25 Februari 2006

Masalah Umat Islam Kini dan Penyelesaian (Bahagian 1)

Oleh : Prof Dato' Dr Haron Din

MUQADDIMAH

Manusia tetap manusia, dari dahulu hingga sekarang. Kejadiannya tidak berubah. Tujuan hidup mereka tidak berubah.Keperluan asas di sepanjang sejarah yang dilalui oleh manusia juga tidak berubah. Apa yang bertambah adalah bilangan mereka. Daripada Nabi Adam a.s. dengan Hawa a.s., anak-pinak dan cucu-cicit mereka telah bertambah begitu ramai hingga melewati angka 4 billion orang.

Pada zaman Nabi Adam a.s., meskipun bilangan anak-anaknya ketika itu tidak ramai sedangkan bumi tempat mereka tinggal itu luas, rezeki melimpah-ruah, namun anak-anak baginda sudah pun berhadapan dengan masalah. Pertelingkahan berlaku di antara Habil dan Qabil yang berpunca daripada masalah siapakah yang berhak mengahwini Aqlaima. Masalah itu memuncak sehingga berakhir dengan Qabil membunuh Habil.

Masalah anak Nabi Adam a.s. tidak berhenti sekadar pergaduhan adik-beradik ketika itu, malah terus berlaku dari semasa ke semasa yang kerananyalah Allah s.w.t. mengutuskan RasulNya, silih-berganti hingga kepada Rasul terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Tujuan utama kebangkitan Rasul-Rasul itu adalah untuk memperbetulkan perjalanan hidup manusia dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Kita ini sedang berada pada penghujung zaman (akhir zaman). Alam ini sudah amat uzur. Dunia ini sudah terlalu tua. Apa yang anehnya ialah dunia ini semakin hari semakin berhias cantik, kelihatan semakin indah dan lebih menarik, seolah-olah sedang berada pada zaman remajanya, sedangkan hakikatnya tidak. Kalaulah dunia ini boleh dibayangkan seperti seorang yang amat tua, dan si tua itu asyik berhias cantik dan berperangai seperti orang muda, tentu dapat dibayangkan masalah-masalah yang dihadapinya.

Umat Islam sepatutnya menjadi umat contoh, umat yang terbaik yang diciptakan Allah s.w.t. Tetapi oleh sebab berbagai-bagai masalah yang dihadapi, mereka berubah menjadi “Pak Turut”, menurut jejak langkah umat yang tidak sealiran dengan mereka.Kerana itu agama mereka tercicir dan langkah mereka pun pendek, tidak dapat menuruti bangsa yang menjadi ikutan mereka. Maka tidak hairanlah masalah mereka semakin bertambah. Oleh itu, persoalan masalah yang dihadapi oleh umat Islam kini perlu dibentangkan untuk dicari penyelesaiannya sekadar yang kita mampu.



MENGENALI UMAT CONTOH

Berdasarkan kepada pernyataan al-Quran, manusia pada masa sebelum dibangkitkan oleh ajran Nabi Muhammad s.a.w., sedang berada di tepi tebing kemusnahan dan kehancuran. Kemudian, mereka diselamatkan oleh corak kehidupan baru yang berdasarkan al-Quran. Manusia yang berada dalam kegelapan kufur telah diterangi oleh cahaya iman, daripada pengabdian diri kepada makhluk Allah s.w.t., kepada pergantungan dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t.

Dengan hidayat daripada Allah s.w.t. dan petunjuk daripada Nabi Muhammad s.a.w., suatu perubahan yang amat besar berlaku ke atas masyarakat jahiliah ketika itu, berubah daripada masyarakat yang sedang berpecah-belah dan bermusuh-musuhan kepada umat yang bersatu serta berkasih saying. Daripada berpegang kepada nilai hidup yang berteraskan kepada hawa nafsu, mereka berubah daripada mematuhi perintah Allah s.w.t. yang sentiasa mengharapkan keredhaan dan keampunanNya.

Masyarakat Arab Jahiliah menerima perubahan yang begitu besar, hingga mereka menjadi sebaik-baik umat yang diciptakan oleh Allah s.w.t. di atas muka bumi untuk dicontohi. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Kamulah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia.” (Ali ‘Imran 3: 110)

Umat Nabi Muhammad s.a.w. pada zaman kebangkitannya bukan sahaja disifatkan sebagai sebaik-baik umat seperti di dalam ayat tadi, malah disebutkan sebagai:

Maksudnya: “Dan bagi Allah kemuliaan, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin.” (al-Munafiqun 63: 8)

Kemuliaan yang dimiliki oleh orang-orang Islam itu berpunca daripada mereka memohon kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Sesiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah segala kemuliaan.” (Fatir 35: 10)

“Apakah dicari kemuliaan di sisi mereka (orang-orang kafir), maka sesungguhnya kemuliaan itu bagi Allah semuanya.” (al-Nisa’ 4: 139)

Umat Islam tidak lagi berasa rendah diri dalam keadaan hina kerana ditindas oleh musuh,m alah mereka sudah berubah menjadi gagah dan bertaraf tinggi.

“Dan jangan kamu berasa hina dan jangan berdukacita, kamulah yang lebih tinggi, jika kamu beriman (kepada Allah).” (Ali ‘Imran 3: 139)

Dengan perubahan sikap dan dengan pergantungan kepada Allah s.w.t. serta penyerahan diri kepadaNya, serta patuh kepada titah perintahNya, umat Islam telah lahir sebagai umat contoh. Hasilnya mereka mendapat kemenangan. Negeri-negeri baru dibuka dan diteroka untuk memperkenalkan Islam. Sebuah demi sebuah negeri musuh jatuh ke tangan Islam. Kepalsuan terbongkar dan jatuh tersungkur ke bumi. Kebenaran daripada Allah s.w.t. terserlah dan tertegak gagah. Kemenangan demi kemenangan, dalam segala lapangan penghidupan dicapai oleh umat Islam. Agama mereka tertegak dan menegak tinggi menjulang langit.Umat Islam menjadi gagah dan mulia.

Tetapi sekarang di mana semuanya itu? Segala kehilangan itu? Di mana kemuliaan dan ketinggian yang pernah suatu ketika dahulu menjadi milik kita? Mengapa perpecahan dan permusuhan terus wujud dalam masyarakat Islam? Mengapa agama yang menjadi pegangan mereka kelihatan macam terpisah daripada mereka? Apakah masalah-masalah yang dihadapi sekarang, sehingga membenamkan kekuatan umat ke dalam bumi? Dengannya kita kelihatan seperti tidak bermaya. Apakah penyelesaian bagi semua masalah ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan