari ini kereta, lori dan jet digunakan sebagai alat kenaikan dan pengangkutan. Perubahan kepada bentuk ini tidak boleh dielakkan kerana perkembangan ilmu, penyelidikan dan kemajuan teknologi terus berlaku. Tetapi, maksud perubahan ini tetap tidak lari daripada maqasid utama pengangkutan iaitu bagi kepentingan penumpang dan membawa barangan.
    Hal yang sama juga dalam prinsip riba yang menjadi pedoman muamalah, jual-beli dan perdagangan dalam Islam. Pada zaman Rasulullah SAW transaski berlaku secara tukaran barangan dengan mengekalkan amalan tanpa riba. Pada masa ini proses transaksi berlaku dengan lebih canggih. Pewujudan Bank Islam dan Takaful Islam, umpamanya, berjalan menggunakan mekanisme semasa tetapi larangan terhadap riba tetap dipatuhi. Perubahan transaksi berubah dari segi bentuknya.Antara strategi utama yang boleh mencapai matlamat mengisi perubahan ialah dengan melakukan proses pengIslaman ilmu. PengIslaman ilmu adalah suatu tuntutan bagi menghadapi globalisasi.