25 Februari 2006

Masalah Umat Islam Kini dan Penyelesaian (Bahagian 2)

Oleh: Prof Dato' Dr Haron Din
Bahagian 2

PERMASALAHAN UMAT JAHILIAH DAHULU DAN UMAT JAHILIAH SEKARANG

Memang benar umat Islam sedang menghadapi masalah, sama ada masalah antarabangsa atau masalah kebangsaan. Malah dalam sesuatu kelompok kecil dalam sebuah masyarakat kecil pun, tidak terlepas daripada masalah, ada yang besar dan ada yang kecil, ada yang amat penting dan ada yang kurang penting. Semuanya akan bergantung kepada sejauh mana kita peka dengan permasalahan ummah yang wujud, dan dari sudut mana kita melihat permasalahan itu.

Bagi memudahkan kita mengenali masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam, eloklahkita melihat kembali sejarah kebangkitan umat di samping melihat dan meneliti peringatan-peringatan al-Quran al-Karim yang menggariskan panduan kepada umat Islam. Semoga dengan penelitian ini semua itu akan memudahkan kita melihat permasalahan kita bagi dicari penyelesaian yang benar-benar diperlukan ini.



Pada zaman pra-Islam, manusia dalam sejarahnya telah mengikut cara hidup jahiliah. Cara hidup itu telah digambarkan oleh Jaafar Ibn Abi Talib dih adapan Najashie (Mahraj Habashah) ketika beliau berhadapan dengannya semasa perpindahan pertama berlaku. Jaafar menjelaskan kepada Najashie tentang sifat-sifat utama cara hidup masyarakat jahiliah dengan katanya yang bermaksud: “Kami dahulunya adalah orang-orang jahiliah. Pada zaman itu kami menyembah berhala, memakan bangkai, menyakiti (memusuhi) jiran tetangga, melakukan berbagai-bagai perlakuan keji dan mungkar. Orang yang kuat di kalangan kami menindas dan menganiaya orang yang lemah (dan bermacam-macam lagi), sehingga agama Islam didatangkan kepada kami lalu berubahlah kami menjadi umat baru (Islam)…”

Jahiliah sebenarnya merupakan suatu system hidup yang mempunyai kepercayaan beragama dan peraturan hidup serta hukum-hakamnya sendiri.Hal ini diakui sendiri oleh al-Quran al-Karim, bahawa mereka ada kepercayaan terhadap Tuhan.

“Dan jika kamu bertanya mereka, siapakah yang menciptakan segala langit dan bumi serta menjadikan matahari dan bulan, nescaya mereka berkata Allah.” (al-‘Ankabut 29: 61)

“Dan jika kamu bertanya mereka, siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dengannya dihidupkan bumi yang gersang, nescaya mereka berkata Allah.” (al-‘Ankabut 29: 63)

Meskipun begitu tepat jawapan mereka tentang pencipta alam semesta, dengan mengaku Allahlah yang melakukan segala-galanya, akan tetapi yang sebenarnya mereka membohongi diri mereka sendiri.Mereka hanya melahirkan pendapat seolah-olah mereka beriman, sedangkan pada hakikatnya mereka tidak beriman. Al-Quran sendiri menyebut dan membongkar rahsia hati mereka.

“Kalau kamu bertanya mereka: Siapakah menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab Allah.Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah yang sebenar (kepada menyembah yang lain) dan (Allah mengetahui) ucapan Muhammad s.a.w., ‘Ya Tuhanku sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman.’ Maka berpalinglah (hai Muhammad) daripada mereka dan katakanlah: Salam (selamat tinggal semuanya), kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk).” (al-Zukhruf 43: 87 – 89)

Golongan yang serupa dengan itulah, al-Quran mengesahkan lagi:

“Dan ada di antara manusia (orang jahiliah) yang berkata: ‘Kami beriman dengan Allah dan dengan hari akhirat’, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman, mereka hanya menipu Allah, dan orang-orang yang beriman denganNya, sedang sebenarnya, mereka tidak menipu melainkan diri mereka sendiri, cuma mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit (hati) lalu Allah menambahkan lagi sakit itu dan bagi mereka azab yang bersangatan pedih sebagai balasan kepada apa yang mereka dustakan.” (al-Baqarah 2: 8 –10)

Manusia-manusia jahiliah mengakui kewujudan Allah s.w.t dan mempercayai kekuasaan dan penciptaanNya. Pada waktu yang sama, mereka tidak menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar pengabdian. Mereka menyembah dan mempercayai sesuatu yang lain daripada Allah s.w.t. Kerana itu, Allah s.w.t. menurunkan perintahnya, maksudnya:

“Sesungguhnya kami turunkan kepada engkau (hai Muhammad) kitab al-Quran dengan (membawa) kebenaran, maka sembahlah Allah dengan seikhlas-ikhlas hati kerana agamaNya. Ingatlah hanya kepunyaan Allah, agama yang bersih dan murni.” (al-Zumar 39: 2- 3)

Malangnya orang-orang jahiliah tetap tidak mahu menerima semuanya itu, mereka masih berkeras hendak menyembah juga berhala-hala yang mereka ciptakan dengan tangan mereka sendiri.Apabila ditanya mengapa mereka berbuat demikian? Mereka menjawab, seperti yang Allah s.w.t. kisahkan di dalam al-Quran:

“Dan mereka-mereka yang mengambil pelindung (menyembah) selain daripada Allah,mereka beralasan: Kami tidak menyembah mereka, melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” (al-Zumar 39: 3)

Sebenarnya perbuatan dan alasan seperti ini hanya rekaan mereka semata-mata, sedangkan Allah s.w.t. sendiri tidak mengizinkan mereka berbuat demikian. Kerana itu, di hujung ayat yang tersebut di atas itu (al-Zumar 39: 3) Allah s.w.t. menyanjung dengan firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah akan menghukum (memutuskan) di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat kepada orang yang amat pendusta lagi amat kufur.” (al-Zumar 39: 3)

Al-Quran menyebut lagi, maksudnya: “Apakah hukm (undang-undang) jahiliah yang mereka kehendakkan dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.” (al-Ma’idah 5: 50)

Jahiliah juga merupakan suatu sentimen perkauman sempit yang menjadikan mereka patuh dan tunduk kepada sentimen itu, sehingga sukar untuk menerima perubahan. Mereka lebih kukuh berpegang kepada cara hidup yang mereka pusakai daripada nenek-moyang mereka:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu semua mengikut kepada apa yang diturunkan oleh Allah dan kepada Rasul lalu mereka itu berkata cukup memadailah bagi kami apa yang kami dapati daripada bapa-bapa kami meskipun bapa-bapa mereka itu tiada pengetahuan suatu apa pun dan tidak pula mendapat petunjuk.” (al-Ma’idah 5: 104)

Masyarakt jahiliah amat sombong dan besar diri dengan apa yang mereka miliki. Di dalam hati mereka penuh dengan kesombongan itu. Kerana itu Allah s.w.t. menjadikan hati-hati mereka penuh dengannya.

“Dijadikan kepada mereka yang kafir kesombongan di hati mereka yang dikenali dengan kosombongan jahiliah.” (al-Fath 48: 26)

Kesombongan itu menyebabkan mereka memandang rendah akan Rasul:

“Dan mereka (orang-orang jahiliah) berkata: Mengapa Rasul itu memakan makanan dna berjalan-jalan di pasar-pasar.Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang Malaikat yang boleh membantu memberi peringatan (kepada kamu). Atau dicampakkan sahaja keapdanya harta berharga (dari langit) atau dia mempunyai sebidang dusun (kebun) yang dapat dimakan hasilnya. Berkata lagi orang-orang zalim (kafir) itu: Tiadalah yang kamu ikut itu melainkan seorang lelaki yang kena sihir.” (al-Furqan 25: 7 – 8)

Umat jahiliah adalah suatu umat yang suka menegakkan kebatilan dan memerangi kebenaran. Apa yang mereka warisi itulah pegangan mereka. Apa sahaja bukti yang dibawa untuk meruntuhkan kepercayaan sesat mereka, tetap mereka sangkal dan berpegang kepada kepercayaan mereka juga. Ketika orang-orang jahiliah tidak mempercayai al-Quran, Allah s.w.t. mencabar mereka agar menandingi ciptaan Allah s.w.t. dengan ciptaan mereka:

“Dan jika kamu ragu-ragu tentang (aurat) yang Kami turunkan ke atas hamba Kami (Muhammad) maka perbuatkanlah olehmu satu surah seumpamanya dan jemputlah saksi-saksi kamu selain daripada Allah. Jika kamu orang yang benar. Jikalau tidak kamu lakukan dan tak akan dapat kamu lakukan, yang demikian itu, maka takutlah kepada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu yang disediakan untuk orang-orang kafir.” (al-Baqarah 2: 23 – 24)

