14 November 2009

Mampukah Jais tegas pertahan peraturan?

Oleh: Subky Abdul Latif

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas mufti Perlis kerana berceramah agama di wilayahnya tanpa tauliah mengundang kontrovesi malah dipersoal Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Jais, seperti lain-lain penguasa Islam negeri, ada peraturannya sendiri yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Tindakan Jais itu adalah kontrovesi kedua menarik perhatian perdana menteri yang berkuasa. Yang pertama semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, atas arahan mufti Selangoir ketika itu, Datuk Ishak Baharom bertindak menahan tiga wanita Muslim memperaga diri dalam peraduan ratu cantik di Selangor.

Ia mengundang campur tangan perdana menteri, lalu sultan Selangor menamatkan perkhidmatan Ishak yang kontraknya baru saja dibaharui.

Ada juga tindakan Jais yang menjolok mata tetapi tidak disensasikan sebelum Selangor diperintah Pakatan Rakyat seperti meroboh bangunan persendirian di Bangi yang dijadikan tempat pengajian dan ibadat. Kesnya tokoh agama yang bukan penyokong Umno seperti Datuk Dr. Haron Din diundang berkuliah.

Pernah juga surau membatalkan ceramah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas arahan Jais.

Semuanya itu berlaku kerana Jais ada peraturannya sendiri dan ia cuba menguatkuasakan apa yang diperaturankan. Begitu juga dengan yang terbaharu, menahan Asri berceramah tanpa tauliah sekalipun ilmunya mungkin lebih tinggi dari mufti Selangor. Asri sudah dihadapkan ke mahkamah. Dakwaan belum disebutkan kecuali dia tidak ada tauliah.

Ulas perdana menteri, mengapa dia ditahan sedang ramai penceramah lain tidak ditahan? Mungkin Jais melihat ulasan perdana menteri itu seperti bantahan seorang kerana melanggar lampu isyarat jalan, mengapa dia saja ditahan sedang ramai lagi yang melanggar lampu isyarat tidak ditangkap? Polis dan hakim tidak melepaskan orang itu atas bantahannya itu.

Isu yang ditimbulkan selepas penangkapan Asri ialah apa pentingnya tauliah bagi orang sudah jelas ada kelulusannya? Lulusan Azhar dan lain-lain institusi pengajian tinggi Islam, pensyarah Islam universiti dan pernah jadi mufti, perlu tauliah lagi? Bahkan Asri yang pernah jadi mufti tentunya juga pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Kebangsaan?

Logiknya tauliah itu dulu bagi menentukan tahap ilmu dan keupayaan guru-guru agama lepasan pondok. Tidak diketahui berapa lama mereka mengaji dan apa yang dipelajarinya? Mereka tidak memegang sijil. Dan bagi memastikan tiada guru ajaran sesat.

Ada pendapat mengatakan asalnya tauliah itu dikuatkuasakan oleh Mustafa Kamal Ataturk di Turki bagi menentukan yang mengajar hanya yang akur kepada ajaran duniawi Mustafa Kamal.

Memang kukuh hujah orang lulus Azhar seperti Haron Din dan Nik Aziz, apa perlunya tauliah.

Tetapi yang menyelubungi persekitaran Asri, bukan tentang tahap ilmunya, bahkan pertembungan dan pertempuran minda sesama penceramah agama sekarang.

Asri mewakili golongan ulama yang tidak terikat dengan mazhab sedang mazhab rasmi Malaysia kecuali Perlis ialah Mazhab Syafie.

Banyak kejadian di kuliah-kuliah maghrib di surau dan masjid guru-guru agama berbalas hujah tentang apa yang dikatakan bidaah oleh seorang tok guru, bukan bidaah oleh tok guru yang lain.

Wujud suasana panas tentang fahaman Wahabi dan bukan Wahabi. Isu qunut Subuh, tahlil dan talkin, membaca Yasin malam Jumaat menjadi pertikaian. Ia mengelirukan orang awam.

Ia mengembalikan suasana seperti hampir 100 tahun dulu pertempuran fahaman kaum tua dan kaum muda. Para ulama bertempur sesama sendiri. Di Indonesia ditegakkan gerakan Muhamadiah bagi mengembangkan fahaman kaum muda. Kemudian tumbuh pula Nahdatul Ulama yang asalnya mempertahankan mazhab Syafie.

Pertikaian kaum tua dan kaum muda reda. Tok Guru Nik Aziz hampir sepuluh tahun lalu, dalam seminar mengenai mazhab Imam Syafie di sebuah universiti di wilayah selatan Thailand ditanya oleh ulama setempat tentang rahsia kontrovesi kaum tua dan kaum muda itu dapat diselesaikan. Hingga masa itu isu itu masih panas di kalangan umat Muslim di sana.

Jawabnya, kami bersepakat menghadapi Umno yang tidak pedulikan Islam. Golongan yang saling bertentangan mahu menegakkan Islam. Yang tidak peduli hanya Umno. Maka masing-masing bersama dan bersatu dalam PAS menghadapi satu musuh iaitu Umno.

Al-Marhum Ustaz Datuk Fadzil Noor mengingatkan penyokong-penyokong PAS supaya jangan sama sekali membangkitkan isu-isu yang berlegar sekitar perbalahan antara kaum tua dan kaum muda dulu, kerana pertikaian seperti itu mengundang perpecahan sesama umat Islam.

Baginya kedua-dua pihak ada hujah yang kukuh tentang pegangan masing-masing. Jangan satu pihak menyalahkan pihak yang lain. Masyarakat merasa aman apabila ia terbendung sendiri. Tiada siapa untung jika ia dibangkitkan, bahkan ia menguntungkan musuh Islam.

Tetapi isu perbezaan fahaman ini berkembang panas dan mulai merata. Maka Jais yang diberi tanggungjawab menjaga kesejahteraan Islam dan umatnya di Selangor memulakan tindakannya terhadap Asri. Ia menghadapi teguran banyak pihak termasuk perdana menteri.

Dapatkah ia bertahan mempertahankan peraturannya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan