16 Disember 2009

Islamofobia di Eropah menunjukkan wajahnya

Selepas rakyat Switzerland mengundi untuk mengharamkan pembinaan menara masjid di negara Eropah itu, sentimen Islamofobia di negara-negara lain di Eropah mula menunjukkan wajahnya.

Undi sebanyak 57 peratus menyokong pengharaman pembinaan menara masjid di Switzerland itu memberi gambaran perasaan rakyat negara Eropah yang terkenal dengan sikap berkecuali dan tempat lahir badan Palang Merah antarabangsa.

Sikap ini mungkin sesuatu yang baharu, tetapi boleh juga merupakan manifestasi apa yang sedia dirasakan selama ini, dan hanya terzahir apabila digerakkan oleh sekumpulan ahli politik berhaluan kanan.

Dua parti politik berhaluan kanan yang membawa isu ini untuk diundi menggelar menara masjid sebagai simbol agenda politik Islam, berdasarkan aliran fahaman yang melihat Islam dan orang Muslim sentiasa mempunyai agenda politik untuk mendominasi, dan fahaman bahawa Islam menafikan hak-hak orang lain.

Malangnya, isu ini tidak mendapat respons meluas dalam kalangan negara Islam, ketika Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang ditubuhkan dengan tujuan membela umat mencapai usia 40 tahun.

Belumpun reda isu di Switzerland itu, pengharaman itu dan semangatnya mendapat sambutan dalam kalangan lain di negara Eropah sekitarnya. Geert Wilders, ahli politik anti-Islam di Belanda menyambut tindakan itu, dan dilapor berkata, "Apa yang boleh dilakukan di Switzerland, boleh dilakukan di sini."

Dunia Islam sebelum ini dikejutkan oleh Wilders yang terlibat dalam pembikinan filem anti-Islam berjudul Fitna, yang memfitnah Islam dengan pelbagai tohmahan tidak berasas. Wilders tidak berhenti dengan filem Fitna dan sedang meneruskan agenda anti-Islamnya.

Sebelum undi mengharamkan menara masjid dilaksanakan, kumpulan anti-Islam di Inggeris berkumpul melakukan protes menentang apa yang dilihat "proses Islamisasi" Eropah.

Selepas undi di Switzerland, kumpulan ini yang diketuai Liga Pertahanan Inggeris dan Hentikan Islamisasi Eropah mendapat suntikan semangat baharu untuk meneruskan kempennya.

Protes kali kedua - selepas yang pertama dua bulan lalu - kali ini menyifatkan menara masjid sebagai simbol dominasi Islam dalam masyarakat Kristian yang sekular.

Protes yang sama berlaku di Jerman sejak beberapa tahun lalu, menyaksikan ahli dan penyokong kumpulan berhaluan kanan menentang pembinaan masjid. Kumpulan-kumpulan ini turut terkesan dan pada masa sama memberi kesan kepada apa yang berlaku di seluruh Eropah.

Konservatif di Jerman bersuara menggesa Muslim negara itu "berpada-pada" dalam membina masjid, walaupun mereka mempunyai hak membinanya.

Selepas lapan tahun "ancaman Islam" dijadikan tema politik dunia ekoran serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, kesannya semakin mudah untuk dilihat di seluruh dunia.

Di Belanda, Switzerland, Inggeris dan Jerman, Islamofobia menunjukkan wajahnya, dan mendapat sokongan ramai rakyat negara itu.

Apa yang berlaku ini menunjukkan siapa sebenarnya yang tertutup, sukar untuk menerima kepelbagaian dan realiti globalisasi, tuduhan yang mudah dikaitkan dengan orang Muslim.

Perdebatan mengenai hak dan demokrasi menjadi lebih sukar dengan perkembangan ini, terutama sekiranya Eropah yang kuat menjajanya di peringkat antarabangsa (termasuk menjadikannya sebagai syarat kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah) gagal menangani gejala ini di wilayahnya sendiri.

Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan