25 Februari 2006

Masalah Umat Islam Kini dan Penyelesaian (Bahagian 4)

PENYELESAIAN

Setelah mengenali sepintas lalu tentang masalah-masalah pokok umat Islam kini, tanpa menafikan ada banyak lagi masalah lain, dengan segala cabangnya, yang tidak disebutkan di sini kerana menjaga ruang dan masa, maka pada hemat saya, terlebih dahulu perlulah kita memahami bahawa tidak ada jalan ringkas danpendek untuk menyelesaikan masalah besar yang dihadapi itu. Masalah-masalah itu telah lama berakar umbi dalam masyaarakat Islam, yang bermula sejak dari zaman keruntuhan Islam hingga kini. Kita hanya mewarisi masalah-masalah itu daripada orang-orang terdahulu danmenyedari akan akibatnya sekarang, dan perlu akan penyelesaian.

Masyarakat jahiliah yang disebutkan pada permulaan tulisan ini telah menghadapi berbagai-bagai masalah yang disifatkan oleh al-Quran sebagai:

“Dan kamu (masyarakat jahiliah) sedang berada di tepi tebing neraka (kemusnahan) maka kamu diselamatkan (oleh Islam) daripadanya.” (Ali ‘Imran 3: 103)

Ayat ini memberi suatu jalan penyelesaian kepada umat Arab ketika itu dengan memilih Islam sebagai suatu cara hidup bagi menyelesaikan semua masalah yang dihadapi. Kalau mereka telah berjaya, maka tentu juga kita boleh berjaya dengan memilih Islam sebagai suatu pilihan utama.

Islam sebagai suatu pilihan untuk menyelesaikan masalah, bukan Islam yang sekerat-kerat dan mengikut selera, malah Islam yang sebenar yang disebut oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran, maksudnya:

“Wahai orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam keseluruhan (kesemuanya) dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang paling nyata.” (al-Baqarah 2: 208)

Program utama bagi penyelesaian ini adalah dengan mengatur strategi untuk pulang kepada Islam secara yang lebih serius dan berkesan. Bukan dengan cakap dan lambang-lambang yang tidak bermakna.

Langkah penerapan nilai-nilai Islam ke dalam pentadbiran kerajaan adalah suatu langkah yang baik dan perlu diberi sanjungan dan sokongan. Hal ini adalah suatu yang berguna untuk menyelesaikan masalah ummah. Apa yang perlu ditambah untuk lebih mengemaskan langkah tersebut ialah dengan meletakkan matlamat jangka waktu yang akan dicapai. Tanpa jangka waktu dalam proses penerapan nilai-nilai Islam seperti sekarang ini, menyebabkan semua pihak yang terlibat tidak akan mengetahui sampai bila penerapan itu hendak digarapkan. Kerananya maka ada pihak yang belum memulakan usahanya, mungkin pada pandangannya, masa masih terlalu lama lagi. Ada yang begitu laju dan amat cergas hingga mencurigakan orang lain dan berbagai-bagai lagi. Kerana itu sasaran dan jangkamasa perlu dibuat dengan jelas.

Tanpa jangka waktu tertentu, program yang tersusun sukar dilaksanakan dengan baik. Program itu juga tidak dapat disemak: Manakah yang sudah dijalankan dan apa pula yang belum? Apakah tekanan yang patut diberi dan apa pula yang mesti diatasi segera?

Dalam memenuhi keperluan asas penerapan nilai Islam, penumpuan ke arah memahamkan Islam secara menyeluruh perlu disegerakan. Program ini hendaklah menyeluruh dan serentak keseluruh negara, melalui berbagai-bagai cara, di antaranya mengadakan kelas-kelas khusus untuk pendedahan ini secara wajib yang dimasukkan ke dalam sebahagian daripada tugas harian dalam kerjayanya.

Buku-buku agama yang difikirkan sesuai hendaklah dipilih dan dijadikan buku wajib yang mesti dibekalkan dan dipergunakan setiap hari sebagai bahan bacaan dan rujukan.

Untuk membolehkan program ini lebih berkesan, maka hendaklah seboleh-bolehnya persoalan-persoalan Islam dijadikan sebagai suatu persoalan penting dalam temuduga-temuduga kenaikan pangkat, di samping soalan-soalan lain yang berhubung dengan kerjayanya. Kegagalan seorang Islam untuk menjawab soalan-soalan mudah mengenai Islam amatlah serius dan sepatutnya dijadikan penghalang kepadanya untuk mendaki ke jawatan yang lebih tinggi.

Merujuk kepada Islam sebagai suatu penyelesaian masalah ummah, tentulah akan dirasakan terlalu umum untuk dilaksanakan dan seolah-olahnya tidak praktikal dalam bentuknya yang terlalu umum itu. Sebenarnya apabila kita merujuk kepada Islam sebagai suatu pilihan ertinya kita perlu meletakkan diri kita dan masyarakat dalam suatu keadaan yang seluruh potensi yang ada diletakkan di bawah kehendak Allah s.w.t. Meletakkan diri kita ke dalam senarai orang-orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dengan sepenuh daya-upaya kita. Mengimani Allah s.w.t. sebagai Tuhan sebenar yang segala-galanya dirujukkan kepadaNya. Memahami diri kita sebagai insane yang tidak berdaya melainkan dengan izin Allah s.w.t.

“Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Adil.”

Kita hendaklah bergantung dengan sebenar-benar pergantungan yang benar kepada Allah s.w.t. kerana kita akan mendapt pertolongan daripada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan sesiapa yang bergantung dengan Allah, maka sesungguhnya diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (Ali ‘Imran3: 101)

Penyelesaian masalah umat Islam tidak seharusnya dipandang dari sudut yang sempit dalam jangkamasa yang singkat sahaja, malah perlu kepada penyelesaian yang luas dalam jangkamasa yang amat panjang. Penyelesaian masalah duniawi memang perlu, kerana di dunia kita sedang berpijak dan bekerja keras untuk kembali kepada Allah s.w.t. Tetapi kalau sekadar menyelesaikan masalah dunia sahaja, secara pandangan dan penyelesaian duniawi yang tidak dihubungkaitkan dengan masalah akhirat, maka bukanlah penyelesaian sebenar yang diperlakukan oleh umat Islam. Sebaliknya kalaulah masalah keakhiratan dapat dibereskan di dunia ini, dengan berusaha untuk menempah tempat yang baik di akhirat, maka itulah yang sebenarnya suatu penyelesaian yang memberi keuntungan yang sebenar.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. banyak masalah keduniaan tidak diselesaikan dalam jangka waktu yangpendek, masalah keamanan dan penindasan serta penganiayaan masyarakat Quraish (jahiliah) terhadap umat Islam di Makkah, juga masalah sosio-ekonomi yang melanda masyarakat Islam ketika itu, tidak diambil langkah segera oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyelesaikannya. Contoh hidup yang dapat disaksikan; apabila berlaku semua yang tersebut itum ada sahabat yang datang mengadu kepada Rasulullah, meminta penyelesaian segera bagi masalah itu dengan sekurang-kurangnya berdoa memohon kepada Allah s.w.t. agar memberi pertolongan segera kepada mereka untuk mengatasi masalah kehidupan. Rasulullah s.a.w. bertindak mengumpulkan umat Islam yang berada di sekitarnya ketika itu dan memberi penjelasan di antara lain sabdanya:

“…bahawa sesungguhnya orang yang sebelum daripada kamu (kerana mereka menjadi penganut Islam sebenar) mereka diseksa (oleh musuh) dengan menggunakan sikat besi sehingga tanggal daging daripada tulangnya, namun mereka tidak berganjak dari agamanya akan tetapi kamu gopoh (dengan tidak lebih banyak bersabar).”

Masalah-masalah yang begitu banyak yang dihadapi oleh umat Islam menjadikan mereka seperti kelumpuhan tenaga yang boleh mematikan semangat untuk lebih kuat bekerja mengatasi masalah. Berdasarkan kepada Islam, maka ada yang merasakan bahawa Islam tidak berupaya untuk menghidupkan balik keadaan yang hampir lumpuh itu. Sebenarnya Islam mampu menyelesaikan masalah ummah. Lihat firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang yang beriman, sahutilah (penuhilah) seruan Allah dan seruan Rasul apabila diseru kamu kepada sesuatu yang akan memberi kehidupan (yang lebih sempurna kepada kamu).” (al-Anfal 8: 24)

Sayangnya seruan itu tidak disahut oleh umat Islam maka berlakulah masalah demi masalah.

