25 Februari 2006

Masalah Umat Islam Kini dan Penyelesaian (Bahagian 3)

MASALAH BESAR YANG DIPANDANG KECIL

Apabila kita berhadapan dengan tajuk masalah umat Islam pada hari ini tentu ada yang lebih suka melihat masalah-masalah yang ketara di hadapan mata kita untuk dijadikan bahan perbincangan seperti masalah perpaduan, kepincangan organisasi, kelembapan ekonomi, kemerosotan mutu pelajaran dan teknik, masalah budaya Islam dan budaya barat, fenomena keruntuhan akhlak, penyalahgunaan dadah dan lain-lain. Akan tetapi di dalam kertas ini, sengaja melewati pandangan dan perhatian kepada masalah-masalah itu untuk ditunjukkan masalah lain yang lebih besar dan lebih parah risikonya kepada umat Islam.

Masalah sebenar yang dihadapi oleh umat Islam ialah masalah berbangkit yang kerananya Rasul-Rasul dibangkitkan seorang demi seorang sejak daripada Nabi Adam a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w., untuk menyelesaikannya. Masalah-masalah itu adalah seperti berikut.

Masalah Iman dan Taghut (Syaitan dan Sekutu-Sekutunya)

Allah s.w.t. mengingatkan manusia, maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat untuk menyeru mereka agar menyembah (menyerah diri) kepada Allah sahaja dan hendaklah menjauhkan diri pada daripada taghut.” (Nahl 16: 36)

Persoalan iman adalah persoalan pokok yang menjadi punca kepada segala-galanya. Rasul diutuskan untuk menjelaskan persoalan itu dengan sebaik-baiknya; untuk membimbing manusia ke jalan yang benar, jalan menuju Allah s.w.t. dengan membulatkan kepada Tuhan dan ketaatan kepadaNya di dalam serba-serbi bidang kehidupan. Jalan iman adalah jalan lurus. Jalan yang mendapat rahmat Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. Allah s.w.t. berfirman,maksudnya:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (di dunia) beriman dan bertaqwa (kepada Allah) pastilah Kami (Allah) akan melimpahkan barakah (rezeki dan sebagainya) dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (kufur dengan ayat-ayat Kami) maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka sendiri.” (al-A’raf 7: 96)

Oleh kerana persoalan pengukuhan iman dengan secara menjauhi taghut (syaitan dan sekutu-sekutunya) sudah dipandang remeh serta tidak mendapat tempat dalam senarai masalah umat, maka lenyaplah masalah itu ditimbun oleh masalah-masalah lain. Kerana itu, untuk menimbulkan dan mengukuhkan iman, maka perlulah ia digarap dan sentiasa dibaja dan dikawal daripada musuhnya.

Di antara musuh utama kepada Islam itu ialah syirik dengan segala cabangnya, kufur dengan segala keadaannya, maksiat dengan selok-beloknya.

Masalah kemerosotan ekonomi, kebimbangan dan ketakutan yang lahir daripada keadaan kesusahan dan kepapaan hidup sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada masalah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Segala rezeki yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada manusia yang kelihatan naik turun keadaannya, juga bergantung kepada darjah keimanan tersebut. Cuba lihat kepada sepotong ayat Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan Allah telah memberikan suatu contoh (peringatan) dengan sebuah negeri yang dahulunya amat aman lagi tenteram. Rezeki didapati (datang) padanya melimpah-ruah dari segenap tempat. Tiba-tiba penduduknya (berubah) mengkufuri nikmat Allah (dengan menderhaka kepadaNya). Maka kerananya dibalas dengan memberikan pula mereka merasa kesusahan sehingga terjadi kelaparan dan ketakutan berpunca daripada perbuatan (kekufuran) yang mereka lakukan.” (Nahl 16: 112)

Ayat ini jelas memberi gambaran bahawa masalah kemelesetan ekonomi hingga menyebabkan kebuluran kepada sebuah negeri yang dahulunya senang dan kaya-raya, adalah berpunca daripada sikap manusia yang tidak tahu berterima kasih kepada Allah s.w.t. Begitu juga masalah keamanan yang sentiasa mengancam manusia baik daripada masalah-masalah dalaman mahupun luaran yang menyebabkan manusia sekarang berada dalam kebimbangan danketakutan, juga berpunca daripada masalah iman.

Orang yang beriman dan beramal soleh dengan sebenarnya akan terlepas daripada semua kebimbangan, ketakutan dan kedukacitaan itu. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal segala yang soleh, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, bagi mereka itu pahala dari sisi Tuhan mereka, dengannya mereka tidak akan berasa sebarang ketakutan dan mereka tidak pula berdukacita.” (al-Baqarah 2: 277)

Persoalan kemerosotan ekonomi yang membawa kepada masalah kemiskinan yang menjadi focus utama masyarakat Islam kini sehingga menjadikan masalah itu masalah besar yang mesti diperangi habis-habisan, sebenarnya jika ditinjau dari sudut al-Sunnah, apakah ianya benar-benar masalah besar dan berat, maka kita akan dapati masalah itu kecil.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya:

“Bukanlah kefakiran yang aku takut berlaku ke atas kamu, tetapi yang paling aku takut kekayaan dunia yang melimpah-ruah ke atas kamu, yang dengannya kamu berlumba (mengejar harta itu hingga lupa kepada Allah) sepertimana umat-umat lain sebelum kamu berlumba-lumba (mengejarnya) sehingga mereka binasa sepertimana kamu juga akan binasa.”

Masalah Keraguan Terhadap Islam

Islam yang diimani oleh umat Islam kini banyak yang boleh dipersoalkan tentang sejauh manakah kekuatan fahaman itu pada diri mereka. Apakah Islam telah diubahsuai untuk disesuaikan dengan selera dan zaman yang kita lalui ini, ataupun masih boleh dikatakan Islam itu tetap dengan keasliannya? Masalah ini ada hubungan dengan maruah bangsa dan agama, di mana ketinggian dan kehinaan umat Islam itu banyak bergantung kepada komitmen kepada hukum-hakam Allah s.w.t. Memadailah rasanya kalau kita lihat kepada sepotong ayat al-Quran iaitu: Maksudnya;

“Bacalah kepada mereka berita tentang orang-orang yang kami datangkan keapda mereka ayat-ayat kami (hukum-hukum Allah) lalu mereka melepaskan diri (membuang danmeninggalkannya) daripada ayat-ayat itu. Maka syaitan pun menunggangi mereka sehingga mereka menjadi orang yang sesat. Kalau kami kehendaki, nescaya kami angkat darjat mereka dengan pelaksanaan hukum-hukum daripada ayat-ayat itu. Akan tetapi (mereka) menumpang di bumi (seperti hendak kekal selama-lamanya) dan menurutkan hawa nafsunya maka bandingan mereka itu sama seperti seekor anjing (yang terjulur lidahnya). Dihalau (dihina) ia menjulurkan lidahnya, dibiarkan sahaja pun dijulur juga lidahnya, yang demikian itu adalah bandingan kepada kaum (bangsa) yang mendustakan (membelakangkan) ayat-ayat Kami, maka ceritakanlah kisah-kisah itu moga-moga mereka berfikir. Amat buruklah bandingan kamu (bangsa) yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada kami mereka sendirilah mereka berbuat zalim.” (al-A’raf 7: 175 – 177)

Masalah Kejahilan Terhadap Islam

Salah satu perkara yang benar, tetapi sukar hendak diakui ialah masalah kejahilan umat Islam terhadap Islam yang dipegang dan dianuti. Daripada kejahilan itu, timbullah tanggapan dan pegangan yang berbeza-beza terhadap Islam. Kerananya timbul perbalahan dan pertelingkahan yang kadang-kadang membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Kerananya penghormatan kepada ilmu Islam itu sendiri tidak diberikan, yang menyebabkan ulama-ulama Islam dipandang rendah dan direndah-rendahkan.

Rasulullah s.a.w. menerima wahyu pertama mengisahkan permasalahan ilmu. Di antara tugasnya juga mengembangkan dan menyebarkan ilmu. Dalam hierarki ilmu, maka ilmu yang membawa manusia kepada beriman kepada Allah s.w.t. (ilmu makrifat) adalah ilmu yang tertinggi sekali yang perlu diberi perhatian dan kehormatan. Apabila ilmu itu dipandang ringan dan enteng maka berkembanglah ilmu yang menyesatkan manusia dari Allah s.w.t.