Orang-orang jahiliah sengaja menolak kebenaran yang terbentang di hadapan mata mereka, setelah mereka meminta bukti itu dan dibuktikan dengan jayanya oleh Nabi Muhammad s.a.w. Di antara peristiwa yang berlaku ialah bulan terbelah dua, seperti yang dikisahkan di dalam ayat-ayat ini:

“Telah hampir (kedatangan) hari kiamat dan telah terbelah dua bulan. Jika mereka (orang-orang jahiliah) melihat suatu petanda (yang jelas tentang kenabian Muhammad s.a.w.), mereka berpaling daripadanya dan berkata: Semuanya itu adalah perbuatan sihir yang berterusan. Mereka mendustakan dan mengikut hawa nafsu mereka, sedang pada tiap-tiap hal yang berlaku telah ada ketetapannya.” (al-Qamar 54: 1 – 3 )

Masyarakat jahiliah tidak berhenti setakat sekadar yang tersebut itu sahaja. Permusuhan dan penolakan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan Islam yang dibawanya terus dipertingkatkan hingga mereka mengambil keputusan untuk membunuh baginda seperti yang Allah s.w.t. sebutkan di dalam al-Quran:

“Dan ingatlah ketika orang-orang kafir (Quraish) memikirkan tipu-daya mereka terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakan kamu atau membunuhmu atau mengusir kamu (keluar dari Makkah). Mereka memikirkan tipu-daya yang kotor dan Allah menggagalkan tipu-daya itu dan Allahlah sebaik-baik pembalas kepada tipu-daya mereka.” (al-Anfal 8: 30)

Daripada urutan sejarah yang tersebut, fahamlah kita bahawa masyarakat Arab jahiliah dahulu mempunyai masalah-masalah yang begitu ketara. Kerananya Allah s.w.t. membangkitkan RasulNya, Muhammad s.a.w., untuk menyelesaikan masalah-masalah itu. Dengan petunjuk utusan dan dengan bimbingan Nabi Muhammad s.a.w. msalah masyarakat jahiliah terhurai, lalu mereka berubah menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. yang amat setia kepada jalan yang dibawa oleh baginda. Mereka hidup mulia dan menjadi contoh utama.

Zaman berlalu begitu pantas. Umat Nabi Muhammad s.a.w. telah berubah dengan berbalik semula kepada zaman jahiliah yang disifatkan oleh Sayyid Qutub sebagai “Jahiliah Kurun Dua Puluh”.

Al-Quran pula menyatakan, maksudnya:

“Maka datanglah sesudah mereka (yang dahulu) generasi baru (yang jahat dan ingkar) yang mewarisi al-Kitab. (Mereka tidak mempedulikan al-Kitab), tetapi lebih mementingkan harta benda dunia yang rendah (mutunya), lalu mereka berkata ‘Allah akan memberi ampun kepada kami.” (al-‘Araf 7: 169)

Ayat tersebut itu meskipun pada hakikatnya mengisahkan hal orang-orang yang diberi Taurat tetapi tidak mempedulikan kitab Allah s.w.t. itu, akan samalah bandingannya dengan umat yang diberi al-Quran tetapi meninggalkan aturannya kerana hal-hal keduniaan yang sempit, yang mereka kejarkan sehingga membelakangkan petunjuk al-Quran yang dengannya menimbulkan masalah demi masalah:

Seterusnya al-Quran lebih jelas menyatakan, maksudnya:

“Maka datanglah sesudah mereka angkatan baru yang meninggalkan solat dan menurut hawa nafsu, maka kelak akan tersesat dari jalan yang benar kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh. Maka mereka itulah yang akan masuk syurga dan tidak teraniaya sedikit pun.” (Mariam 19: 59 – 60)

Umat Islam pada hari ini lebih mirip kepada apa yang disebut di dalam ayat-ayat tadi yang meskipun tidak boleh dikatakan ayat-ayat itu bulat-bulat ditujukan kepada kita secara khusus. Akan tetapi fakta dan fenomena umum seolah-olah menepati dengan keadaan umat Islam kini.

1 ulasan:

  1. Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

    BalasPadam