Untuk kembali kepada Allah s.w.t. bagi mendapatkan penyelesaian, umat Islam perlu mempunyai keyakinan yang bulat bahawa Islam mampu menyelesaikan masalah dalaman suatu jangka yang munasabah bagi mengatasi masalah lama yang mengongkong umat Islam. Rasulullah s.a.w. sendiri mengambil masa yang sesuai sebagai seorang Rasul akhir zaman bagi menyelesaikan segalanya. Begitu juga kita lebih memerlukan masa yang sesuai untuk melaksanakan kehendak Allah s.w.t. dalam masyarakat yang amat memerlukan penyelesaian secara Islam.

Keyakinan kepada diri dan kepada agama Islam sebagai teras penyelesaian masalah, memerlukan kepada ilmu yang cukup dan kefahaman terhadap Islam yang sebenar. Hal ini hanya akan berlaku jika Islam difahami dan dikaji dari sudut pendangan Islam itu sendiri, bukan dari sudut pandangan orang luar (yang bukan Islam) bagi mengatasi masalah kita.

Sekiranya diterima penyelesaian masalah ummah dalam bentuk yang disebutkan itu, maka langkah seterusnya ialah perlunya diubahsuaikan segala kegiatan kehidupan ummah seluruhnya agar selaras dengan kehendak Islam, secara yang berkesan dan bermaslahat (berfaedah). Apa yang tidak sesuai dengan Islam perlu ditukar sedikit demi sedikit, agar tidak menjadi suatu kegemparan. Cara hidup hendaklah dibiasakan dengan cara hidup Islam, melalui perubahanm, peraturan dan falsafah hidup yang bersendikan falsaah Islam.

KESIMPULAN

Selagi manusia bernama manusia dan selagi dunia ini tetap dengan sifat keduniaannya maka masalah-masalah hidup manusia dan dunia tidak akan habis. Umat Islam adalah suatu rumpun daripada rumpun-rumpun bangsa yang hidup di atas dunia ini, tentu sahaja menghadapi banyak masalah. Masalah umat Islam ada yang berpunca daripada dalam diri mereka sendiri, daripada sikap beragama tetapi tidak mahu berpegang sungguh-sungguh dengan ajaran agama mereka. Di samping itu, ada pula berpunca daripada permainan musuh yang sengaja mewujudkan masalah supaya mereka hidup dalam keadaan berpecah-belah.

Kalau hendakdisenaraikan umat Islam kini, maka pandangan dan penumpuan kita akan tenggelam dalam menghadapi banyaknya masalah-masalah itu. Daripada masalah kebangsaan kepada masalah antarabangsa, daripada masalah individu kepada masalah keluarga, masyarakat dan negara.

Punca utama masalah itu adalah kerana umat Islam telah jauh menyimpang daripada Islam itu sendiri. Allah s.w.t. telah membayangkan:

“Dan sesungguhnya (agama Islam) yang Kami turunkan ini adalah jalanKu yang lurus maka hendaklah kamu ikutinya dan jangan sekali-kali kamu mengikut jalan-jalan yang lain, kelak jalan-jalan itu akan memporak-porandakan kamu (menyesatkan kamu) daripada jalan (Allah) yang sebenar. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepaamu agar kamu bertaqwa.” (al-An’am 6: 153)

Untuk memperbaiki umat Islam yang sedang berada dalam berbagai-bagai masalah hidup, penyelesaiannya jelas daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidak akan menjadi baik umat ini melainkan dengan mencontohi apa yang boleh menjadi baik umat yang terdahulu.”

Kepimpinan Rasulullah s.a.w. tetaplah menjadi tauladan. Demikian juga kepimpinan Khulafa al-Rasyidin dan para pemimpin Islam yang berpegang teguh kepada Islam. Oleh itu kepimpinan yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah adalah salah satu cara yang mengatasi masalah umat.

Sebenarnya apa yang mengizinkan agar sesuatu masalah itu terjadi adalah Allah s.w.t. Perlakuan manusia hanya sebab ke arah masalah-masalah itu. Oleh itu, apa yang paling mampu menyelesaikan masalah umat itu ialah petunjuk Allah s.w.t. jua. Oleh itu, merujuk kepada Allah s.w.t. dalam menyelesaikan masalah umat adalah sesuatu yang wajar, seperti firmanNya yang bermaksud:

“Apakah Dia (Allah) yang menunjukkan kepada kebenaran, lebih patut (berhak) kamu ikutinya ataupun kamu hendak mengikut mereka yang tidak memiliki petunjuk, melainkan jika siberi petunjuk oleh Allah kepadanya, maka apakah kamu ini. Bagaimana kamu mambuat keputusan.” (Yunus 10: 35)

Islam adalah agama Allah s.w.t. yang sentiasa untuk diikuti oleh sesiapa sahaja, sentiasa bersedia memberi jalan untuk menyelesaikan masalah umat dari dahulu hingga sekarang. Kekurangan umat Islam hanyalah pada keyakinan untuk kembali kepada Islam itu sepenuhnya. Kalau sudah ada keyakinan dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan Islam sebagai penyelesai masalah, maka Allah s.w.t. akan menolong hambanya menyelesaikan masalah.

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, akan dibukakan jalan keluar (penyelesaian masalahnya) baginya dan diberi rezeki kepadanya sehingga tidak teritung banyaknya.” (al-Talaq 65: 2 – 3)

Kalau masalah hidup sudah ada jalan penyelesaian yang sebenar dan masalah ekonomi (rezeki) pula telah diatasi dengan banyaknya anugerah Allah s.w.t., maka tercapailah penyelesaian yang dikehendaki untuk masyarakat Islam.

“dan kalau sekiranya penduduk sesebuah negeri beriman dan bertaqwa nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan (pintu rezeki) dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (membelakangi ayat-ayat Kami) maka Kami seksa mereka (dengan berbagai-bagai masalah) daripada perbuatan mereka sendiri.” (al-A’raf 7: 96)

Jelaslah daripada ayat tersebut, punca masalah yang berlaku ke atas umat Islam adalah iman dan taqwa. Kalau masalah itu selesai maka yang lain-lainnya akan turut selesai dengan pertolongan Allah s.w.t.

SARANAN

“Islam” dalam erti kata yang sebenar adalah sebenar-benar penyelesaian kepada masalah umat Islam hari ini. Oleh itu, usaha yang lebih giat perlu dilakukan untuk meyakinkan semua pihak bahawa Islam mampu menghadapi semua keadaan dan mampu menyelesaikan semua masalah kerana Islam berbentuk “agama rabbani” (lihat muka surat 103).

Usaha memperdalamkan kefahaman Islam yang tidak sahaja terbatas kepada masalah-masalah ibadat yang sempit perlu digarapkan dalam bentuk yang lebih serius bagi menyampaikan gambaran sebenar tentang ruang lingkup Islam, kepada seluruh umat Islam yang tumpuannya perlu dibuat kepada golongan yang boleh mengubah keadaan dan berkuasa pula mengubahnya.

Program kefahaman Islam mestilah disusun oleh semua jabatan dalam semua sector pentadbiran bagi memastikan sampainya seruan Islam yang lengkap kepada semua pihak dengan menggunakan “al-Hikmah”.

Buku-buku tentang Islam yang boleh menolong mempercepatkan sampainya maklumat sebenar tentang Islam, perlu dikenal pasti oleh pihak yang berkuasa bagi tiap=tiap sector pemerintah untuk tujuan memilih dan mencadangkan buku itu sebagai buku bacaan peribadi yang memungkinkan mereka yang “lebih bodoh” memahami Islam secara bersebdiri di samping mengikuti program-program yang diatur.

Penyelesaian masalah umat Islam bukan tertumpu kepada masalah dunia ini sahaja, tetapi perlu kepada penyelesaian yang lebih utama kepada masalah keakhiratan. Oleh itu, kemudahan-kemudahan tempat ibadat dan penyaksian tempat-tempat itu dengan kegiatan yang boleh menjaminkan kebahgiaan akhirat perlu dititikberatkan.

Sekian.

1 ulasan:

  1. ni copy dari buku kor agama angkatan tentera nih

    BalasPadam