Jika dilihat daripada perkembangan ilmu dalam system pendidikan umum di dalam masyarakat Islam hari ini, kita akan dapati perkembangan ilmu-ilmu yang berasaskan kepada menjaga kepentingan hidup dunia begitu pesat dan begitu luas cabang dan bidangnya. Ilmu-ilmu dalam bidang bahasa dan sastera, dalam ekonomi dan pengurusan, dalam sains dan teknologi kelihatan sentiasa berkembang pesat dan pantas. Tetapi ilmu-ilmu dalam bidang mengenali Allah s.w.t. seolah-olah seperti telah beku dan kaku. Ilmu-ilmu tentang syariah pun demikian juga. Kerananya maka, tarikan terhadap ilmu-ilmu Islam akan berkurangan. Apabila ini berlaku maka kejahilan umat Islam semakin parah, akhirnya Islam tidak dikenali dengan baik maka kerananya timbul masalah demi masalah.

Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat Islam dari dahulu hingga sekarang ialah kemurkaan dan kutukan Allah s.w.t. Hal ini telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku ke atas umat Islam secara khusus, kerana merekalah umat yang diberi hidayah tetapi ada yang menolak hidayah itu. Mereka diberi al-Quran tetapi tidak mengenali dan memahaminya. Mereka diberi jalan yang lurus, tetapi memilih jalan bengkang-bengkok kerana pujukan hawa nafsunya.

Sekiranya berlaku kemurkaan dan kutukan Allah s.w.t., maka malapetaka besar akan menimpa umat Islam yang akan menyebabkan kesengsaraan di dunia dan keazaban yang dahsyat di akhirat. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Maka adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menyempurnakan pembalasan (pahala) baik mereka dan menambah untuk mereka sebahagian daripada kurniaNya. Adapun orang yang enggan (mengingkari perintah) dan menyombong diri (menolak kebenaran), maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih dan mereka tidak akan memperolehi bagi diri mereka pelindung (pembela) dan penolong (pembantu), selain daripada Allah.” (al-Nisa’ 4: 173)

FirmanNya lagi yang bermaksud:


“Dan peliharalah dirimu daripada melakukan fitnah, kerana seksaan Allah terhadap kesalahan itu tidak sahaja terkena kepada orang yang melakukan kezaliman itu secara khusus sahaja (malah terkena kepada semua) dan ketahuilah bahawa Allah itu amat keras seksaannya.” (al-Anfal 8: 25)

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud “Hendaklah kamu menyuruh melakukan ‘makruf’ dan menegah mereka melakukan ‘mungkar’ kalau tidak, Allah akan menurunkan azabNya ke atas manusia.”

Sebenarnya amat banyak lagi keterangan-keterangan dari al-Quran dan al-Sunnah tentang ancaman Allah s.w.t. terhadap umat Islam yang merupakan sebesar-besar masalah yang perlu difikirkan dengan serius untuk mengelakkan azab tersebut. Penyelesaian perlu difikirkan dan dicari secara bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah itu. Bukan sahaja untuk melepaskan diri daripada masalah di dunia ini sahaja malah akan sampai ke akhirat nanti.

1 ulasan:

  1. Salah satu yang termasuk tidak kita sadari adalah kita berbangga dengan keompok, golongan, aliran, sekte, firqoh yang kita anut membiarkan kita tepecah belah, setiap kelompok dari kita bangga dengan yang ada pada kita.
    Ini juga perlu kita khawatirkan menjadi semacam sesembahan yang sama nilainya dengan thaghut
    Kita bisa jadi tidak menyembah Allah yang Esa tepai kita termasuk menyekutukannya bisalah kita termasuk menyimpang dari yang diperintahkan Allah swt "laa yusyrik bi 'baadatihii ahadaa" hendaklah menyembah Allah dan tidak menyekutukan dalam peribadatannya dengan suatu apapun.

    BalasPadam